23 Apr 2011

Pergaduhan pelajar: Ibu bapa dakwa sekolah belum maklumkan perkembangan

SHAH ALAM: Ibu bapa kepada sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah yang dibawa ke balai polis Seksyen 15, di sini, untuk diambil keterangan pada 20 April belum menerima sebarang penjelasan daripada pengetua sekolah terbabit.

Wakil jurucakap kumpulan ibu bapa itu, Stephen Perumal Velu berkata, sehingga pagi ini, pihak sekolah belum menghubungi mereka untuk memberi sebarang penjelasan.

“Kami membaca laporan media bahawa ketua polis daerah Shah Alam, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP), Zahedi Ayob berkata, kes itu diserahkan kepada pihak pentadbiran sekolah kerana ia berlaku di kawasan sekolah,” katanya sebagai mengulas laporan berita yang memetik sumber Bernama.

Laporan itu juga memetik satu sumber di Jabatan Pelajaran Selangor (JPNS) sebagai berkata, “kes gaduh itu sudah dianggap selesai, dan perkara itu diserahkan kepada pihak sekolah terbabit untuk ditangani” dan “Pengurusan sekolah memaklumkan bahawa ibu bapa pelajar terbabit sudah dipanggil untuk berbincang mengenainya” pada 21 April.

Menurut Stephen, apa yang dimaklumkan oleh pengurusan sekolah kepada JPNS adalah tidak benar sama sekali kerana mereka (ibu bapa pelajar terbabit) tidak pernah dipanggil untuk berbincang.

“Malah, kami sendiri yang pergi ke sekolah pada pagi 21 April tetapi kecewa dengan sikap puan pengetua yang bersikap lepas tangan dan cuba menyalahkan polis kerana membawa anak-anak kami ke balai.

“Entah ibu bapa siapa yang dipanggil oleh puan pengetua untuk mengadakan perbincangan seperti dilaporkan media; tambahan pula dia beri alasan tidak menghubungi ibu bapa apabila pergaduhan berlaku pada 20 April kerana kononnya tiada rekod ibu bapa dalam simpanan,” katanya apabila dihubungi menerusi telefon pagi tadi.

Stephen juga berkata, sekumpulan ibu bapa telah mengadakan perbincangan dalam kalangan mereka pada malam semalam berikutan kenyataan ACP Zahedi.

“Saya bersama beberapa ibu bapa ada di balai polis Seksyen 15 pada 20 April apabila foto, salinan kad pengenalan dan kenyataan 23 pelajar diambil untuk tujuan rekod.

“Kami mahu tahu adakah puan pengetua yang mengarahkan 23 pelajar itu dibawa ke balai polis pada 20 April akan minta polis batalkan kenyataan yang diambil daripada pelajar,” katanya sebagai mewakili para ibu bapa terbabit.

Stephen yang juga bekas ahli jawatankuasa PIBG sekolah itu berkata rata-rata kesemua 23 pelajar yang dibawa ke balai polis itu masih trauma dan akan terus ada stigma kerana diperlakukan oleh pengetua seperti penjenayah.

Mengenai kenyataan pengerusi PIBG, Anita Atan di dalam media massa, Stephen berkata para ibu bapa hairan mengapa dia mengeluarkan kenyataan bagaikan menjadi jurucakap kepada pengetua sedangkan dia (Anita) bukan kakitangan sekolah itu.

“Anita sebagai pengerusi PIBG pun tidak pernah hubungi ibu bapa untuk berbincang kes ini tetapi apabila kami ke sekolah pada 21 April, dia ada bersama puan pengetua untuk mempertahankan tindakan pengetua serahkan anak-anak kami kepada polis.

“Pengerusi PIBG sudah jadi macam wakil kepada puan pengetua pula dan pada 20 April, wartawan telah cuba hubungi pengetua beberapa kali untuk dapatkan reaksi tapi hanya mendapat jawapan bahawa pengetua sibuk,” katanya yang amat kecewa dengan kelemahan pentadbiran kedua-dua wanita itu.


(K. Pragalath, Free Malaysia Today, 23 April 2011)