18 May 2011

Pertemuan Ibu Bapa dan PIBG, Sabtu Ini

Pertemuan ibu bapa dan penjaga bersama PIBG Sekoleh Menengah Kebangsaan Taman Sri Muda, Shah Alam akan diadakan pada Sabtu, 21 Mei 2011, bermula pukul 2:00 petang di sekolah berkenaan.

Salah seorang ibu, Tamil Chelvi berkata, beliau menghubungi Yang Dipertua PIBG pada pukul 2:00 petang tadi (18 Mei 2011) dan mendapat pengesahan rasmi daripada YDP sendiri mengenai perkara itu.


“Saya hairan juga mengapa belum ada surat dikirim melalui pelajar, jadi saya hubungi beliau (YDP) dan beliau mengesahkan pertemuan itu akan dijalankan seperti dijadualkan.


“YDP juga mengesahkan surat sudah dihantar pada Isnin (16 Mei),” katanya apabila dihubungi sebentar tadi.


Pada 11 Mei lalu, YDP PIBG memberitahu bahawa suatu pertemuan akan diadakan pada 21 Mei untuk membantu merungkai segala permasalahan yang membelenggu; dan berita itu boleh dibaca DI SINI.


PIBG juga berjanji “akan sama-sama menyelesaikan masalah” seperti dilaporkan di Free Malaysia Today pada 11 Mei dan boleh dibaca DI SINI.


Sehubung itu, Tamil Chelvi berharap ibu bapa dan penjaga akan datang beramai-ramai ke perjumpaan pada Sabtu ini (21 Mei) untuk mendapatkan jawapan bagi pelbagai persoalan dan isu, khususnya yang berlaku sejak lebih sebulan lalu.


Sementara itu, seorang lagi ibu, Quah Saw Choon ketika dihubungi, memuji usaha PIBG menganjurkan pertemuan ini.


“Walaupun agak terlewat tetapi saya masih percaya perjumpaan PIBG dengan ibu bapa dan penjaga pada Sabtu ini akan membawa kebaikan kepada semua.


“Sejak 16 April lalu, ibu bapa dan penjaga sudah memulakan tindakan proaktif berikutan pelbagai insiden di sekolah dan kini saya harap PIBG akan melaksanakan tanggungjawabnya pula,” katanya.