[Penulis juga berkongsi pandangan dan
pengalaman beberapa individu lain mengenai Negeri Cik Siti Wan Kembang.]
Kelantan bukan negeri
yang mundur walaupun keadaan di sana tidak secantik negeri-negeri di pantai
barat Malaysia.
Demikian mesej yang
dikirim oleh Izan Ali, seorang
penulis yang berasal dari Malim Nawar, Perak dan kini bekerja di sebuah
syarikat penerbitan swasta di Kepong.
“Terdapat enam laluan
bagi kereta di jalan raya utama. Maknanya, jalan raya di Kelantan setanding apa
yang ada di pantai barat,” kata novelis itu yang ke Kelantan tahun lalu (2011) dan
tinggal di rumah kawannya.
Reaksi yang diberikan
Izan adalah berikutan paparan saya di Facebook
di mana saya meminta rakan-rakan dari luar Kelantan yang pernah pergi ke negeri
itu supaya berkongsi pandangan berdasarkan pengalaman sendiri.
Jamal bin Ludin yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan kini menetap di
Lahad Datu pula menceritakan bahawa dia pernah tinggal di Kampung Paloh Rambai,
Ketereh pada 2007-2008 dan mempunyai keluarga angkat di Pasir Puteh, Kelantan
sejak 1994.
“Saya pernah
berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Negeri Serambi
Mekah itu selama beberapa tahun, serta mempunyai
saudara-mara yang bertugas di Kota Bharu.
“Pengalaman mengunjungi
sekitar Negeri Cik Siti Wan Kembang, bekerja dan tinggal di sana membawa
kenangan manis dalam hidup saya. Saya masih teringat-ingat kenangan manis
bertemu Tok Guru dulu,” katanya yang sedang dalam proses menulis berdasarkan
pengalaman mengunjungi beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.
Pandangan yang saya
kumpulkan ini adalah wajar sebagai tambahan kepada “pengalaman” saya sendiri
yang saya catatkan menerusi dua tulisan saya di FMT sebelum ini.
Malah, agak menarik
untuk diperhatikan bahawa pengalaman dan pandangan saya hampir sama dengan
kisah yang dikongsikan beberapa individu berdasarkan pengalaman peribadi
mereka.
Maknanya, tidak timbul
soal saya diberi “layanan istimewa” semasa saya berada di Kota Bharu pada 11-14
Mac 2012 kerana “layanan” dan
“pengalaman” saya sama sahaja dengan beberapa individu lain yang berasal dari
luar Kelantan.
Perkara ini wajar
dinyatakan kerana khabarnya semasa sebuah festival sastera di Melaka pada
hujung Mac 2012, beberapa individu mengemukakan pertanyaan kepada pengarang
dari Kelantan, Leo AWS mengenai
“motif sebenar” saya ke Kelantan; kononnya ada “agenda politik” sehingga diberi
layanan khas oleh “parti pembangkang”.
Tentu sahaja omongan
puak cetek ilmu seperti itu wajar diabaikan kerana ternyata bodoh serta tidak
membawa apa-apa faedah kepada sesiapa. Biarkan Luncai dengan labu-labunya!
Sementara itu, Mohidin Yahya yang berasal dari Muar,
Johor dan kini tinggal di Johor Bahru mempunyai pengalaman manis yang sukar
dilupakan bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji
Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Saya pernah duduk mendengar tazkirah pada
pagi Jumaat di Medan Ilmu, Jalan Dato Pati, Kota Bharu dan sempat juga bersalam
dengan Tok Guru. Alangkah bertuah kalau dapat kerap bersama Tok Guru; menimba
ilmu daripada pendakwah yang tulus dan pemimpin yang bersih,” katanya sebagai
reaksi selepas membaca catatan saya pada minggu lalu.
Nik
Faridah Mamat yang pernah menyertai Bengkel Penulisan Cerpen anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan)
menjelaskan bahawa pada setiap pagi Jumaat, orang ramai berpusu-pusu di tengah
bandar raya Kota Bharu “untuk menadah ilmu daripada Tok Guru”.
“Orang ramai akan duduk beralaskan surat
khabar atau tikar untuk mendengar kuliah tafsir al-Quran. Peluang ini juga
digunakan oleh peniaga kecil-kecilan untuk mencari rezeki. Orang Islam dan
Bukan Islam sama-sama terlibat. Suasana seperti ini terlalu jarang berlaku di
tempat-tempat lain,” katanya.
Shan
Narayanan dari Ipoh, Perak pula mengucapkan
“dirgahayu Tok Guru” kerana kagum dengan cara ulama itu mentadbir Kelantan
sejak 1990. Seorang lagi pembaca dari Ipoh, Jason Ng turut meluahkan rasa bangga
dan kagum terhadap penduduk negeri Kelantan.
“Bagi penduduk di luar
Kelantan, pergilah untuk melihat dan mengalami sendiri segala kehebatan yang
ada di sana,” katanya.
