1 Sept 2026

Bengkel Penulisan Cerpen Terakhir



Pengenalan

Saya (Uthaya Sankar SB) mengendalikan bengkel penulisan cerpen di seluruh negara sejak tahun 1994. Siri bengkel, sesi bimbingan, dan permukiman turut diusahakan menerusi Kavyan (contoh di sini). Saya memutuskan untuk menghentikan semuanya. Maka, saya mengadakan satu bengkel penulisan terakhir pada Disember 2026. Mulai Januari 2027, hanya bimbingan secara profesional (berbayar) ditawarkan, iaitu “Khidmat Menyemak dan Menyunting Manuskrip” serta “Bimbingan Peribadi dalam Penulisan”. Kedua-duanya ialah khidmat berbayar; tiada lagi sebarang bimbingan percuma mulai 1 Januari 2027.

 

Bengkel Penulisan Cerpen Terakhir

Segala pengalaman saya terlibat dalam bidang penulisan kreatif sejak tahun 1991 serta pengalaman mengendalikan sesi bimbingan penulisan sejak tahun 1994 akan digunakan untuk mengendalikan bengkel penulisan terakhir ini. Saya tidak mengenakan apa-apa bayaran bagi perkhidmatan saya pada “bengkel terakhir” ini. Sebaliknya, peserta membayar untuk menampung kos sewa tempat pengendalian bengkel.

 

Tarikh

Mula: 3.00 petang, 12 Disember 2026 (Sabtu)

Tamat: 12.00 tengah hari, 13 Disember 2026 (Ahad)

 

Tempat

Sebuah penginapan (homestay) di sekitar Petaling Jaya, Selangor. Perincian lokasi akan diberi kepada peserta berdaftar. Peserta perlu bermalam di tempat pengendalian bengkel. Jika peserta memilih untuk tidak menginap, yuran yang dikenakan masih sama kerana perlu menampung kos sewa tempat. Peserta wajib menyertai sesi pada kedua-dua hari.

 

Bayaran

Setiap peserta dikenakan bayaran RM60 (Enam Puluh Ringgit Sahaja) dan wang ini digunakan untuk menampung kos sewa rumah penginapan (homestay) di mana bengkel penulisan dikendalikan. Bayaran perlu dibuat apabila sudah ada jumlah peserta yang mencukupi.

 

Peserta

Enam (6) individu berumur minimum 18 tahun yang berminat menulis cerpen Bahasa Malaysia. Individu yang tidak mampu berkomunikasi (bercakap, membaca, menulis) menggunakan Bahasa Malaysia tidak diterima sebagai peserta. Peserta perlu membawa idea cerpen yang mahu ditulis serta mungkin bahan rujukan berkaitan. Peserta yang sudah menyediakan manuskrip cerpen tidak perlu menjadi peserta—sebaliknya boleh ,mendapatkan “Khidmat Menyemak dan Menyunting Manuskrip”. Peserta juga wajib membawa komputer riba dan wajib tahu menaip menuskrip—tanpa mengharapkan orang lain menjadi tukang menaip.



Bimbingan

Peserta akan menerima bimbingan secara berkumpulan dan juga secara individu. Sesi sumbang saran dan bedah karya juga diadakan secara berkumpulan dan individu. Semua sesi bimbingan berjalan di ruang tamu homestay dan bukan di dalam bilik.

 

Sasaran

Sebelum meninggalkan tempat bengkel berlangsung, peserta sudah menghasilkan minimum sebuah cerpen yang lengkap dan sedia untuk dikirim ke media penerbitan yang sesuai.

 

Kos Makan, Minum, Pengangkutan

Segala kos makan, minum, pengangkutan, perjalanan dan sebagainya ditanggung masing-masing peserta. Yuran yang dibayar hanya untuk menampung kos sewa tempat.

 

Tarikh Tutup

Pendaftaran peserta dibuka sehingga 15 November 2026 tetapi akan ditutup lebih awal jika sudah ada jumlah peserta yang mencukupi.