20 Feb 2012

Awas! Tokoh Lidah Bercabang

Berikut kandungan e-mel yang saya kirim kepada beberapa editor yang saya kenal pada 15 Februari 2012. Saya paparkan di sini bagi tujuan dokumentasi dan juga sebagai makluman kepada orang ramai yang mungkin turut menjadi mangsa manipulasi “tokoh” berkenaan:

Sejak awal tahun ini, saya dihubungi sekurang-kurangnya tiga individu yang terlibat dalam bahagian editorial di tiga syarikat penerbitan.

Mereka memaklumkan bahawa mereka dihubungi/dikunjungi seorang “tokoh” yang cuba menyebarkan fitnah dan pembohongan mengenai diri saya dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan).

Orang berkenaan khabarnya “menasihatkan” tiga individu itu (secara berasingan) supaya tidak menerbitkan apa-apa bahan/manuskrip yang diterima daripada saya dan ahli Kavyan.

Alasan yang diberikan oleh orang itu adalah bahawa saya dan Kavyan mempunyai “agenda tertentu” dalam menyalurkan manuskrip kepada penerbit.

Untuk makluman, orang berkenaan adalah seorang individu “Bukan Melayu” yang terkenal dan disegani.

Modus operandi yang digunakan tokoh itu adalah membawa salinan 106 saranan pemurnian novel Interlok Edisi Murid dan menunjukkannya sebagai “bahan bukti” bahawa Kavyan ada “agenda tertentu”.


Untuk makluman, senarai 106 saranan pemurnian itu sudah diedarkan kepada umum mulai 25 Mac 2011 atas ‘permintaan’ menteri terbabit. Malah, kandungan saranan pemurnian itu diperakukan secara konsensus oleh Panel Bebas pada 4 Mac 2011.

Orang itu juga dilaporkan mempersoalkan mengapa saya dan Kavyan tampil memperjuangkan isu royalti teks Komsas melibatkan “penulis Melayu” sedangkan – katanya – “Gapena dan Pena sendiri tak mau peduli hal itu”.

Saya memaklumkan semua perkara ini kepada tuan/puan kerana saya tidak dapat menolak kemungkinan “tokoh” itu turut menghubungi tuan/puan dalam tempoh terdekat untuk menyebarkan fitnah dan pembohongan menggunakan modus operandi yang sama.

Saya juga akan memaklumkan perkara ini kepada rakan-rakan lain sebagai langkah proaktif bagi membendung penyebaran fitnah oleh “tokoh” yang tidak bermaruah itu.

Sekiranya tuan/puan ada sebarang kemusykilan mengenai saya dan/atau Kavyan, sila berhubung terus dengan kami menerusi e-mel infokavyan@yahoo.com.my untuk mendapatkan penjelasan dan pengesahan. Tuan/puan juga boleh merujuk blog rasmi Kavyan dan blog rasmi saya.

Jangan bergantung, terpedaya atau percaya pada “sumber tidak rasmi” yang tidak sah dan ternyata mempunyai “agenda tertentu” yang tidak beretika serta bertentangan ajaran mana-mana agama.

Anggaplah kandungan e-mel ini sebagai makluman sahaja. Semoga “tokoh” itu tidak tergamak menghubungi tuan/puan untuk menyebarkan fitnah mengenai saya dan Kavyan.

Harap maklum bahawa saya tidak diberi izin mendedahkan nama tiga individu dan tiga syarikat penerbitan terbabit. Bagaimanapun, saya sedia mendedahkan nama tokoh “Bukan Melayu” itu jika timbul keperluan.

Saya juga sedia mendedahkan beberapa SMS yang pernah dikirim oleh “tokoh lidah bercabang” itu kepada saya berhubung isu Interlok pada Januari 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca SMS berkenaan. Sebuah faksyen mengenai Tokoh Lidah Bercabang boleh dibaca DI SINI manakala kisah Cik Timun Busuk boleh dibaca DI SINI. Baca juga - sebar agama Hindu.