10 Jun 2026

Rawan: The Untold Story

Lampu limpah menyala umpama mata Kaali Devi yang enggan berkelip. Kamera jenis dolly bergerak perlahan, menyusuri lantai studio yang ditaburi pita pelekat berwarna, tanda blocking yang sering diubah-ubah mengikut kehendak pengarah yang konon berjiwa auteur tetapi sebenarnya hanya gemar berlakon pandai di hadapan kru.

Di tengah set yang dibina menyerupai sebuah pentas politik—lengkap dengan kerusi empuk, mimbar kayu berkilat, dan mikrofon yang sering rosak ketika penggambaran babak penting—berdiri seorang lelaki bernama Rawan.

Dia menghela nafas panjang, lalu memandang ke arah kamera utama, seolah-olah sedang memecah dinding keempat.

“Saudara-saudari sekalian, semua ini adalah satu proses. Kita harus terus sabar, harus teruskan agenda reformasi,” katanya dalam intonasi seakan retorik dipinjam daripada ceramah politik panjang yang tidak pernah mencapai klimaks.

Namun, sepertimana kebanyakan filem yang gagal, jalan ceritanya tidak pernah benar-benar bermula. Skrip sentiasa ditukar pada saat akhir, dialog diimprovisasi tanpa arah, dan pengarah asyik menjerit “Cut! Cut! Kita ulang!” bukan kerana babak itu tidak menjadi tetapi kerana dia sendiri lupa apa yang mahu disampaikan menerusi karya ini.

Di belakang tabir, penulis skrip duduk termenung, memegang naskhah yang penuh dengan pindaan bertindih; umpama janji-janji politik yang ditulis dan dipadam berkali-kali. Dia tahu, setiap baris yang ditulis hanyalah alat peraga—prop semata-mata—dalam sebuah produksi yang lebih besar: Sebuah sandiwara kuasa politik yang dipentaskan untuk penonton yang semakin letih.

“Plot biopic yang bakal anda saksikan ini tidak linear,” kata pengarah dalam sidang media yang tidak dihadiri sesiapa. “Kami ambil inspirasi daripada sinema Malayalam—fragmented narrative, temporal dislocation, analepsis, dan prolepsis.”

Maka, tidak hairanlah cerita yang sedang anda nikmati ini melompat dari satu masa ke masa lain tanpa amaran. Dari malam kemenangan yang penuh sorakan pada November 2022, ke pagi sunyi di mana janji-janji mula pudar seperti warna pada poster filem Jana Nayagan yang terdedah kepada hujan.

Dalam satu babak, Rawan berdiri di pentas dikelilingi cahaya spotlight yang lembut, menyanyikan lagu balada dalam gaya filem Kollywood—lengkap dengan penari latar yang muncul entah dari mana, berpakaian warna-warni, menggerakkan tangan dan kaki dalam koreografi yang tidak kena dengan suasana.

“Semua ini untuk Rakyat!” jerit Rawan sambil menari dalam gerak perlahan (slow motion) yang ditambah kemudian dalam pascaproduksi.

Muzik latar melonjak, irama tabla dan biola bersatu dalam melodi yang cuba membangkitkan emosi, namun apa yang terhasil hanyalah rasa janggal. Watak penonton tambahan (extras) yang dibayar murah bertepuk tanpa semangat umpama pengundi yang sudah lama hilang kepercayaan terhadap puak politik tetapi masih hadir ke pusat mengundi kerana tiada pilihan lain.

Di sudut lain studio, seorang pelakon pembantu yang melakonkan watak seorang menteri penting dalam Kabinet sedang bergaduh dengan pengarah seni.

“Kerusi ini terlalu kecil! Saya mahu kerusi lebih besar, lebih tinggi! Saya punya karakter mesti dominan dan mantap!” katanya dengan suara yang hampir pecah akibat keangkuhan politik sebenar.

Pengarah seni hanya mengangguk, lalu mengarahkan kru menukar prop, walaupun budget sudah lama bocor seperti paip lama. Di belakang, penerbit eksekutif senyap mengira kerugian walaupun tetap tersenyum di hadapan media; mengeluarkan kenyataan konon projek ini on track dan bakal menembusi pasaran antarabangsa.

Rawan pula mendesak supaya beberapa babak dramatik diolah menjadi musical set-piece. Lengkap dengan konsep mise-en-scène, reka gerak (blocking dan choreography), pendekatan sinematografi, serta lirik lagu yang berfungsi sebagai komentar terhadap skrip dan jalan cerita yang sebenarnya sentiasa ditulis semula dengan dakwat politik. … (bersambung)

Cerpen seterusnya: Gol dan Buku

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]