1 Mar 2010

Remaja Pulau Cinta

Rata-rata remaja kita semakin hilang kemampuan untuk berfikir. Asasnya adalah kemampuan membaca dan memahami apa yang dibaca. Kemampuan asas yang kebanyakan remaja kita masih miliki hanyalah keupayaan untuk menelan (tanpa perlu mengunyah) apa-apa yang disuapkan ke mulut mereka.
.

Selebihnya, rata-rata mereka hanya umpama mayat bernyawa yang tiada apa-apa fungsi otak; selain sekadar menurut apa-apa rancangan hiburan yang ditonton di kaca televisyen atau didengar melalui alat yang dipasang pada telinga.

.

Jangan anda mengambil risiko bertanya apa-apa kepada mereka berkaitan isu-isu semasa kerana keseimbangan dalam otak mereka akan terganggu dan kepala mereka mungkin berkecai di hadapan mata anda!

.

Jangan anda mengambil risiko meminta mereka membaca apa-apa senarai syarat dan peraturan yang ada di depan mata kerana bagi mereka, “membaca” dan “memahami” adalah suatu seni kuno yang wujud 4,000 tahun lalu di Lembah Indus.

.

Jangan anda meminta mereka membuat tugasan dengan mencari bahan selain daripada sumber internet kerana bagi golongan ini, satu-satunya sumber bahan rujukan adalah internet. Dan “rujukan” bagi mereka bermaksud “salin dan tampal” (“copy and paste”) apa sahaja perenggan yang memiliki perkataan yang dicari.

.

Jangan anda mengambil risiko menyuruh golongan remaja ini berdisiplin dan memberi tumpuan kerana anda sebenarnya sedang menghalang mereka daripada hak asasi mereka untuk meneruskan naluri haiwan dalam diri.

.

Jangan anda cuba meminta mereka bercakap tentang apa-apa topik melainkan sudah ada teks lengkap yang hanya perlu mereka bacakan sebagai jawapan bagi topik itu.

.

Jangan anda cuba bertanya apa-apa soalan yang memerlukan kehadiran fungsi otak.

.

Jangan anda mengharapkan ada reaksi daripada remaja berumur 13-25 tahun dari Pulau Cinta terhadap pendedahan ini kerana mereka tidak mampu memahami bahasa tinggi yang digunakan ini.