20 Apr 2011

Rusuhan kaum: Anak takut ke sekolah, ibu turut bimbang

SHAH ALAM, 20 April 2011 – Seorang ibu kepada pelajar Tingkatan Tiga meluahkan rasa bimbang kerana anaknya takut ke sekolah berikutan insiden rusuhan kaum [istilah polis] yang berlaku di sekolah berkenaan hari ini.


Surirumah itu berkata, anak lelakinya menjadi mangsa buli di sekolah itu pada 13 April lalu dan terpaksa dimasukkan ke hospital akibat kecederaan pada kepala, tangan dan anggota badan (foto).


“Anak saya sudah kembali ke sekolah Jumaat lalu (15 April 2011) tetapi hari ini dia berkata, dia sangat takut kerana rusuhan kaum antara pelajar India dan Melayu berlaku di sekolahnya pagi tadi.


“Malah, salah seorang pelajar yang terlibat dalam rusuhan hari ini adalah pelajar yang terlibat membuli dan memukul anak saya sebelum ini,” katanya kepada wakil media.


Wanita itu berkata, beliau amat terkejut apabila mendapat tahu mengenai rusuhan kaum di sekolah itu hari ini.


“Saya sangat bimbang kerana takut akan keselamatan anak saya. Walaupun rusuhan melibatkan pelajar Melayu dan India, anak saya mungkin menjadi mangsa akibat rasa dendam.


“Anak saya akan menduduki PMR tahu ini dan saya takut pelajarannya turut terjejas akibat semua masalah ini,” katanya semasa dihubungi melalui telefon sekitar jam 8:00 malam.


Beliau turut berpendapat bahawa punca segala masalah di sekolah itu adalah berikutan kelemahan pentadbiran pengetua dan PIBG yang cuba menyembunyikan kes disiplin pelajar.


Pada 16 April 2011, ibu berkenaan melahirkan rasa kecewa terhadap sikap pengetua sekolah menengah kebangsaan terbabit yang tidak mahu mengambil tindakan terhadap lapan pelajar yang memukul anaknya. [BACA SEPENUHNYA DI SINI]


Dalam pada itu, ibu berkenaan melahirkan rasa hairan mengapa pelajar yang terlibat dalam kes buli dan pukul pada 13 April 2011 masih berada di sekolah itu.


“Saya difahamkan bahawa pelajar (pembuli) itu juga antara pelajar yang dikenal pasti terlibat dalam rusuhan di sekolah pada hari ini.


“Kalau puan pengetua mengambil tindakan tegas sebelum ini mengikut peraturan, mungkin rusuhan kaum yang terjadi hari ini tidak berlaku,” katanya.


Menurut sumber, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) tidak dimaklumkan oleh pengetua mengenai insiden pelajar dibuli dan dipukul pada 13 April 2011.


Wakil media yang berminat membuat liputan kes ini boleh menghubungi Uthaya Sankar SB melalui talian 016-3288142 atau uthayasb@yahoo.com.my untuk maklumat lanjut.


Uthaya Sankar SB adalah pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya (Uthaya’s Media, Motivation and Publication Consultancy) yang turut menyediakan perkhidmatan rundingan media secara percuma kepada anggota masyarakat yang memerlukan panduan cara-cara bekerjasama dengan media.