Genap lima tahun sejak kami dihalau dari Pulau Cinta. Genap lima tahun juga kami menjadi warga Pulau Pendatang.
Saya pernah membaca dalam buku sejarah dunia tentang bagaimana penduduk di negara India terpaksa membuat pilihan sebaik negara itu mencapai kemerdekaan dan negara Pakistan terbentuk.
Pernah juga saya membaca pilihan yang terpaksa dilakukan penduduk Jerman Timur dan Jerman Barat, serta Korea Utara dan Korea Selatan.
Lima tahun lalu, penduduk di Pulau Cinta terpaksa membuat pilihan. Bukan! Kami tidak diberi pilihan.
Pada pagi 1 Ogos, Perdana Menteri Pulau Cinta membuat pengumuman rasmi bahawa bermula 7 Ogos, kewarganegaraan penduduk Pulau Cinta yang bukan keturunan Malayali dilucutkan secara automatik.
“Pulau Cinta adalah milik penduduk peribumi keturunan Malayali yang beragama Hindu, bertutur Bahasa Malayalam dan mengamalkan budaya Malayali sahaja. Kaum pendatang dan bangsa asing diberi tempoh seminggu untuk kembali ke negara asal usul nenek-moyang atau menjadi pelarian di mana-mana negara.”
Demikian dipancarkan secara langsung menerusi radio dan televisyen tempatan. Demikian disiarkan di akhbar-akhbar dalam dan luar negara pada keesokannya.
“Bukankah kita lahir dan membesar di sini serta taat setia kita tertumpu sepenuhnya di sini?” Soal sebahagian penduduk yang tidak memahami rasional – agenda – di sebalik keputusan drastik yang diambil.
Namun, bagi kebanyakan penduduk Pulau Cinta, keputusan Jemaah Pemerintah sedikit pun tidak menghairankan; sama seperti semasa profesion sasterawan di pulau berkenaan diwartakan sebagai sama taraf dengan pelacur. -- Bersambung di Pulau Pendatang (2015)
(© Uthaya Sankar SB 2010. Bahagian Pertama faksyen ini pertama kali disiarkan pada 7 Ogos 2010 di blog www.uthayasb.blogspot.com sebelum disiarkan di portal berita Free Malaysia Today pada 2 Mei 2011. Sila KLIK DI SINI untuk memahami konsep penerbitan faksyen ini.)