12 May 2011

Protes aman dua minit sahaja sebelum bersurai

SHAH ALAM: Protes aman ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan sikap pengetua sebuah sekolah menengah di Seksyen 25 di sini pagi tadi [11 Mei 2011] sempat berlangsung kira-kira dua minit sahaja sebelum bersurai atas arahan polis.

“Anda boleh berhimpun selama lima minit tanpa menggunakan kad protes,” kata seorang pegawai polis yang dikenali dengan nama Subra sahaja kepada sekumpulan 20 ibu bapa.


FMT sempat melihat beberapa kad manila yang tertera dengan frasa seperti ‘Pengetua gila kuasa’ dan ‘Apa tindakan Putrajaya?’


Salah seorang jurucakap pihak ibu bapa, Puan Quah Saw Choon mendakwa bahawa pengetua memaklumkan dalam perhimpunan sekolah bahawa beliau (pengetua) tidak akan melayan mahupun berjumpa dengan ibu bapa. [BACA DI SINI]


Para ibu bapa turut menunjukkan gambar vandalisme yang dilakukan pelajar pada dinding sekolah. Perkataan ‘Megawati P******’ tertulis pada dinding tersebut.


Megawati merujuk kepada pengetua sekolah tersebut, Megawati Hasbullah.


Kumpulan ibu bapa para pelajar ini telah menyerahkan petisyen pada minggu lepas mendesak Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin agar pengetua sekolah ini ditukar.


Perhimpunan aman ibu bapa ini merupakan usaha kali kedua oleh mereka. Mereka pernah protes buat kali pertama pada bulan lepas.


FMT sempat berjumpa dengan Kashfi Abdul Rauf, pengerusi biro keselamatan Persatuan Ibu Bapa Guru-Guru (PIBG) sekolah tersebut untuk mendapatkan ulasannya.


“Saya berada di sekolah pada 20 haribulan ketika pergaduhan antara dua kumpulan pelajar berlaku. Macam huru-hara. Saya yang menghubungi pihak polis,” ujarnya.


“Kita sedang berusaha menyelesaikan masalah ini,” katanya.


Beliau turut mempertahankan pengetua sekolah tersebut.


“Isu mahu tukarkan pengetua ini isu lama. Pengetua tak boleh keluarkan kenyataan sebab itu saya bercakap dengan anda. Hanya sebilangan kecil sahaja ibu bapa yang tidak puas hati,” kata beliau lalu beredar tanpa mengulas lanjut.


Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Anita Atan yang mengadakan pertemuan dengan ibu bapa yang tidak puas hati memberitahu bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai pergaduhan tersebut sehingga terlewat.


“PIBG dah minta pihak sekolah memaklumkan kalau ada apa-apa kes,” kata Anita.


Justeru beliau mencadangkan para ibu bapa yang tidak puas hati agar menghadiri mesyuarat PIBG pada 21 Mei ini.


“Tulis apa yang anda tak puas hati. PIBG akan sama-sama menyelesaikan masalah,” ujar Anita.


(K Pragalath, Free Malaysia Today, 11 Mei 2011)