Cadangan dan saranan
Jason adalah sama dengan pandangan saya. Suatu hakikat yang tidak dapat
dinafikan adalah betapa penduduk di luar Kelantan “jahil” atau “dijahilkan”
mengenai keadaan sebenar di negeri yang mengamalkan konsep “Membangun Bersama Islam” itu.
Misalnya, pemimpin dan
penduduk Melayu-Islam di Kelantan berpegang teguh pada akidah Islam, namun
tidak menunjukkan sebarang permusuhan atau penentangan terhadap penganut
agama-agama lain.
Sebaliknya, apa yang
saya lihat dan alami sendiri adalah keikhlasan dan “roh” sebenar Islam; dengan
penuh kesedaran bahawa Tuhan menciptakan kita berbeza-beza untuk kita saling
mengenali dan saling menghormati.
“Realiti di
Kelantan tidaklah teruk seperti dimomokkan pihak tertentu. Penduduk di sana
ramah dan mesra. Isu kononnya orang Kelantan suka cari gaduh langsung tidak
timbul sepanjang saya berkawan dengan orang Kelantan,” kata Izan lagi.
Pada
pandangannya, orang Kelantan suka menerima tetamu dan sangat menghormati tetamu
yang datang ke rumah.
“Mereka akan
masak beria dan hidangkan makanan yang sedap-sedap kepada sesiapa sahaja yang
berkunjung ke rumah; tak kira kaum, agama dan fahaman politik. Saya duduk di
rumah kawan dulu, asyik makan sahaja!” Izan menambah.
Amalan menerima
dan meraikan tetamu bukan hanya di rumah. Sebaliknya, pekedai dan peniaga juga
amat gembira menerima kunjungan orang luar dan dilayan pula sebagai tetamu.
Misalnya, saya
bersama-sama Rohani Deraman, novelis
dari Johor Bahru dan Zainab Ngah,
penulis dari Kuala Terengganu bersarapan dengan Mohammad Faizal Che Yusof (peguam OKU) dan Roshidayu Che Mat dari Shah Alam di Selera Daun Pisang, Jalan
Pengkalan Chepa.
Pemilik restoran
itu tidak melepaskan peluang merakam foto bersama-sama kami sebagai kenangan
bertemu kelompok penulis. Malah, semasa saya bersarapan di Kedai Kopi White
House, Jalan Sultanah Zainab, ada pengunjung yang datang bersalam dan mahu
ambil foto bersama saya.
Dalam pada itu, Zawawie Abdullah yang berasal dari
Pasir Mas dan kini tinggal di Kota Bharu mengakui bahawa keharmonian sejati
memang wujud di negeri kelahirannya.
“Bukan politik yang
kita nak ketengahkan tapi keharmonian perhubungan antara insan berlainan darjat
dan pangkat. Orang biasa dengan Tok Guru pun macam tak ada sempadan. Nak ajak
beliau ke rumah untuk kenduri pun boleh dan beliau pasti hadir, insya-Allah.
“Nak jumpa Tok Guru tak
payah ada protokol. Pergi saja solat subuh, pasti dapat berjumpa beliau.
Pangkat MB dah tak ada masa tu. Itulah kehebatan Tok Guru,” katanya sambil
mengakui bahawa sikap mulia Tok Guru menjadi cerminan sikap penduduk Kelantan
keseluruhannya.
Bercakap mengenai bertemu
Tok Guru, Rohani Deraman yang
berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan kini tinggal di Johor Bahru mengimbas
kenangan pada 13 Mac 2012.
“Semasa saya dan
rakan-rakan penulis pergi ke kediaman rasmi MB Kelantan di JKR 10, kami
terkejut kerana tiada pengawal di pintu masuk dan tidak ada protokol seperti
yang lazim ada di kediaman rasmi MB negeri-negeri lain,” katanya.
Rohani juga masih ingat
Tok Guru bertanya, “Ho guano ramai-ramai
ni heh?” (Ada apa hal datang ramai-ramai ni?) dan penulis sepenuh masa itu
pula menjawab, “Ambo rakyat Kelate, tak
salah ke kalu rakyat nak jupo MB” (Saya ni rakyat Kelantan, tak salah kan
kalau ingin berjumpa MB).
Cadangan ikhlas saya
adalah supaya sesiapa yang pergi ke Kota Bharu harus singgah di pejabat Urus
Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim untuk
mendapatkan pelbagai bahan bacaan yang pasti mampu membuka minda.
Dapatkan juga maklumat
sebenar mengenai kehebatan Kelantan daripada penduduk setempat. Sekurang-kurangnya
orang ramai tidak akan terus tertipu dengan pelbagai dakyah dan fitnah yang
disebarkan pihak tertentu.
(© Uthaya Sankar SB. Catatan
ini ditulis pada 10 April 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 16 April 2012.
Baca juga: Laporan di PURNAMA)