5 May 2011

Ibu bapa serah petisyen kepada Muhyiddin

PETALING JAYA: Sekumpulan ibu bapa dan bekas pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam menyerahkan petisyen ke pejabat Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin (3 Mei 2011).

Kia Ooi Meng, V Stephen Perumal dan S Gopalan mewakili lebih 700 ibu bapa, penjaga, bekas pelajar dan penduduk sekitar kawasan itu yang menandatangani petisyen tersebut berkata, mereka kecewa dengan cara pentadbiran Pengetua terbabit, khususnya berikutan pelbagai kejadian yang berlaku di sekolah itu sejak awal April lalu.


“Puan Pengetua tidak adil, tidak bertanggungjawab dan tidak layak menjadi pengetua kerana banyak masalah timbul sejak beliau menjadi pengetua di sekolah ini hampir empat tahun lalu,” kata mereka selepas menyerahkan salinan petisyen itu kepada pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) di Shah Alam, semalam (4 Mei 2011).


Menurut mereka, petisyen dan aduan rasmi sudah diserah di pejabat Menteri Pelajaran, Timbalan Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah Pelajaran di Putrajaya sebelum salinan diserah kepada PPD dan JPS.


Bersama-sama aduan rasmi itu dilampirkan petisyen yang ditandatangani lebih 700 orang; laporan berita di akhbar, portal berita dan blog mengenai beberapa insiden yang berlaku di sekolah berkenaan; serta salinan laporan polis yang dibuat oleh ibu bapa berikutan insiden pergaduhan di sekolah pada 13 April dan 20 April 2011.


“Sikap lepas tangan dan tidak bertanggungjawab puan Pengetua menyebabkan nama sekolah tercemar, pelajaran anak-anak terjejas dan sekolah ini tidak lagi selamat.


“Dengan itu, kami menuntut Kementerian Pelajaran, PPD dan JPS menyiasat Pengetua ini dengan segera dan mengambil tindakan tegas sebelum masalah menjadi lebih besar,” kata surat aduan itu.


Ooi Meng, Stephen dan Gopalan berkata, harapan ibu bapa, penjaga, bekas pelajar dan penduduk sekitar kawasan itu adalah supaya Kementerian Pelajaran memandang serius aduan yang dikemukakan.
“Kami mengharapkan siasatan dan tindakan serta-merta demi maruah profesion perguruan, sekolah, PPD, JPS, Kementerian Pelajaran dan gagasan 1Malaysia yang dibawakan oleh Perdana Menteri,” kata mereka.


Pada 26 April lalu, sekumpulan ibu bapa yang kecewa dengan sikap Pengetua mengadakan perhimpunan aman di luar sekolah sebelum memulakan kempen mengumpul lebih 700 tandatangan bagi petisyen meminta PPD, JPS, Kementerian Pelajaran dan kerajaan memberi perhatian serius terhadap Pengetua berkenaan yang dikatakan memanipulasi keadaan yang wujud di sekolah itu. [BACA LAGI]


(K Pragalath, Free Malaysia Today, 5 Mei 2011)