[Tokoh lidah bercabang itu diberi tugas
menyebarkan segala macam fitnah kepada penduduk.]
Namanya Encik Limau. Tentu sahaja ini bukan
nama sebenar. Pada awalnya, dia bercadang menggunakan nama samaran “Encik Epal
Kuning” tetapi memandangkan Roslan Jomel sudah menggunakan judul Namaku Epal Kuning pada kumpulan cerpen sulungnya, maka pilihan itu diketepikan.
Nama “Encik Limau” bukan pilihan yang
benar-benar disenangi; khususnya apabila ramai yang menyangka namanya “Encik
Lim”. Maka, dia pernah berusaha menukar namanya kepada nama yang – katanya –
“lebih Melayu” walaupun dia bukan Melayu.
Pada Mac 2011, wartawan sebuah akhbar
nyamuk menggelarkannya “Musang Berbulu Ayam” manakala rakan-rakan mengenalinya
sebagai “Tokoh Lidah Bercabang”. Namun, bagi
tujuan cerita ini, namanya Encik Limau.
Dilema Encik Limau bermula apabila dia
mendapat peluang untuk muncul semula menyerlah dalam bidang yang diceburinya.
Terdahulu, sejak lebih sedekad lalu, topengnya sudah berjaya dirobek dan tidak
ramai manusia yang mempercayainya.
Kini, demi melonjakkan kembali namanya yang
sudah busuk bagai bangkai babi, dia tergamak memfitnah dan menyebarkan
pembohongan mengenai kejayaan hakiki orang lain.
Untuk itu, Encik Limau berkongkalingkung
dengan Raja Se(ri)gala Bahasa, Cik Timun
Busuk, Encik Salib dan Penerima Anugerah Laut yang mempunyai motif hampir sama.
Maka, ini kisah persubahatan mereka dalam
menjatuhkan sahabat. Kisah mereka yang menjadi musuh dalam selimut. Kisah
mereka yang membenci keadilan dan perjuangan menegakkan kebenaran. Kisah sekumpulan
manusia yang tidak bermaruah, tidak beretika dan tidak beriman.
Apabila isu berhubung berhala Dewa Shiva di Kuil Sivaperuman
menjadi hangat pada Disember 2010, Encik Limau tahu bahawa dia perlu
menggunakan peluang yang muncul itu dengan sebaik-baiknya untuk merebut
keuntungan peribadi.
Dia mula menjilat-jilat kaki ketua panchayat dalam usaha licik memanipulasi
keadaan. Encik Limau bersedia dan tergamak melakukan apa sahaja demi mencapai
hasrat yang dihajati.
Ke arah itu, dia sedia bekerjasama dengan
mana-mana pihak yang mahu sama-sama menggunakan sepenuhnya isu berhala Dewa
Shiva untuk mendapat keuntungan politik dan kewangan.
Tambahan pula, pada waktu itu, Encik Limau
sedang menunggu ruang dan peluang untuk dicalonkan serta dipilih sebagai penerima
Anugerah Pengukir Berhala Siru Kambam. Suatu anugerah berprestij yang
menjanjikan pelbagai keistimewaan.
Peluang yang muncul di depan mata tiba-tiba
menjadi sedikit malap apabila sahabat baiknya, Cik Timun Busuk tergamak
mendedahkan kepada seorang wartawan nyamuk mengenai taktik kotor yang digunakan
oleh Encik Limau dalam usaha meraih anugerah itu.
Encik Limau kemudian membuat pengakuan di
hadapan Encik Salib, Penerima Anugerah Laut dan Cik Timun Busuk bahawa dia
sanggup melakukan apa sahaja untuk menjadi penerima Anugerah Pengukir Berhala
Siru Kambam.
“Kami mahu awak bekerjasama dengan Raja
dalam usaha menjatuhkan pakar ikonografi yang sedang cuba membuktikan bahawa
terdapat 16 kelemahan pada berhala yang mahu diletakkan di Kuil Sivaperuman,”
kata Cik Timun Busuk pada waktu itu.
“Raja? Raja Se(ri)gala Bahasa?” Encik Limau
mencebik. “Bukankah individu yang menggelarkan dirinya sebagai pakar berhala
itu gagal dalam misinya sebelum ini?”
“Benar. Bukan sekali tapi beberapa kali,”
kata Penerima Anugerah Laut. “Namun, dialah orang paling bodoh dan paling tidak
bermaruah serta sanggup melakukan sahaja untuk sedikit publisiti murahan.”
“Dan sekarang kita ada awak pula,” Cik
Timun Busuk menambah sambil tersenyum sinis. “Gandingan yang mantap.” --- Bersambung
(© Uthaya Sankar SB. Nama-nama
dalam faksyen ini adalah rekaan semata-mata. Penulis
mengumpul bahan selama setahun khusus untuk menulis kisah ini pada 25 Februari
2012 dan 19 April 2012. Disiarkan di Free Malaysia Today pada 30 April 2012. Faksyen ini perlu dihayati dengan fikiran terbuka mengikut cara yang dihuraikan DI SINI dan DI SINI. Baca juga faksyen Interlok dan Siru Kambam.)