21 Apr 2011

Ibu bapa kecewa sikap pengetua, mahu buat laporan polis

SHAH ALAM, 21 April 2011 – Sekumpulan lebih 20 ibu bapa yang kecewa dengan sikap seorang pengetua sebuah sekolah menengah kebangsaan, di sini, mengambil keputusan akan membuat laporan polis terhadap wanita itu yang dikatakan menjadi segala punca salah laku di sekolah berkenaan.

Kumpulan ibu bapa itu berkata, mereka telah berusaha mengadakan pertemuan dengan pengetua berkenaan pada pagi ini (21 April) untuk menyelesaikan masalah tetapi terkejut dengan tindakan pengetua yang bersikap “lepas tangan” dan menyalahkan polis dalam isu 23 pelajar dibawa ke balai polis, semalam (20 April).


Salah seorang bapa, Sivaprakasam berkata, mereka bertemu pengetua di sekolah selama hampir sejam tetapi “cakapnya hanya meleret-leret dan tidak menjawab pertanyaan yang kami kemukakan”.


“Kami mahu mendapatkan menjelasan mengapa anak-anak kami yang tidak bersalah ditahan dan dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan sedangkan pelajar yang benar-benar terlibat dalam kes itu tidak pula diambil apa-apa tindakan,” katanya pada sidang media selepas pertemuan itu.


Seorang lagi bapa, Stephen Perumal Velu juga hairan mengapa 20 pelajar diminta berbaris seperti banduan dan dibawa masuk ke dalam kenderaan polis tanpa memaklumkan ibu bapa terlebih dahulu.


“Semasa kami bertemu puan pengetua tadi, beliau berkata bahawa dia tiada kuasa menghalang polis yang membawa pelajar ke balai. Apa yang pelik, dia sendiri yang menyerahkan pelajar-pelajar itu kepada polis dan saya sendiri ada di sana semasa kejadian (pada 20 April),” katanya.


Para ibu bapa juga mempersoalkan tindakan pengetua menyerahkan pelajar kepada polis tanpa menghubungi dan memaklumkan kepada ibu bapa tentang apa yang berlaku.


“Pelajar itu ada ibu, bapa atau penjaga, bukannya yatim piatu. Tapi puan pengetua beri alasan bahawa sekolah tidak ada rekod maklumat (nombor telefon) ibu bapa untuk dihubungi,” kata seorang ibu pada sidang media di Taman Sri Muda, di sini.


Persoalan lain yang timbul adalah mengenai tindakan pengetua mengarahkan semua pelajar turun ke tapak perhimpunan sebaik berlaku pergaduhan antara sekumpulan pelajar di luar bilik kaunseling.


“Tindakan kurang bijak puan pengetua menyebabkan pergaduhan itu merebak menjadi rusuhan kaum dalam kalangan pelajar dan perkara ini amat membimbangkan.


“Sebelum ini, tidak pernah ada kes teruk seperti ini berlaku dan kami percaya semua ini berikutan kelemahan puan pengetua sendiri,” kata Sivaprakasam yang juga bekas Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.


Stephen Perumal pula memaklumkan bahawa rata-rata pelajar yang dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan semalam (20 April) tidak pergi ke sekolah pada hari ini.


“Polis sudah berkata bahawa nama-nama mereka akan masuk rekod polis dan kalau ada apa-apa masalah berlaku lagi di sekolah, polis akan cari mereka. Jadi, pelajar takut ke sekolah kerana mungkin pergaduhan berlaku lagi dan mereka akan ditangkap,” katanya.


Kesemua ibu bapa yang mengadakan sidang media mengatakan bahawa anak-anak mereka kini mengalami trauma, fobia, takut, gangguan mental, malu dan aib berikutan insiden diserahkan oleh pengetua kepada polis untuk dibawa ke balai polis untuk disiasat.


“Puan pengetua sepatutnya mengaku bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu ini dan tidak boleh menuding jari kepada polis yang hanya menjalankan tugas mengikut keterangan yang beliau (pengetua) berikan.


“Sebagai seorang pentadbir, pengetua sepatutnya boleh menyelesaikan kes di sekolah tanpa perlu menyerahkan pelajar kepada polis,” kata Sivaprakasam.


Berikutan sikap “lepas tangan” pengetua, para ibu bapa terbabit berharap polis akan menyiasat kes ini dengan teliti, termasuk memanggil pelajar yang benar-benar terlibat dalam rusuhan kaum itu.


“Kami bertemu puan pengetua pada pagi ini (21 April) dengan harapan dapat menyelesaikan kes dengan baik tetapi beliau bersikap lepas tangan.


“Maka, kami akan membawa kes ini terus ke Pejabat Pelajaran Daerah, Japatan Pelajaran Selangor dan juga ke Putrajaya jika perlu,” kata Stephen Perumal.


Ibu bapa itu juga mengatakan bahawa mereka akan membuat laporan polis terhadap pengetua sekolah berkenaan.


“Terbukti puan pengetua sudah melakukan pelbagai kesalahan besar yang perlu disiasat oleh polis, PPD, JPS dan kementerian secara telus,” kata Sivaprakasam.


Sidang media yang diadakan oleh ibu bapa itu turut dihadiri Uthaya Sankar SB iaitu pemilik tunggal Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya (Uthaya’s Media, Motivation and Publication Consultancy) yang juga menyediakan perkhidmatan rundingan media secara percuma kepada anggota masyarakat yang memerlukan panduan cara-cara bekerjasama dengan media.


Wakil media diberi kebenaran memetik maklumat di atas untuk tujuan laporan (berita). Wartawan juga boleh menghubungi 016-3288142 untuk mendapatkan nombor telefon Sivaprakasam dan Stephen Perumal serta foto-foto berkaitan.


Keterangan foto: Sebahagian ibu bapa yang mengadakan sidang media. (Sila KLIK foto untuk besarkan.)