Biasanya, selepas seseorang meninggal dunia, kita akan menulis atau menyampaikan (kini, wajib kongsi di media sosial) kata-kata bagi memuji ataupun menyanjung sifat, peribadi, perbuatan, pencapaian, sumbangan, dan sebagainya berkaitan mendiang.
Eulogy — a speech or piece of writing that praises someone or something highly, especially a tribute to someone who has just died.
Eulogi itu biasanya penuh kepura-puraan kerana ditulis dalam keadaan penuh emosional selepas individu terbabit sudah tiada. Malah, lebih malang kerana individu berkenaan (mendiang) pasti tidak berpeluang membaca atau mendengar eulogi yang disampaikan.
Saya [Uthaya Sankar SB] mahu mengumpulkan eulogi sementara saya masih ada.
Satu, supaya anda tidak menulisnya dalam situasi penuh emosional dan kepura-puraan selepas saya sudah tiada.
Dua, supaya saya boleh membacanya sementara saya masih hidup.
Jangan risau. Ini bukan obituari iaitu notis ataupun pemakluman tentang kematian seseorang yang lazimnya disertakan sedikit maklumat ringkas-padat tentang si mati dan disiarkan di akhbar pada keesokan hari (kini, di media sosial pada hari yang sama) untuk makluman orang ramai.
Obituary — a notice of a death, especially in a newspaper, typically including a brief biography of the deceased person.
Maka, anda tidak perlu rasa takut, bimbang, atau bersalah.
Anda dipelawa (jika sudi; tiada paksaan) menulis eulogi dan bukannya obituari.
Atau anggaplah sebagai tribute (penghormatan) jika eulogy terlalu berat.
Untuk menulis eulogi (atau tribute), tentulah anda wajib mengenali saya. Tidak kiranya setahun atau 10 tahun atau 50 tahun.
Anda bukan sekadar “peminat” (fan) kepada hasil tulisan saya. Apa yang lebih penting adalah anda seorang “rakan” (friend) saya.
“… friends – I don’t consider anyone as my fan …” (The Edge, 12 April 2021)
Eulogi perlu (wajib) disertakan maklumat diri anda, iaitu nama penuh dan tempat tinggal (bandar, negeri).
Jangan gunakan nama samaran — Kita bukannya “kekasih gelap”.
Format eulogi yang ditulis adalah bebas. Tiada rangka khusus.
Nak tulis pantun? Silakan. Nak tulis tentang buku/karya pertama saya yang dibaca dan menyentuh jiwa? Silakan. Kisah pertemuan/perbualan unik dan penuh makna dengan saya? Silakan.
Syarat: ikhlas.
Bukan pura-pura. Bukan mengampu. Bukan membodek.
No two eulogies are exactly alike since each person’s story is distinct. [read more]
Panjang? Dicadangkan sekitar 100 hingga 200 perkataan. Mahu lebih sedikit pun boleh. Tapi janganlah tulis karangan 3,000 perkataan untuk cuba merakam setiap pengalaman anda mengenali saya sejak 50 tahun lalu!
Ringkas. Padat.
Tips! Pilih satu isu. Tulis. Tamat. [more tips]
Bahasa: Bahasa Malaysia, Inggeris, Tamil, atau Mandarin (Cina).
Perlu dikirim ke e-mel uthayasb@gmail.com atau WhatsApp 011-11411952.
Tarikh tutup: 10 Jun 2022 (11:30 malam) — genap “setengah abad” usia saya.
Tapi tolong … tolong … tolong … jangan hantar ucapan “selamat hari jadi”. Hantar eulogi untuk diabadikan. Itu lebih bermakna.
Oh, ya! Kesemua eulogi (atau tribute) akan didokumentasi di blog ini untuk bacaan umum. [Kemas kini — Akan dimasukkan pada bahagian “Pengantar” buku Khanda Puranam]