24 Mar 2011

100 Pindaan atau Lebih?

Wakil media yang dihormati. Nampaknya timbul persoalan baru mengenai jumlah pindaan yang dipersetujui akan dilakukan pada novel Interlok edisi murid (2010). Penjelasan ini adalah susulan daripada kenyataan rasmi pada 24 Mac 2011, 11:30 pagi.
.

[Jika wakil media ada sebarang pertanyaan, sila hantar melalui e-mel ke uthayasb@yahoo.com.my dan akan dijawab di blog ini sebagai jawapan rasmi dan sah. Pertanyaan menerusi SMS dan panggilan telefon mungkin tidak dapat dilayan.]

.

Senarai yang dikemukakan oleh Wakil Kaum India dalam Panel Bebas berjumlah 106. Seperti yang dinyatakan sejak awal, saranan pindaan ini meliputi aspek kesilapan Bahasa Malaysia, kesalahan fakta berkaitan kaum India/Hindu dan perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India/Hindu.

.

[Nota: Jika mahu tahu senarai perkara yang menyentuh sensitiviti kaum Melayu dan Cina, sila rujuk pihak berkenaan kerana ketiga-tiga wakil kaum India “bertugas” menyenaraikan mewakili kaum India. Kami bertiga tidak dapat mengeluarkan sebarang kenyataan mewakili mana-mana pihak lain.]

.

Daripada 106 saranan pindaan itu, enam daripadanya secara khusus disenaraikan dalam usaha Wakil Kaum India memulihkan serta mengangkat martabat dan maruah Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang sedikit sebanyak tercalar berikutan kontroversi berhubung novel Interlok edisi murid sejak 15 Disember 2010.

.

Misalnya, Wakil Kaum India menuntut supaya “Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain” dicetak pada kulit depan novel Interlok edisi murid.

.

Selain itu, perlu dinyatakan pada halaman hak cipta bahawa novel asal terbit pada tahun 1971 serta hak cipta karya perlu kekal pada penulis; iaitu © Abdullah Hussain 2010.

.

Cadangan lain Wakil Kaum India supaya dinyatakan juga di halaman hak cipta bahawa “Novel Interlok edisi murid ini adalah edisi yang disunting daripada edisi pelajar (2005). Novel Interlok menang hadiah penghargaan dalam Peraduan Mengarang Sempena 10 Tahun Merdeka”.

.

Wakil Kaum India turut mencadangkan supaya novel Interlok edisi yang “dimurnikan” nanti dimasukkan bahagian Prakata: “Boleh dipetik daripada Prakata dalam novel Interlok (DBP: 2003) kerana mengandung pelbagai maklumat yang mampu mengangkat martabat dan maruah novel ini dan pengarang”.

.

Juga dicadangkan Wakil Kaum India adalah supaya Biodata dikemas kini atas alasan “Aneh kerana biodata dalam edisi murid (2010) langsung tidak menyebut bahawa novel Interlok pernah menang hadiah pada tahun 1967”.

.

Atas dasar “tolak-ansur” dan “toleransi” maka Wakil Kaum India membenarkan satu daripada 106 saranan pindaan itu dibatalkan daripada senarai. Maknanya tinggal 105 sahaja.

.

Senarai 105 saranan pindaan yang dikemukakan oleh Wakil Kaum India dibahagikan kepada beberapa bahagian; misalnya “kesilapan bahasa”, “kesalahan fakta” dan “menyentuh sensitiviti”. Tentulah ada “kesilapan” yang berulang – misalnya “papa” di beberapa tempat dan “kasta” di beberapa tempat. Pindaan juga dibahagikan kepada beberapa kategori [RUJUK DI SINI].

.

Semoga penjelasan ini menyelesaikan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul dalam kalangan wakil media.

..

Bagi pertanyaan “Siapa perjuangkan maruah Pak Lah?” ... Maaf, saya tidak mahu terlibat dalam sebarang kontroversi yang berlarutan! Ahimsa.