Antaranya adalah “Insya-Allah”, “Alhamdulillah”, “Masya-Allah” dan “Allahu-Alam”. Perkara ini ada saya perkatakan SEBELUM INI.
Bagi saya, bukanlah sesuatu yang pelik jika seorang individu bukan Islam di Malaysia menggunakan frasa-frasa berkenaan secara spontan dan dengan penuh pemahaman, serta sedikit pun tiada niat mempersenda (atau menghina) Islam.
Perlembagaan Persekutuan tidak menyebut Malaysia sebuah “Negara Islam” tetapi peruntukan Perlembagaan Persekutuan secara amat jelas menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi, manakala kebebasan beragama diberikan kepada penduduk bukan Islam.
Walau di pelosok atau penjuru mana negara seseorang berada, pasti ada interaksi dengan masyarakat beragama Islam, secara langsung atau tidak langsung.
Sebagai contoh, sejak mempunyai televisyen di rumah pada awal tahun 1980-an, saya sendiri hampir setiap hari mendengar azan serta membaca terjemahan di kaca televisyen.
Pada waktu itu, saya dan rakan-rakan bukan Islam sering tertanya-tanya mengapa “la ilaha illallah” diterjemah ke Bahasa Malaysia pada skrin televisyen sebagai “tiada Tuhan yang disembah selain Allah” sedangkan terjemahan yang tidak tepat itu membawa konotasi “masih ada Tuhan lain selain daripada Allah”.
Mujurlah kesilapan terjemahan yang pastinya tidak disengajakan itu sudah diperbetulkan.
Dalam kehidupan seharian – sama ada di sekolah, pusat pengajian tinggi, tempat kerja, tempat beriadah, gerai makan, pasar atau di mana sahaja – pasti berlaku interaksi antara masyarakat Islam dan bukan Islam. Apatah lagi dalam situasi keharmonian masyarakat majmuk di negara kita.
Maka, secara sedar atau tidak sedar, secara langsung atau tidak langsung, berlaku proses perkongsian maklumat, budaya dan amalan. Dalam konteks negara kita, masyarakat bukan Islam tidak menghadapi sebarang masalah untuk memahami budaya dan amalan rakan-rakan beragama Islam.
Pemahaman yang saya sebutkan ini tidaklah sampai menghakis jati diri budaya dan agama individu bukan Islam itu; jauh lagi mewujudkan asimilasi yang pasti kurang disenangi semua pihak.
Sebaliknya, masyarakat bukan Melayu-Islam sudah terbiasa dengan budaya Melayu-Islam sehingga tidak timbul apa-apa rasa hairan; misalnya berkaitan amalan berpuasa, solat, aurat, haram dan halal.
Keadaan yang kita saksikan di negara kita, saya percaya, juga wujud pada zaman Nabi Muhammad (SAW). Wujud perasaan saling memahami, saling mengenali, saling menghormati serta saling menerima perbezaan yang wujud.
Saya juga tidak terkejut atau berasa hairan apabila ada rakan-rakan bukan Islam menggunakan beberasa frasa yang biasanya dikaitkan dengan orang Islam. Malah, saya juga sering secara spontan menggunakannya tanpa berniat jahat.
Namun, dalam menyaksikan (melihat sendiri) perkembangan semasa di Malaysia, nampaknya frasa dan ungkapan berikut tidak bebas saya gunakan apabila berkomunikasi dengan saudara Islam.
Contohnya, Insya-Allah yang biasa saya lafazkan secara spontan apabila ada saudara Islam menyampaikan berita mengenai sesuatu yang masih dalam perancangan.
Misalnya, pelajar saya di kolej memberitahu bahawa dia akan menyertai pertandingan pidato. “Insya-Allah kau akan berjaya,” saya menjawab spontan kerana pelajar itu tentu sedar bahawa dia boleh menang jika diizinkan Tuhan.
Atau mungkinkah “Jika diizinkan Tuhan, kau akan berjaya” paling sesuai? Atau “Kau mungkin berjaya” sahaja wajar digunakan memandangkan pelajar itu beragama Islam dan saya pula bukan Islam?
.