28 Feb 2010

Masya—

Sejak kecil, ada beberapa frasa dan ungkapan yang biasa saya gunakan secara spontan; dengan penuh pemahaman terhadap konteks dan makna yang terkandung di dalamnya.
.

Namun, dalam menyaksikan (melihat sendiri) perkembangan semasa di Malaysia, nampaknya frasa dan ungkapan berikut tidak bebas saya gunakan apabila berkomunikasi dengan saudara Islam.

.

Insya-Allah: Biasa saya lafazkan secara spontan apabila ada saudara Islam menyampaikan berita mengenai sesuatu yang masih dalam perancangan. Misalnya, pelajar saya di kolej memberitahu bahawa dia akan menyertai pertandingan pidato. “Insya-Allah kau akan berjaya,” saya menjawab spontan kerana pelajar itu tentu sedar bahawa dia boleh menang jika diizinkan Tuhan. Atau mungkinkah “Jika diizinkan Tuhan, kau akan berjaya” paling sesuai? Atau “Kau mungkin berjaya” sahaja?

.

Alhamdulillah: Biasa saya lafazkan secara spontan apabila ada saudara Islam menyampaikan berita gembira. Katakanlah, sebagai contoh, pelajar tadi datang menyampaikan berita mengenai kemenangannya dalam pertandingan pidato. “Alhamdulillah, tahniah,” jawab saya bagi menyatakan rasa syukur dan yakin bahawa pelajar itu menyampaikan segala puji kepada Tuhan yang mengizinkan (memungkinkan) kemenangannya. Atau mungkinkah “Syukur. Tahniah. Segaja puji kepada Tuhan” paling sesuai? Atau “Tahniah!” sahaja?

.

Masya-Allah: Biasa saya lafazkan secara spontan apabila ada saudara Islam menyampaikan berita yang mengundang perasaan seperti hairan, terkejut dan kagum. Misalnya, rakan sekerja menyampaikan berita mengenai tragedi tanah runtuh atau kemalangan. “Masya-Allah! Ada yang terkorban?” Tanya saya. Atau bertemu bekas pelajar saya di pasar malam. “Masya-Allah! Apa khabar?” Sapa saya sambil memeluknya (jika lelaki). Atau rakan sekerja muncul dalam rancangan khas di televisyen. “Masya-Allah! Bagus cara kau bercakap di TV tadi,” kata saya apabila kami bertemu. Dalam ketiga-tiga contoh di atas, tentulah rakan sekerja dan bekas pelajar sedar bahawa apa yang berlaku adalah seperti yang dikehendaki oleh Tuhan. Atau mungkinkah “Aduh! Itu kehendak Tuhan. Ada yang terkorban?” dan “Pertemuan ini adalah apa yang dikehendaki oleh Tuhan. Apa khabar?” dan “Kemunculan kau di TV tadi adalah atas kehendak Tuhan. Bagus kau bercakap tadi” paling sesuai? Atau “Ada yang terkorban?” dan “Apa khabar?” dan “Bagis kau bercakap di TV tadi” sahaja?

.

Apa pun perkembangan dan keputusan di Malaysia, mujurlah sejak dahulu, saya boleh menggunakan frasa dan ungkapan berkenaan apabila berkomunikasi dengan saudara Islam di/dari luar negara.

.

Atau jika pun dibuat undang-undang, bolehkah suara hati saya dihalang daripada mengucapkan frasa dan ungkapan berkenaan apabila bertemu saudara Islam? Allahu Alam! -- Siaran dalam iluvislam boleh dibaca DI SINI.