20 May 2012

Kisah Cik Timun Busuk


Ini sebuah faksyen tentang Cik Timun Busuk. Kisah ini berjaya ditulis hasil maklumat daripada empat rakannya yang meminta nama mereka dirahsiakan atas tujuan keselamatan.

Anda mungkin pernah mendengar nama Cik Timun Busuk. Dia mula tiba-tiba lantang bersuara sejak timbul kontroversi berhubung berhala Dewa Shiva pada Disember 2010.

“Mana boleh penduduk Siru Kambam menolak berhala yang diperbuat daripada batu hitam itu? Mereka perlu menerimanya tanpa sebarang bantahan.”

Demikian Cik Timun Busuk berhujah dari pentas ke pentas yang dibina Persatuan Pengukir Berhala (Perpena) dan badan-badan yang bergabung di bawahnya.

“Semasa saya mengajar di sebuah kolej di Pulau Pinang dulu, kami mengkaji macam-macam berhala. Patung Dewa Shiva memang ada dalam pelbagai bentuk dan rupa. Para pelajar saya tidak menghadapi apa-apa masalah untuk mengkajinya,” katanya berulang kali.

Namun, suatu perkara yang tidak dinyatakan secara terbuka oleh Cik Timun Busuk adalah bahawa dia secara khusus amat ghairah melihat patung yang sedang cuba dijadikan berhala untuk diletakkan di mulastanam Kuil Sivaperuman.

“Saya sangat suka melihat patung yang diukir dengan alat sulitnya yang tegang. Sungguh mengghairahkan!”

Demikian dia mengakui kepada Encik Limau, Encik Salib, Penerima Anugerah Laut, Raja Se(ri)gala Bahasa dan sekutu mereka yang sama-sama berjuang memastikan patung Dewa Shiva yang penuh dengan pelbagai kelemahan itu tetap dijadikan berhala di Kuil Sivaperuman dan disembah penganut beragama Hindu di Siru Kambam.

“Betul juga tu,” kata Raja Se(ri)gala Bahasa yang pada mulanya lantang bersuara mengatakan patung itu tidak sesuai diletakkan di sebuah kuil. “Saya pun sudah mula rasa ghairah. Maka, mulai saat ini, saya akan bersama-sama anda semua menyokong perjuangan ini.”


Lalu, pelbagai strategi licik diatur untuk memastikan tidak ada sesiapa yang berani menentang usaha mereka mempersenda amalan penganut agama Hindu di Siru Kambam.

Kumpulan itu hampir-hampir berjaya mempengaruhi ketua panchayat supaya menolak usul yang dibawakan penduduk setempat dan seterusnya mengisytiharan bahawa patung Dewa Shiva dalam posisi berbogel bulat itu harus diletakkan di mulastanam dan disembah.

Untuk seketika, Cik Timun Busuk, Encik Limau, Encik Salib, Raja Se(ri)gala Bahasa dan Penerima Anugerah Laut melupakan perbezaan yang wujud. Melupakan rasa benci sesama sendiri dalam usaha masing-masing mahu menjadi pengukir berhala terhebat di Siru Kambam. - bersambung ...

(© Uthaya Sankar SB. Nama-nama dalam faksyen ini adalah rekaan semata-mata. Nama “Cik Timah Busuk” ditukar kepada “Cik Timun Busuk” bagi memudahkan kerja-kerja membuat ilustrasi. Faksyen ini ditulis pada 20 April 2012 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 30 April 2012. Faksyen ini perlu dihayati dengan fikiran terbuka mengikut cara yang dihuraikan DI SINI dan DI SINI. Baca juga faksyen Interlok dan Siru Kambam.)