Sementara orang ramai di seluruh negara sibuk memperkatakan isu kontroversi novel Interlok Edisi Murid yang dijadikan teks Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia (Komsas), kami di Siru Kambam pula punya masalah tersendiri untuk ditangani.
Maka, maaf jika kami langsung tidak mengikuti mahupun terlibat sama dalam isu nasional itu yang khabarnya sudah bertukar menjadi isu perkauman berikutan tindakan licik pihak berkepentingan.
Kontroversi di Siru Kambam juga bermula pada Disember 2010 apabila berhala baru dibawa ke Kuil Sivaperuman bagi menggantikan berhala lama yang retak.
Bayangkan kekecohan dan kekalutan yang timbul apabila berhala Dewa Shiva yang diukir daripada batu hitam itu digambarkan berbogel bulat dan alat sulit ditonjolkan secara berlebihan!
Para penduduk beragama Hindu (dan yang bukan beragama Hindu juga; khususnya masyarakat Cina) tampil membantah usaha meletakkan berhala itu di kuil bagi tujuan penyembahan.
“Ini suatu penghinaan yang dirancang dan disengajakan! Kita tidak boleh bertolak-ansur dalam perkara ini!”
Demikian reaksi majoriti penduduk; termasuk kebanyakan orang yang sebenarnya tidak berpeluang melihat berhala yang dimaksudkan.
Sebaik timbul isu, pintu mulastanam – bilik kecil di tengah kuil yang menempatkan berhala – ditutup dalam usaha meredakan ketegangan yang wujud.
Tentulah kisah ini tidak dilaporkan di akhbar arus perdana; sebagaimana insiden sebuah kuil di Taiping diroboh pada 1999 ditutup begitu sahaja sehingga akhirnya “hilang” daripada ingatan.
“Berhala ini tidak sesuai diletakkan di kuil untuk disembah; khususnya memandangkan Kuil Sivaperuman dikunjungi penganut pelbagai usia,” kata beberapa penduduk dalam usaha meleraikan kekusutan.
Saranan itu dibantah Persatuan Pengukir Berhala (Perpena) yang terlibat secara langsung dalam menyediakan berhala Dewa Shiva yang menjadi bahan kontroversi di Siru Kambam.
“Bukankah khabarnya terdapat kuil di India yang memaparkan ukiran dan patung dewa-dewi dalam keadaan bogel? Lalu, apa sebabnya penganut agama Hindu di Siru Kambam tidak mahu menerima dan menyembah berhala Dewa Shiva dalam keadaan bogel?”
Demikian hujah wakil Perpena dalam perbincangan meja bulat yang diatur oleh panchayat – majlis timbang tara peringkat kampung –pada Januari 2011.
“Sepatutnya, penganut agama Hindu di Siru Kambam berasa bangga dan berterima kasih kerana berhala itu digambarkan memiliki alat sulit yang panjang dan tegang.”
Hujah-hujah yang dikemukakan oleh Perpena dan sekutunya menambahkan lagi kemarahan dan kekecewaan penduduk beragama Hindu di Siru Kambam.
Pada masa itu, muncul seorang individu yang menggelar dirinya pakar berhala dan mampu merungkaikan masalah. ... Bersambung ...
(© Uthaya Sankar SB 2011. Bahagian Pertama faksyen “Interlok dan Siru Kambam” ditulis pada 12 November 2011 dan disiarkan di Free Malaysia Today pada 21 November 2011. Sila KLIK DI SINI untuk maklumat lanjut berkaitan Kontroversi Novel Interlok Edisi Murid. Senarai cerpen Uthaya Sankar SB boleh dirujuk DI SINI.)