18 May 2011

Merungkai Insiden 20 April – Bahagian 1

Pada pagi 16 Mei 2011 (Hari Guru), saya berpeluang bertemu Encik Kashfi Abdul Rauf, Pengerusi Biro Keselamatan PIBG sebuah sekolah menengah kebangsaan di Shah Alam. Saya ada membaca laporan di Free Malaysia Today di mana beliau mengaku menghubungi polis berikutan insiden pergaduhan pelajar di kawasan sekolah berkenaan pada 20 April 2011. Sila KLIK DI SINI untuk membaca laporan berkenaan.

Kashfi juga mengaku bahawa beliaulah individu yang menulis komen seperti yang boleh dibaca DI SINI. Lalu saya bertanya, mengapa beliau tidak menghubungi wartawan berkenaan untuk mempersoalkan apa yang ditulis wartawan itu. Katanya, beliau (Kashfi) tidak tahu nombor telefon wartawan itu.


Seterusnya, Kashfi menceritakan apa yang berlaku pada 20 April. Semasa kami berdua berbual pada pagi 16 Mei, Yang Dipertua PIBG dan seorang bekas AJK PIBG juga hadir sama.


“Saya mendapat telefon daripada YDP yang meminta saya datang segera ke sekolah sebab ada kekecohan di kalangan pelajar pada pagi 20 April. Tidak lama selepas saya datang, ada pergaduhan pelajar di kawasan tapak perhimpunan.


“Tiga pelajar Melayu yang terlibat menyebabkan pergaduhan itu sudah ditahan dan diletakkan di dalam dewan. Saya kemudian lihat polis bawa seorang pelajar itu dan minta dia tunjukkan kepada polis siapa pelajar lain yang terlibat dalam pergaduhan,” kata Kashfi dengan niat untuk menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku semasa insiden itu.


Beliau mengakui bahawa tindakan itu kurang sesuai kerana katanya: “Lepas itu baru saya fikir, tentulah pelajar itu tak akan tunjuk kawan-kawan dia yang terlibat sama. Sebab tu 20 pelajar yang ditahan tu semuanya kaum India.”


Kashfi juga menjelaskan bahawa terdahulu, beliau menghubungi balai polis di taman itu sendiri dan meminta polis datang apabila keadaan sudah tidak terkawal.


“Apabila 23 pelajar itu dibawa menaiki kenderaan polis, saya sangka mereka akan dibawa ke balai polis berdekatan (di taman itu) tapi tak sangka pula polis bawa ke Seksyen 15. Saya terkejut dan kesal apabila mengetahui yang pelajar itu akan dibawa ke sana dan bukan ke balai polis berdekatan (ditaman itu),” katanya.


Mengenai baki pelajar yang sebenarnya terlibat dalam pergaduhan itu, Kashfi berkata, para pengawas telah menyediakan satu senarai lengkap pelajar yang betul-betul terlibat sama.


“Saya difahamkan bahawa senarai itu diserah kepada YDP PIBG dan ia kemudian diserahkan oleh YDP kepada pegawai di Balai Polis Seksyen 15,” katanya.


Menurutnya, susulan daripada penyerahan senarai baru itu, sejumlah pelajar Melayu telah dibawa ke Balai Polis Seksyen 9 pada keesokan hari (21 April) untuk disiasat.


“Saya rasa, pelajar yang disiasat pada 21 April di Seksyen 9 lebih trauma berbanding pelajar yang disiasat pada 20 April di Seksyen 15,” katanya.


Lalu saya bertanya dengan penuh hairan mengapa kenyataan rasmi Ketua Polis Daerah seperti disiarkan di Utusan Malaysia pada 27 April – BACA DI SINI – tidak menyebut maklumat itu.


"Itu yang saya pun rasa pelik dan tak faham,” katanya. ... Bahagian 2 usaha merungkai insiden 20 April boleh DIBACA DI SINI.