28 Aug 2026

Raksasa Surasa Menelan Ladang Getah – Bahagian Tiga



[Baca – Bahagian Dua] Aku mengangkat lampu minyak itu lebih tinggi. Api kecil di dalam kaca bergetar ditiup angin lembap. Cahaya kekuningan menyimbah tanah di bawah banglo kayu, lalu menampakkan setiap lekuk, setiap akar yang menjalar, serta setiap gumpal lumpur yang baru dibasahi hujan.

Bekas tapak kaki itu tidak hilang. Malah, semakin jelas apabila cahaya mengena permukaannya dari sisi.

Aku melutut. Lumpur itu masih lembut. Aku menyentuh menggunakan hujung jari telunjuk. Sejuk. Lebih sejuk daripada air hujan yang masih menitis dari hujung bumbung nipah. Mustahil. Tanah di Mukim Klang tidak pernah sedingin itu. Walaupun selepas hujan berjam-jam, bumi tetap menyimpan bahang siang.

Aku menarik tangan serta-merta apabila menyedari suatu pergerakan.

“Siapa di sana?”

Suara sendiri kedengaran asing dalam kesunyian malam.

Tiada jawapan. Aku berdiri semula sambil memusingkan lampu ke setiap arah. Cerucuk-cerucuk kayu banglo berdiri tegak seperti sekumpulan askar yang membisu. Bayang-bayangnya memanjang di atas tanah sehingga sukar membezakan antara kayu, akar, dan tubuh manusia.

Seekor katak melompat keluar dari celah semak. Aku menghembus nafas perlahan. Barangkali fikiranku terlalu penat sehingga membayangkan yang bukan-bukan.

Keesokan pagi, aku meminta Ramanathan menemani aku ke bawah banglo. Dia datang membawa cangkul pendek.

“Ada apa, Tuan?”

“Saya mahu tunjukkan sesuatu.”

Namun, sebaik kami tiba, bekas-bekas tapak kaki itu sudah tiada. Hanya kelihatan tanah yang rata. Aku memandang lama pada tempat yang sama.

“Aneh …”

“Apa yang aneh, Tuan?”

“Saya nampak sesuatu pada malam tadi.”

“Apa dia, Tuan?”

Aku tidak terus menjawab. Jika aku menceritakan tentang tapak kaki yang muncul dari dalam tanah, apakah bezanya aku dengan pekerja-pekerja yang percaya tanah boleh tidur dan bangun semula?

“Tak mengapa, Ramanathan,” aku segera mengubah topik. “Cangkul sedikit di sini.”

Ramanathan menurut tanpa banyak soal. Baru beberapa kali mata cangkul memasuki tanah, bunyinya berubah.

Tok!

Bukan bunyi tanah. Bukan bunyi batu. Lebih menyerupai kayu tua. Kami saling berpandangan. Ramanathan mencangkul sekali lagi.

Tok! Tok!

“Berhenti.”

Aku mengambil cangkul daripada Ramanathan, lalu menggali sendiri dengan lebih berhati-hati. Beberapa minit kemudian, hujung sesuatu mula kelihatan.

Kayu. Hitam. Keras.

Aku membersihkannya menggunakan tangan. Ia bukan akar. Permukaannya terlalu rata. Aku terus menggali sehingga kira-kira dua kaki panjang kayu itu terdedah.

“Jangan, Tuan.” Ramanathan tiba-tiba menarik lenganku.

“Kenapa?”

“Itu bukan pokok.”

“Habis tu?”

“Macam ... tiang.” Ramanathan menelan air liur.

Aku memerhatikan objek itu sekali lagi. Benar. Kayu itu dipotong kemas pada kedua-dua sisi. Seolah-olah pernah menjadi sebahagian daripada sesuatu binaan. Bangunan? Jambatan? Pagar?

Aku cuba mengingati semua pelan pembangunan Merton Estate yang pernah aku lihat. Sebelum kawasan ini dibersihkan mulai tahun 1899, catatan rasmi hanya menyebut perihal “tanah berpaya dan belukar”. Tiada sebarang kampung ditandakan kewujudannya pada peta lama.

Kalau begitu ... Tiang ini milik siapa?


