SHAH ALAM – Sekumpulan ibu bapa kepada pelajar sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini terasa diri mereka dilayan seperti orang bodoh apabila diminta menunggu sahaja di sebuah bilik di sekolah itu sementara mesyuarat berlangsung di bilik lain.Dalam peristiwa pada 25 April 2011, seramai dua belas ibu bapa memenuhi undangan menghadiri ‘Mesyuarat Pemuafakatan Antara JPNS, PPD, Polis, PIBG dan Pihak Pengurusan Sekolah’ berdasarkan surat yang dititipkan melalui anak-anak mereka pada Sabtu lalu.
Beberapa ibu bapa terbabit memberitahu media bahawa mereka menghormati surat undangan itu yang ditandatangani pengetua sekolah berkenaan dan mereka sudah berada di sekolah pada jam 2:30 petang seperti diminta.
“Kami ditempatkan di Bilik Gerakan sekolah itu bersama-sama beberapa guru, polis dan wakil PIBG tanpa ada sebarang perbincangan atau mesyuarat pemuafakatan seperti dijanjikan,” kata mereka.
Surat undangan tanpa nombor rujukan dan bertarikh 20 April 2011 itu menyatakan bahawa “pihak sekolah ingin menjemput tuan hadir ke sekolah bagi berbincang mengenai isu yang berlaku, ekoran daripada pergaduhan yang terjadi di sekolah pada 19 April 2011 (Selasa) dan 20 April 2011 (Rabu)”.
Sumber dalaman mengesahkan bahawa tidak lama selepas itu, pengetua keluar dari Bilik Gerakan.
“Selepas menunggu hampir sejam, kami menyedari bahawa pengetua, wakil JPS, wakil PPD dan seorang wakil sebuah parti politik sedang mengadakan perbincangan berasingan di bilik lain.