Quah Saw Choon berkata, beliau sangat kecewa dan tidak puas hati dengan sikap pengetua yang tidak mahu mengambil berat kes buli itu dengan alasan bahawa ibu mangsa sudah membuat laporan polis.
“Ibu itu terpaksa membuat laporan polis kerana anaknya (mangsa) mengalami kecederaan luka di bahagian kepala, tangan dan lebam bahagian badan dalam kejadian di sekolah itu pada 13 April lalu.
“Lebih seminggu sudah berlalu tetapi nampaknya puan pengetua tidak mengambil apa-apa tindakan; malah JPS dan PPD juga tidak dimaklumkan tentang kejadian ini secara rasmi oleh sekolah,” katanya selepas bertemu Kia Ooi Meng (ibu mangsa) di Taman Sri Muda, di sini, hari ini.
Ibu mangsa bertemu Saw Choon, yang juga kenalannya, untuk meluahkan rasa bimbang akan keselamatan anaknya (mangsa) yang sudah kembali ke sekolah pada 15 April lalu tetapi masih mengalami trauma berikutan kes buli dan dibelasah itu.
“Apabila saya pergi ke sekolah pada Jumaat lalu (15 April), saya sendiri terkejut kerana pelajar yang anak saya kata telah membuli dan mencederakannya masih ada di sekolah.
“Malah, kini anak saya (mangsa) tida berani bermain di padang sekolah atau padang permainan di luar kerana takut kejadian hampir sama akan berulang,” kata suri rumah itu.
Saw Choon yang juga bekas AJK Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu turut terkejut mengapa pelbagai kes besar berlaku di sekolah itu sejak belakangan ini.
“Anak-anak saya pernah belajar di sekolah ini, anak-anak Ooi Meng juga pernah belajar di sini tetapi tidak pernah timbul kes seperti ini semasa pengetua lama ada di sini.
“Anak lelaki Ooi Meng yang jadi mangsa buli dan pukul oleh lapan pelajar itu memang budak baik, saya kenal sejak kecil dan dia pengawas sekolah sejak Tingkatan 1,” kata Saw Choon yang juga AJK MCA Selangor.
Seorang lagi kenalan mereka, Tamil Chelvi, juga mengenali mangsa sejak sembilan tahun lalu kerana anak-anak mereka belajar bersama sejak Tahun Satu.
“Saya memang tidak akan percaya kalau sesiapa memberi alasan bahawa anak Ooi Meng yang memulakan pergaduhan.
“Saya juga tidak menyalahkan pihak sekolah, tetapi semua yang berlaku ini memberi gambaran kelemahan puan pengetua sebagai seorang pentadbir yang berwibawa,” katanya.
Saw Choon menambah bahawa kejadian rusuhan pada 20 April mungkin tidak berlaku jika pengetua sudah mengambil tindakan tegas dan adil dengan segera pada 13 April berikutan kes buli dan belasah itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Bernama melaporkan pada 21 April bahawa Ketua Polis Daerah, ACP Zahedi Ayob berkata, kes pergaduhan dua kumpulan pelajar sekolah itu pada 20 April diserahkan kepada pihak pentadbiran sekolah terbabit kerana insiden berlaku dalam kawasan sekolah. [BACA DI SINI]
Sementara itu, portal berita, Malaysiakini, dalam laporannya pada 21 April memetik pengerusi PIBG sekolah itu, Anita Atan pula sebagai berkata, “Kita tunggu hingga laporan polis selesai. Saya tak boleh nak komen apa-apa” dan beliau menyerahkan isu itu untuk siasatan polis. [BACA DI SINI]
Wakil media boleh menghubungi Uthaya Sankar SB selaku pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya melalui talian 016-3288142 untuk maklumat lanjut, foto dan nombor telefon ketiga-tiga wanita berkenaan.
Keterangan foto: (dari kiri) Tamil Chelvi, Saw Choon dan Ooi Meng menunjukkan foto kecederaan yang dialami mangsa akibat dibuli dan dibelasan lapan pelajar di kawasan sekolah.(Sila KLIK pada foto untuk besarkan.)