Wednesday, 11 May 2011

PIBG Adakan Pertemuan Pada 21 Mei

SHAH ALAM, 11 Mei 2011 – Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (YDP PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sri Muda, di sini, memberi jaminan akan mengadakan pertemuan muhibah antara PIBG dan ibu bapa/penjaga bagi menyelesaikan pelbagai isu yang timbul sejak belakangan ini.

Puan Anita Atan berkata, perjumpaan itu akan diadakan pada 21 Mei 2011, pukul 2:00 petang bagi memberi peluang kepada ibu bapa dan penjaga meluahkan perasaan serta berkongsi pandangan dan membuat aduan secara langsung kepada PIBG.


“Apa-apa yang berlaku sebelum ini, saya tidak tahu kerana tidak ada sesiapa yang memberitahu saya. PIBG sedia mendengar pandangan ibu bapa dan kami akan lakukan yang terbaik demi anak-anak (pelajar),” katanya semasa mengadakan pertemuan dengan beberapa ibu bapa di sebuah restoran bersebelahan sekolah itu pada pagi ini.


Anita membuat saranan mengadakan pertemuan antara PIBG dan ibu bapa/penjaga apabila seorang ibu, Irene Kia Ooi Meng meluahkan rasa sedih, kecewa dan putus asa kerana PIBG langsung tidak menghubunginya berikutan kes anak lelakinya dibuli dan dibelasah sekumpulan lapan pelajar lain di kawasan sekolah pada 13 April 2011.


Mengenai kes itu, Anita berkata, beliau hanya mendengar mengenainya daripada beberapa orang luar, lalu memutuskan untuk berjumpa pengetua untuk mendapatkan maklumat.


“Saya pun dengar cakap-cakap orang dan kawan-kawan sebab pengetua (Megawati Hasbullah) tidak memaklumkan kes itu kepada saya,” katanya.


Berita mengenai kes buli dan belasah itu pertama kali disiarkan di blog Uthaya Sankar SB [BACA DI SINI] pada 16 April 2011 sebelum disiarkan di portal berita Free Malaysia Today [BACA DI SINI] pada 18 April 2011.


Anita menceritakan bahawa pada pagi 20 April 2011, beliau sendiri pergi berjumpa pengetua untuk mendapatkan penjelasan mengenai kes itu, tetapi dikejutkan pula dengan satu lagi kes pergaduhan yang membawa kepada insiden 23 pelajar dibawa ke Balai Polis Seksyen 15 untuk diambil keterangan.


“Saya hanya menjadi YDP PIBG pada Februari 2011 dan masih belum sempat mengadakan pertemuan dengan ibu bapa untuk mendengar pandangan mereka kerana saya memang mendapat tahu bahawa ada banyak kes lama di sekolah ini yang tertangguh, belum diselesaikan dan tidak dilaporkan oleh sekolah kepada saya sejak saya menjadi YDP,” katanya yang sebelum ini pernah menjadi AJK PIBG.


Anita juga mendedahkan bahawa semasa Mesyuarat AJK PIBG yang pertama (sebelum 13 April 2011), sudah diputuskan dan diminitkan bahawa bagi sebarang kes yang melibatkan pelajar, maka sekolah diminta melaporkan (memaklumkan) kepada PIBG supaya PIBG boleh membantu untuk menanganinya; termasuk menghubungi ibu bapa/penjaga untuk mengadakan perbincangan.


“Tetapi banyak kes yang tidak dimaklumkan kepada PIBG, maka kami tidak boleh buat apa-apa sebab kami tidak diberitahu oleh pihak sekolah.


“Sekarang, PIBG sudah tahu dan kami akan beri surat undangan kepada ibu bapa melalui anak-anak (pelajar) untuk hadir ke pertemuan pada 21 Mei ini,” katanya sambil menambah bahawa AJK PIBG akan bermesyuarat pada 16 Mei.

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!