[Alang-alang pergi ke Kota Bharu, penulis tidak
melepaskan peluang bertemu Menteri Besar Kelantan.]
Saya sangat bertuah kerana berpeluang
bertemu dan berbual-bual bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) pada 13 Mac 2012.
Pada kali pertama saya ke Kota Bharu pada
1995 sempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Kem Kijang, saya turut
berpeluang bertemu Tok Guru di rumah beliau di Kampung Pulau Melaka.
Pada kali ini pula, pertemuan diatur dengan
kerjasama Setiausaha Politik MB, Wan Nik
Wan Yussof dan Nik Faridah Mamat
serta beberapa individu yang mengalu-alukan kunjungan saya ke Kota Bharu.
Sejak awal, saya sudah menyatakan bahawa
tujuan – atau “motif” – saya ke Kelantan adalah untuk melihat sendiri apakah
negeri berkenaan benar-benar “mundur” dan “miskin” seperti heboh diperkatakan
pihak tertentu sejak belakangan ini.
Alang-alang pergi ke Kota Bharu, tentulah
saya tidak mahu melepaskan peluang bertemu Tok Guru. Tambahan pula, setahu
saya, beliau amat mesra dan tidak mengamalkan protokol apabila orang biasa mahu
bertemu beliau.
Pada mulanya, saya dijadualkan mengadakan
pertemuan dengan MB Kelantan di Hotel Raudah selepas Persidangan Orang Kurang
Upaya (OKU) Darul Naim Peringkat Kebangsaan.
Bagaimanapun, bagaikan pucuk diundang, ulam
mendatang, peluang diberikan untuk saya mengadakan pertemuan tertutup bersama
Tok Guru di kediaman rasmi beliau.
Hadir bersama-sama saya ialah Rohani Deraman dari Johor Bahru, Zainab Ngah dari Kuala Terengganu serta
Nur Hidayah, Wan Asyeah Wan Nawang dan Abdul
Mutalib Awang dari Kota Bharu.
Selalunya, apabila saya menyatakan kepada
rakan-rakan di Lembah Klang berkenaan keinginan untuk bertemu Tok Guru, ada dua
reaksi klise yang diberikan.
Pertama, ramai yang bertanya adakah saya
mahu bertemu Tok Guru untuk “masuk Islam”. Tentu sahaja golongan yang bertanya
begitu adalah kumpulan yang cetek ilmu, tidak menyedari kehebatan sebenar Tok
Guru, serta mereka itu ternyata tidak tahu cara berdakwah yang betul.
Kedua, ada yang tertanya-tanya motif
sebenar saya bertemu Tok Guru. Misalnya, pengarang terkenal dari Kelantan, Leo AWS memberitahu saya baru-baru ini:
“Saya ditanyakan tentang kehadiran saudara di Kota Bharu sehingga ketemu Tok
Guru – apakah motif sebenarnya.”
(Konco-konco Tokoh Lidah Bercabang, Raja
Serigala Bahasa, Encik Limau, Penerima Anugerah Laut dan Timah Wangi pula
khabarnya sedang rancak menyebarkan berita palsu kononnya saya ada motif
politik mengatur pertemuan dengan “pembangkang”.)
Reaksi yang kedua tadi jelas membuktikan
betapa sempit pemikiran orang tertentu. Pasti mereka hanya melihat Tok Guru
sebagai orang politik dan bukan sebagai tokoh unggul yang disegani tanpa
mengira kaum dan agama, serta tidak melibatkan pegangan politik.
Malah, beberapa individu kaum India yang
berasal dari Kelantan memberitahu saya bahawa mereka meletakkan Tok Guru di
tempat yang tinggi; hampir sama seperti kedudukan Mahatma Gandhi dalam hati masyarakat
India; tanpa ada sebarang kaitan parti politik.
