Suatu “kes” baru di mana saya terlibat sebagai perunding media sejak 16 April 2011 adalah siri insiden melibatkan pengetua, guru, ibu bapa dan pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam.
Maaf! Saya tidak akan mendedahkan nama sekolah berkenaan di sini walaupun sudah disiarkan beberapa akhbar seperti Utusan Malaysia sejak “masalah” di sekolah itu menjadi agak besar sejak 20 April.
Dalam usaha mendapatkan pandangan rakan-rakan berhubung kes seorang pelajar Tingkatan Tiga dibuli dan dibelasah sekumpulan lapan pelajar Tingkatan Empat di sekolah itu pada 13 April, saya mengemukakan begini pada ruangan status Facebook ada petang 20 Mei:
Situasi: Seorang pelajar cedera dibuli dan dibelasah sekumpulan lapan pelajar di sekolah. Ibu mangsa membawanya ke hospital, lalu membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan anak. Pengetua tidak mahu bertindak dengan alasan, ibu mangsa sudah membuat laporan polis. Soalan: Salahkah tindakan ibu mangsa?
Berikut antara reaksi yang diterima daripada rakan-rakan dan kenalan yang berpengalaman dan mampu membicarakan topik ini secara matang dan terbuka:
Harahap Darwis (Universiti Putra Malaysia): Tidak salah sama sekali. Pengetua seharusnya bekerjasama dengan ibu bapa mangsa dan pihak polis untuk membantu menyelesaikan kes, sekali gus mencari cara untuk membanteras gejala tersebut di sekolah.
Rahmad Amin (penyunting lulusan Universiti Malaya): Tindakan si ibu tidak salah. Sebaik-baiknya, paksa pengetua itu bertindak.
Malarkodee Muniandy (IPG Kampus Ilmu Khas): Pada pendapat saya, tindakan ibu mangsa adalah betul kerana pengetua telah lepas tangan dan si ibu berhak berbuat demikian. Pengetua perlu sedar mengenai tanggungjawabnya sebagai pentadbir sekolah dan lebih menekankan soal kebajikan pelajar.
Al-Abror Mohd Yusuf (pengamal media): Sifat pengetua adalah menaungi sesiapa di bawahnya. Pelajar adalah antara yang dinaunginya. ... Berlepas tangan dengan sikap seperti di atas adalah indikator bebal (kerana) memang kesalahan (membuli) terbongkang depan mata.
Suriyha Prakash (HSBC Cyberjaya): Sebagai ibu bapa kepada pelajar tersebut, dua laporan polis perlu dibuat. Satu mengenai pelajar yang kena buli dan satu lagi mengenai pengetua yang tidak bertanggungjawab. ... Sebagai pengetua sebuah sekolah, beliau sepatutnya membawa sendiri mangsa buli (pelajar) itu ke balai polis untuk membuat laporan (jika perlu) dan membantu menyelesaikan masalah (buli) hingga ke akar umbi agar kes tidak berlaku lagi.
Pandangan yang dikemukakan beberapa rakan seperti saya paparkan di atas tidak semestinya mewakili “suara” semua orang. Namun, sekurang-kurangnya mereka sedia berkongsi pandangan secara rasional dan beralasan.
Tarikh 20 Mei juga menandakan genap sebulan insiden sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam dibawa ke Balai Polis Seksyen 15, Shah Alam untuk diambil keterangan berikutan pergaduhan yang tercetus di kawasan sekolah berkenaan.
Sehingga kini, belum ada sebarang jawapan dan penjelasan daripada pihak berwajib berhubung kejadian itu. Demikian pendirian para ibu bapa yang kecewa dengan apa yang berlaku dan maklumat mengenainya boleh dibaca di blog saya sejak 20 April 2011.
Malah, tidak ada sebarang penjelasan atau jawapan yang membantu meredakan kebimbangan para ibu bapa apabila mereka menghadiri “Sesi Dialog dan Pemuafakatan” anjuran PIBG sekolah berkenaan pada 21 Mei.
Soalan paling asas yang masih menjadi tanda tanya adalah sama ada pengetua (sekolah) boleh membenarkan polis membawa pelajar dari sekolah ke balai polis untuk disiasat tanpa terlebih dahulu memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga.
Saya bertanya perkara itu menerusi ruangan status pada Facebook kerana rakan-rakan saya adalah golongan terpelajar, berilmu dan mampu memberikan jawapan dan penjelasan bijak berdasarkan fakta.
Nadia Ali dari Pulau Pinang menjelaskan bahawa “kanak-kanak tidak boleh disoal polis tanpa kehadiran/kebenaran ibu bapa” dan “kanak-kanak” dalam konteks ini tentulah merujuk kepada individu berumur bawah 18 tahun.
Dhanen Mahes juga dari Pulau Pinang, menekankan bahawa “kanak-kanak di bawah umur tidak boleh disoal tanpa ibu bapa/penjaga”.
Seorang pegawai dari Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Sabah, Rozailye Lee menegaskan bahawa “sekolah perlu menghubungi ibu bapa kepada pelajar tersebut sebelum dibawa ke balai polis”.
Malarkodee Muniandy, bakal guru dari IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur berkata, “Adalah menjadi suatu kewajipan bagi pihak sekolah untuk menghubungi ibu bapa kepada pelajar yang terlibat sebelum mengambil tindakan ‘menghantar’ mereka ke balai polis. Diharapkan setiap sekolah di negara kita mengikut prosedur yang betul supaya dapat mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.”
Saya juga berusaha mendapatkan maklumat daripada beberapa guru, pegawai Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Negeri, serta polis yang saya kenali. Kesemuanya tidak menolak kebenaran pandangan yang dikemukakan oleh Nadia, Dhanen, Rozailye dan Malarkodee.
Maka, tidak hairanlah mengapa ibu bapa dan penjaga begitu marah terhadap pengetua terbabit kerana dikatakan bersikap “lepas tangan” dan tidak mahu mengakui kesalahan yang dilakukannya.
Kemuncak kepada semua ini adalah apabila surat aduan dan petisyen yang ditandatangani lebih 700 ibu bapa, penjaga dan bekas pelajar sekolah itu diserahkan kepada Menteri Pelajaran pada awal Mei dan meminta kementerian menyiasat kes-kes yang berlaku di sekolah itu sejak empat tahun lalu.
Di pihak pengetua pula, sebagai penjawat awam, beliau memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi kepada media. Namun, “cakap-cakap” beliau di sekolah tetap sampai ke telinga ibu bapa. Tentu sahaja ia memburukkan lagi keadaan.
Apa kata survei: Apakah tindakan kawalan kerosakan (damage control) yang wajar dilakukan oleh pengetua berkenaan?