20 Feb 2012

Pertandingan Kolem Erat Perpaduan Pelajar

[Suasana kembali harmoni di sekolah yang pernah dilanda masalah tahun lalu]

SHAH ALAM – Suasana harmoni jelas kelihatan semasa berlangsungnya “Pertandingan Kolem 1Malaysia” di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sri Muda, di sini, pagi tadi (18 Februari 2012).


Pertandingan anjuran Persatuan Bahasa Tamil sekolah itu disertai 164 pelajar pelbagai kaum yang sama-sama berusaha memupuk persefahaman dan semangat kerjasama dalam aktiviti yang sihat ini.


Pengetua, Rogayah Yahya melahirkan rasa gembira melihat pelajar pelbagai kaum sama-sama melukis kolem yang merupakan antara seni tradisi masyarakat India.


Beberapa pelajar yang ditemui turut meluahkan rasa gembira kerana berpeluang menyertai acara ini dalam suasana harmoni.


“Sejak kedatangan pengetua baru, suasana perpaduan dan keharmonian dalam kalangan pelajar amat baik,” kata seorang pelajar yang enggan namanya disiarkan.


Tahun lalu, sekolah ini mendapat perhatian berikutan beberapa insiden kurang sihat di bawah pentadbiran pengetua lama. [BACA DI SINI]


M. Sivapackiam dan K. Sivagami selaku guru penasihat persatuan berkata, penyertaan dibuka kepada pelajar pelbagai kaum atas nasihat Rogayah sebagai usaha murni memupuk perpaduan.


Setiap kumpulan yang terdiri daripada empat pelajar pelbagai kaum menghasilkan kolem bertema 1Malaysia sambil mengekalkan ciri-ciri tradisional lukisan kolem.


“Markah diberi berdasarkan kekemasan, keharmonian warna dan kreativiti tetapi apa yang lebih penting adalah suasana perpaduan yang wujud dalam kalangan guru dan pelajar dalam menjayakan pertandingan ini,” kata Rogayah.


Pertandngan itu diadili wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan diketuai yang dipertua baru, Kashfi Abdul Rauf.


(Disiarkan di Free Malaysia Today pada 18 Februari 2012. Setiap peserta turut menerima buku Kathakali sebagai cenderamata sumbangan Kumpulan Sasterawan Kavyan. Buku sudah diserahkan kepada penganjur pada 18 Februari 2012 dan akan disampaikan kepada peserta pada 20 Februari 2012.)