KOTA BHARU, 12 Mac 2012 – Penulis kontroversi, Uthaya Sankar SB yang dikaitkan dengan isu protes novel Abdullah Hussain Interlok Edisi Murid sehingga akhirnya buku tersebut ditarik balik sebagai buku teks sekolah menengah, mengunjungi Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN).
Rombongan dari Kuala Lumpur terdiri kalangan penulis, blogger dan Facebooker seramai enam orang disambut mesra dan diberi taklimat ringkas tentang negeri Kelantan oleh Penolong Pengarah Urusetia Penerangan (Penerbitan), H. Rosidi Semail di Pejabat UPKN. Seterusnya sesi dialog bersama Pengarah UPKN, Haji Abdul Rahman Yunus.
Turut bersama rombongan yang diketuai Uthaya ialah seorang novelis terkenal, Rohani Deraman, penulis asal Pasir Puteh, Kelantan, yang sudah lama menetap di Johor. Keseluruhan novel-novelnya bertemakan Islami dan diterbitkan Alaf 21.
Pada pertemuan kurang lebih dua jam itu, Uthaya memberitahu, tujuan kedatangannya ke Kelantan untuk melihat kemiskinan negeri ini, seperti dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Tetapi setelah saya berada di sini selama dua hari, saya melihat warga Kelantan hidup senang, menjalankan aktiviti rutin seperti berniaga dan sebagainya dengan aman.
“Sebagai penulis, dari raut wajah seseorang yang kita temui, dapat kita mengetahui sama ada senang atau susah. Saya melihat semuanya ceria belaka,” ujarnya.
“Pembangunan negeri Kelantan juga sangat pesat, bangunan tinggi juga ada. Cuma yang tak ada, Menara Berkembar seperti di Kuala Lumpur,” katanya sambil ketawa.
“Tapi kalau mahu membandingkan pembangunan Kota Bharu dengan Kuala Lumpur adalah tidak adil,” tambahnya.
Dalam kesempatan itu, rombongan diberikan buku-buku mengenai kemajuan yang dicapai negeri ini selama lebih 22 tahun ditadbir PAS, melibatkan pembangunan fizikal dan kerohanian serta dasar-dasar Islam yang dipraktikkan kerajaan yang dipimpin ulama. - PURNAMA (Bilangan 16), 15 Mac 2012.
Sila baca juga: Bertemu Tok Guru di Kota Bharu.