11 May 2011

PIBG Nafi Laporan China Press

SHAH ALAM, 11 Mei 2011 – Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (YDP PIBG) sebuah sekolah menengah kebangsaan di sini menafikan laporan akhbar China Press pada 10 Mei 2011 yang memetik beliau sebagai berkata bahawa kes seorang pelajar Tingkatan Tiga dibuli dan dibelasah lapan pelajar Tingkatan Empat pada 13 April 2011 sudah selesai.

Laporan berita bertajuk “Lapan pelajar Pukul Pengawas: PIBG Nafi Tidak Atur Pertemuan” menyatakan bahawa YDP itu menyangkap dakwaan dia lepas tangan dalam kes-kes yang dibawakan oleh ibu bapa dalam beberapa pertemuan dengan pihak sekolah sebelum ini.


Akhbar Bahasa Mandarin itu melaporkan wanita itu berkata, semua kes sudah selesai; termasuk kes pergaduhan (rusuhan) pada 20 April 2011.


Mengenai kes pelajar yang dibuli dan dibelasah pada 13 April, China Press memetik YDP PIBG sebagai berkata bahawa beliau sudah berbincang dengan ibu mangsa; dan beliau (YDP) tidak boleh komen apa-apa kerana kes masih dalam siasatan polis.


Ibu mangsa yang menghubungi Uthaya Sankar SB (blogger dan perunding media) pada malam 10 Mei 2011 berkata, beliau tidak pernah dihubungi YDP PIBG atau pengetua sekolah untuk berbincang berhubung insiden anaknya dibuli dan dibelasah hingga cedera.


Uthaya Sankar SB cuba menghubungi YDP PIBG pada pukul 10:10 malam, 10 Mei 2011 tetapi panggilan tidak dijawab.


Bagaimanapun, Uthaya Sankar SB berjaya bertemu YDP itu pada pagi 11 Mei 2011, selepas perhimpunan aman kali kedua oleh ibu bapa di hadapan sekolah berkenaan.


Wanita itu menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti yang dilaporkan oleh akhbar China Press dan beliau tidak tahu dari mana wartawan akhbar itu mendapat maklumat.