Jurucakap pihak ibu bapa itu, V Stephen Perumal berkata, susulan pergaduhan antara sekumpulan pelajar di kawasan sekolah pada 19 dan 20 April lalu, ibu bapa pergi bertemu Pengetua pada 21 April untuk mendapatkan penjelasan dan menyelesaikan masalah.
“Kami juga memenuhi undangan ke mesyuarat pemuafakatan pada 25 April dan mesyuarat prosedur keselamatan pada 28 April tetapi puan Pengetua ternyata tidak ikhlas dalam memanggil kami ke mesyuarat itu,” katanya ketika dihubungi FMT, pagi tadi.
Beliau mengulas mengenai mesyuarat prosedur keselamatan di sekolah selama hampir dua setengah jam pada 28 April lalu yang turut dihadiri pegawai Jabatan Pelajaran Selangor (JPS), pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pegawai polis serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan timbalannya.
“Rata-rata ibu bapa yang menghadiri mesyuarat itu kecewa, tidak puas hati dan putus asa apabila diberitahu oleh pegawai polis bahawa foto, kenyataan dan salinan kad pengenalan 23 pelajar yang dibawa ke Balai Polis Seksyen 15 pada 20 April tidak akan dipulangkan.
“Sepanjang mesyuarat, puan Pengetua langsung tidak memberikan apa-apa jawapan kepada pertanyaan kami (ibu bapa) sedangkan kami datang untuk bersemuka dengan Pengetua yang merupakan ketua pentadbir sekolah,” kata Stephen.
Pada 26 April, sekumpulan ibu bapa yang kecewa dengan sikap Pengetua mengadakan perhimpunan aman di luar sekolah sebelum memulakan kempen mengumpul lebih 700 tandatangan bagi petisyen meminta PPD, JPS, Kementerian Pelajaran dan kerajaan memberi perhatian serius terhadap Pengetua berkenaan yang dikatakan memanipulasi keadaan yang wujud di sekolah itu.
“Kami sebagai ibu bapa sudah memberi terlalu banyak peluang kepada puan Pengetua tetapi nampaknya dia terus bersikap lepas tangan dan cuba menyalahkan orang lain.
“Sebagai Pengetua, dia sepatutnya lebih bertanggungjawab atau sekurang-kurangnya sedia berjumpa dengan ibu bapa yang datang untuk mendapatkan penjelasan,” kata Stephen yang juga bekas AJK PIBG sekolah berkenaan.
Ditanya sama ada ibu bapa terbabit akan hadir jika menerima undangan mesyuarat daripada Pengetua itu, Stephen berkata, “Tidak.
“Kami sudah jemu, marah dan kecewa, kami sudah pun banyak membazir masa kerana setiap kali kami tanya soalan (ketika dalam mesyuarat), puan Pengetua tidak menjawab dan kami nampak tidak ada apa-apa penyelesaian.”
Wartawan FMT gagal menghubungi Pengetua tersebut untuk mendapatkan komen kerana beliau dikatakan menghadiri kursus selama dua minggu
(K Pragalath, Free Malaysia Today, 4 Mei 2011)