11 May 2011

Perhimpunan Cuma Lima Minit

SHAH ALAM , 11 Mei 2011 – Perhimpunan aman kali kedua oleh sekumpulan ibu bapa, penjaga, bekas pelajar dan penduduk sekitar di hadapan sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini hanya berlangsung selama lima minit.

Malah, penunjuk perasaan tidak memegang sebarang sepanduk atau kad manila walaupun kad-kad bertulis kata-kata bantahan terhadap pengetua sekolah berkenaan kelihatan dibawa oleh ibu bapa terbabit pada sekitar pukul 10:00 pagi tadi.


Beberapa pegawai polis bertemu para ibu bapa yang berkumpul di bawah sebatang pokok yang rendang di hadapan sekolah dan memberi nasihat secara baik selepas menyedari bahawa mereka mahu mengadakan perhimpunan aman sebagai meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengetua sekolah.


Wakil media dimaklumkan bahawa beberapa pegawai dari Kementerian Pelajaran juga dijadualkan datang ke sekolah pada hari ini (11 Mei 2011) berikutan surat aduan dan petisyen yang diserahkan ke Putrajaya sebelum ini.


Ibu bapa akhirnya dibenarkan berhimpun secara aman di hadapan pintu masuk sekolah selama lima minit tanpa memegang sebarang sepanduk atau kad manila.


Pegawai polis itu (Subra) mengingatkan bahawa sekiranya ibu bapa berhimpun lebih daripada itu atau memegang sepanduk, maka akan dianggap mengadapan perhimpunan haram kerana tidak mendapat permit.


Kesemua ibu bapa, penjaga, bekas pelajar dan penduduk yang berkumpul akur pada penjelasan dan arahan itu serta mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan pihak polis.


Perhimpunan aman serupa ini diadakan pada 25 April 2011 dan maklumat boleh dibaca DI SINI.


Antara kata-kata pada kad manila yang dibawa ibu bapa pada hari ini tertulis frasa “Pengetua Lepas Tangan”, “Ambil Tindakan Segera”, “Apa Tindakan KPM?”, “Ibu Bapa Tolak Pengetua”, “Pengetua Tidak Bertanggungjawab”, “Tukar Pengetua” dan “Selamat Tinggal Pengetua”.


Salinan 18 Perkara (aduan kepada media) dan salinan surat aduan (petisyen) yang diserah di Putrajaya juga diedarkan kepada wakil media yang hadir membuat liputan.


Selepas bersurai secara baik atas arahan polis, ibu bapa yang sedang mengumpulkan semula kad-kad manila di bawah pokok rendang, didatangi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (YDP PIBG) sekolah berkenaan yang berjanji akan membantu menyelesaikan masalah.


Bagaimanapun, perbualan sekumpulan ibu bapa bersama beliau (YDP) terganggu apabila pegawai polis datang dan mengarahkan mereka semua segera beredar sebelum apa-apa tindakan diambil kerana tidak patuh pada arahan polis supaya bersurai.