Sejak awal, tujuan – atau “motif” – lawatan
saya ke Kota Bharu adalah amat jelas; iaitu melihat sendiri benarkah wujud
“kemiskinan” dan “kemunduran” fizikal, rohani, sosial dan mental seperti
dipropagandakan pihak tertentu.
Maka, tentulah amat wajar sekiranya saya
bertemu MB Kelantan untuk mendapatkan pandangan beliau. Apa yang saya lakukan
bukan wawancara yang skema. Sebaliknya perbualan secara santai tanpa ikatan
politik dan tanpa sebarang agenda.
Antara perkara pertama yang saya perhatikan
apabila bas ekspres yang saya naiki memasuki sempadan Kelantan melalui Gua
Musang pada 11 Mac 2012 adalah kehadiran gereja, tokong, masjid dan kuil.
Nah! Kewujudan rumah-rumah ibadat ini
sendiri sudah membuktikan hakikat bahawa kebebasan beragama dipraktikkan di
negeri Kelantan yang membangun bersama Islam.
Saya menyebut perkara ini semasa perbualan
bersama-sama Tok Guru dan huraian yang beliau berikan semakin membuktikan
kehebatan beliau sebagai tokoh agama.
Tok Guru memetik ayat keenam dalam Surah Al-Kafirun iaitu surah ke-109
dalam al-Quran untuk menjelaskan realiti yang wujud. Terjemahan ayat itu adalah
“untukmu agamamu, dan untukku agamaku”.
Daripada perbualan kami, amat jelas bahawa
Kerajaan Negeri Kelantan mengamalkan cara pemerintahan Islam yang sebenar;
sebagaimana dituntut Islam serta pernah diamalkan oleh Nabi Muhammad (s.a.w) dan para sahabat
baginda.
Memandangkan pentadbiran negeri Kelantan adalah
berasaskan Islam, saya masih tertanya-tanya apakah sebenarnya “kemunduran” dan
“kemiskinan” yang heboh diperkatakan pihak tertentu. Mungkin mereka hanya
melihat aspek “kemajuan” dan “pembangunan” dari segi bangunan pencakar langit
dan jumlah “duit kopi” yang mampu dihulurkan.
Apa yang saya sebutkan sebentar tadi
mengenai pertemuan dengan Tok Guru adalah antara hakikat yang tidak diketahui
“dunia luar” kerana sering kali fakta diputar-belit dan dimanipulasi demi
kepentingan politik pihak tertentu yang mahu terus berkuasa dengan apa cara
sekali pun.
Misalnya berkaitan Hukum Hudud yang mahu dilaksanakan mengikut Enekmen Pentadbiran
Jenayah Syariah II Kelantan 1993 (Enekmen Hudud).
Orang ramai di luar Kelantan khasnya sering
dimomokkan dengan kata-kata bahawa Hudud akan memberikan kesan negatif serta
menghakis hak penduduk agama-agama lain.
Pada hakikatnya, orang Bukan Islam tidak
perlu bimbang atau takut kerana pelaksanaan Hukum Hudud adalah untuk orang
Islam. Malah, orang Islam yang tidak ada niat melakukan jenayah hudud juga
tidak perlu bimbang kerana “hudud” adalah hukuman bagi beberapa jenayah berat
sahaja.
Urus
Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan
sebenarnya menerbitkan pelbagai brosur dan buku yang mengandungi maklumat
tepat, lengkap, jelas dan benar mengenai pelbagai isu. Selain membacanya, saya
juga berpeluang mendengar sendiri penjelasan daripada MB Kelantan.
Akan tetapi, soalnya, berapa ramai yang
berpeluang membaca buku-buku berkenaan walaupun diedarkan secara percuma? Dan
berapa ramai (dari luar Kelantan) yang berpeluang bertemu secara bersemuka
dengan Tok Guru untuk berbual-bual secara santai berkenaan pelbagai topik dalam
usaha mencari penjernihan, kebenaran dan fakta?