[Sokong karya Uthaya Sankar SB. Lihat senarai buku]


Soalan itu terus menghantui fikiran sepanjang hari. Pada waktu petang, aku membuka peti besi kecil di pejabat. Di dalamnya tersimpan dokumen-dokumen lama yang diwariskan daripada pengurus terdahulu.

Pelan Lot 82. Surat hak milik. Laporan hasil pengeluaran getah. Senarai pekerja. Bil penghantaran ke England. Segala-galanya disusun kemas. Aku mencari rekod paling awal. Tahun 1899.

Catatan ringkas oleh penyelia pertama: “Ground heavily waterlogged. Clearing expected to take longer than estimated.”

Tiada apa-apa yang luar biasa. Aku membuka laporan berikutnya. Beberapa halaman tercicir. Ada kesan seperti helaian itu sengaja dikoyakkan. Aku menyelak lagi.

Pada halaman terakhir, terdapat satu ayat yang tidak berkaitan langsung dengan kerja ladang: “The surveyors insist there was nothing there. I disagree.”

Tiada tandatangan. Tiada penjelasan. Aku membaca ayat itu berkali-kali. Apa yang dimaksudkan dengan “nothing”? Dan mengapa si penulis tidak bersetuju?

Pada sebelah malam, hujan turun lebih lebat berbanding hari-hari sebelumnya. Air mengalir deras di sepanjang parit. Sesekali terdengar bunyi ranting patah dari arah hutan. Aku baru sempat menulis beberapa baris dalam jurnal ini apabila terdengar ketukan pada pintu.

Subramaniam. Wajahnya pucat.

“Tuan …”

“Apa berlaku?”

“Seorang penoreh getah hilang.”

“Hilang?” Aku kurang mengerti.

“Tak balik dari petak tiga belas.”

“Siapa?” Aku segera mencapai lampu minyak dan kot hujan.

“Arumugam.”

Aku kenal kuli itu. Seorang lelaki muda yang baru dua tahun tiba dari Nagapattinam. Pendiam. Rajin. Jarang bercakap kecuali apabila perlu.

Dalam hujan yang semakin lebat, kami berkumpul berhampiran bangsal. Lebih dua puluh orang pekerja hadir membawa pelita. Wajah kesemua mereka jelas tegang. Seorang wanita muda kelihatan memeluk dua orang anak sambil menangis tanpa suara.

“Itu isterinya,” bisik Ramanathan.

Kami bergerak menyusuri lorong di antara pokok-pokok getah. Cahaya pelita berayun-ayun. Hujan menenggelamkan hampir semua bunyi. Sesekali kami memanggil nama Arumugam. Tiada jawapan.

Apabila tiba di petak tiga belas, aku berhenti. Tanah di situ dipenuhi air sehingga paras buku lali. Beberapa cawan susu getah terapung-apung; terkeluar dari tempat sepatutnya. Keadaan seperti ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

Kemudian, terdengar salah seorang pekerja menjerit. Kami semua berlari ke arahnya. Di pangkal sebatang pokok getah, terdapat pisau penoreh. Masih tersangkut pada kulit pokok.

Di bawahnya ... susu getah putih menitis perlahan. Bercampur dengan sesuatu yang jauh lebih gelap.

Aku mencangkung, lalu menyentuh menggunakan hujung jari. Bukan getah, bukan lumpur, sebaliknya darah!

Tetapi tiada mayat. Tiada kesan pergelutan. Tiada tapak kaki menuju keluar. Hanya satu barisan bekas tapak kaki yang menuju ke arah paya di hujung ladang. Dan selepas beberapa ela, kesan-kesan itu lenyap begitu sahaja, seolah-olah pemiliknya tidak lagi berjalan di atas tanah. … Bersambung dalam buku pada [2027?]

(Fiksyen spekulatif ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 18-24 Julai 2026 sebagai sesi latihan intensif menulis cerpan—cerpen panjang—untuk disiarkan secara bersiri di blog sebagai promosi bagi novela yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Sumber imaginasi berdasarkan pembacaan bahan arkib berkaitan Ladang Merton, Klang yang pada tahun 1982 dibangunkan menjadi Taman Sri Muda, Shah Alam.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!