Bagi saya, dalam kebanyakan hal, saya tidak
sekadar bergantung pada “penerangan” dan “penjelasan” yang disampaikan oleh Tok
Guru secara lisan. Sebaliknya, melihat wajah beliau yang tenang dan ikhlas
sudah memadai untuk “menceritakan” peribadi mulia yang dimiliki.
Saya juga berpeluang memiliki senaskhah
buku bergambar berjudul Imbasan 20 Tahun
(2010) terbitan Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan. Dipaparkan
foto-foto dan maklumat berkaitan pembangunan di negeri itu sejak Tok Guru
menjadi MB pada 23 Oktober 1990.
Apa yang menarik adalah bahawa maklumat dan
foto berkenaan dipaparkan seadanya; iaitu tanpa kerja-kerja melobi dan mengampu
seperti yang sering berlaku pada penerbitan buku-buku “tokoh” yang biasa
diterbitkan sebagai bahan propaganda politik bagi si polan dan si polan.
Bagi Farizal
Yusoff, seorang guru dari Kubang Kerian, Tok Guru adalah seorang pemimpin
berjiwa rakyat.
“Beliau senang didekati dan tidak
menjadikan jawatan MB sebagai penghalang untuknya berdakwah. Pintu rumah
sentiasa terbuka dan ikhlas melayan setiap permasalahan rakyat,” katanya
menerusi mesej yang dikirim kepada saya menerusi Facebook, minggu lalu.
[Nota: Pada 19 April
2012, Farizal menghubungi saya dan meminta pandangan yang sudah disiarkan itu dipadamkan
atas sebab tertentu. Sila KLIK DI SINI untuk membaca mengenainya; supaya boleh berlaku adil
terhadap permintaan beliau.]
Isma
Muhammad pula mengimbau kenangan lebih 20 tahun
lalu iaitu apabila seorang pelajar menulis surat kepada Tok Guru mengenai
kesulitan yang dihadapi pelajar Madinatul ‘Ilmi untuk keluar masuk ke sekolah
kerana jalan tanah merah.
“Dalam suatu majlis penyampaian hadiah di
sekolah kami, Tok Guru menyebut tentang surat misteri itu serta meminta ADUN
Perupok menjadikan sekolah kami sekolah angkat.
“Menteri Besar juga meluluskan pembinaan
jalan bertar sepanjang hampir dua kilometer dengan kos sekitar RM15,000 demi
keselesaan para pelajar,” katanya.
Bagi Roshidayu
Che Mat dari Shah Alam, beliau terpesona dengan kezuhudan pemimpin itu.
“Beliau satu-satunya pemimpin yang tidak
bersifat ‘tuan’ dan ‘tuhan’ kepada orang lain. Sebaliknya menjadi pemikul tanggungjawab
yang tidak korup,” katanya.
Abdullah
Abdul Rahman dari Pasir Putih, Perak pula
menyimpulkan Tok Guru sebagai pemimpin yang karismatik.
“Beliau ilmuan berjiwa hamba sebenar dan
memiliki keupayaan membangkitkan keyakinan terhadap kepimpinannya sebagai
seorang MB. Pengiktirafan selaku ‘50 Pemimpin Islam Paling Berpengaruh di
Dunia’ menjelaskan kredibiliti sebenar beliau,” katanya.
Saya yakin bahawa ketokohan Tok Guru
sebagai pemimpin Islam (bukan hanya “Islam” pada nama) menjadi asas
pemerintahan (pentadbiran) yang adil dan disukai penduduk pelbagai kaum dan
agama di Kelantan; khususnya sejak 1990.
Itulah juga sebabnya
kedudukan Tok Guru sukar digugat walaupun pelbagai cara yang licik dan penuh
tipu-helah khabarnya telah, sedang dan akan cuba digunakan “kuasa luar”. [NOTA: Tok Guru meninggal dunia pada 12 Februari 2015]
(© Uthaya Sankar SB. Catatan
ini ditulis pada 2 April 2012 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 9 April 2012. Baca juga: Maghi Melawat Kelate)