24 Aug 2026

Kaka Smriti: Ingatan yang Tidak Mati (Bahagian 11)



[Sambungan daripada Bahagian Sepuluh]

Apabila masa atau kala berhenti menjadi garis linear, segala yang hidup mula kehilangan arah. Dalam tradisi Hindu, tempoh satu kala bersamaan dengan 144 saat.

Bagi golongan manusia, masa ialah sungai yang mereka percaya sentiasa mengalir ke hadapan; tidak pernah berundur. Bagi kaum gagak, masa umpama udara—tidak kelihatan pada mata kasar tetapi sentiasa menampung sayap dalam penerbangan.

Namun pada saat kaka smriti mula retak, kedua-dua konsep yang menjadi pegangan golongan manusia dan kaum gagak mula berubah kepada sesuatu yang lain. Bukan lagi sungai dan bukan juga udara. Sebaliknya, menjadi ruang yang sedang memerhati dirinya sendiri.

Aku tidak lagi tahu sama ada aku sedang terbang atau sedang diingatkan bahawa aku pernah terbang.

Langit Bandaraya Diraja Klang tidak lagi berada di atas. Begitu juga, Sungai Klang tidak lagi berada di bawah. Segala orientasi dan konsep berkaitan sudah runtuh seperti sarang lama sang gagak yang kehilangan ranting terakhir, lalu jatuh menyembah tanah.

Namun, dalam segala kekacauan itu, satu perkara masih kekal: Kesedaran bahawa sesuatu sedang mengulang kehidupan kami tanpa memerlukan kami faham apa yang sedang berlaku sebenarnya.

Kuil Sri Navaneetha Krishnar tidak lagi menjadi sebuah tempat secara fizikal. Sebaliknya, ia menjadi suatu keadaan. Kadang-kadang ia muncul di tepi sungai. Kadang-kadang kelihatan di atas bumbung rumah manusia. Kadang-kadang terawang-awang seperti syurga. Kadang-kadang hadir dalam mimpi seekor gagak yang tidak pernah dilahirkan.

Arul berdiri di kuil ini tanpa bayang hitam.

“Ini bukan lagi kaka smriti,” katanya.

“Jadi, apa?”

Aku memandangnya. Dia tidak menjawab segera.

“Ini … sesuatu yang sedang belajar menjadi kita,” jawabnya selepas seketika.

Meenakshi sudah sah tidak lagi berminat mengumpul dan menyimpan objek berkilat. Seolah-olah dia sedar, dalam ruang ini, kilauan tidak membawa apa-apa makna. Tentu dia sedar, segala benda memantulkan segalanya. Tiada hierarki cahaya dan tiada perbezaan antara yang ditemui dan yang hilang.

“Kalau ia sedan belajar menjadi kita … siapa yang mengajar?” Meenakshi bertanya.

Soalan itu tidak mencari jawapan; tidak mengharapkan jawapan. Ia hanya pertanyaan retorik yang membuka ruang lebih dalam untuk diteroka akal gagak.

Di Chennai, Dr. Ananthan Subramaniam tidak lagi—pada andaiannya sendiri—mempunyai tubuh yang stabil. Memanglah dia masih makan, masih tidur, masih duduk di kerusi makmal, dan masih termenung. Akan tetapi, setiap tindakan saintis itu terasa seolah-olah sudah berlaku sebelum ia dilakukan. Semuanya hanyalah perulangan.

Pada pagi tadi, sistem komputer di makmal memaparkan satu struktur baharu. Bukan data, bukan graf, tetapi biografi tanpa subjek. Dan di bahagian tengah, muncul nama yang tidak ditulis. Atau mungkinkah nama yang sudah terlalu lama ditulis sehingga menjadi tidak kelihatan?

“Ini bukan AI …,” Ananthan berbisik.

Skrin menjawab: “Ini bukan juga kamu.”

Dan entah mengapa, untuk pertama kali, Ananthan tidak menafikan hujah atau pandangan atau kenyataan itu.

Pada masa sama, aku sedang cuba untuk terbang tetapi sayap tidak lagi menghasilkan perubahan lokasi. Aku hanya bergerak dalam lapisan yang berbeza daripada apa yang manusia panggil sebagai “ruang” atau space.

Setiap kepakan sayap membawa aku ke versi yang berbeza tentang peristiwa yang sama. Rajendran Arunachalam masih hidup. Rajendran sudah hilang. Rajendran sudah mati. Rajendran tidak pernah wujud. Keempat-empat situasi itu dirasakan benar. Pada masa sama, keempat-empat fakta itu tidak stabil kerana saling bercanggah.

“Ini tidak masuk akal,” ulas Arul yang turut mengalami peristiwa sama.

“Masuk akal ialah kebiasaan, bukan kebenaran,” aku menjawab perlahan.

Di bawah kami, Sungai Klang tidak lagi mengalir. Sebaliknya, ia berulang. Setiap gelombang adalah versi sebelumnya yang sedikit berubah. Seperti ingatan yang cuba membetulkan dirinya sendiri tanpa tahu apa yang sebenarnya salah.

Akhirnya, ia menunjukkan dirinya. Bukan sebagai makhluk tetapi sebagai “ketidakselarasan yang mempunyai niat”. Dalam kaka smriti yang sudah pecah, kami melihat satu perkara yang tidak pernah ada dalam mana-mana versi sebelum ini: Sesuatu sedang cuba keluar.

Bukan cuba keluar dari dunia. Tetapi cuba keluar daripada cara dunia diingat.

“Jika ini keluar … apa yang tinggal?” Meenakshi berbisik.

Tiada jawapan kerana soalan itu menganggap ada konsep “luar” dan “dalam”. Sedangkan semuanya kini berada dalam ingatan itu sendiri.

Dalam ruang yang retak ini, Dewa Sani tidak lagi menjadi dewa, tidak lagi menjadi sistem, tidak lagi menjadi metafora. Sebaliknya, dia menjadi kesan. Seperti tekanan yang tidak hilang walaupun sumbernya sudah lenyap. Seperti jejak kaki di tanah yang tidak lagi mempunyai pelaku.

Aku akhirnya memahami sesuatu yang lebih purba daripada perasaan dendam: Pengulangan bukan hukuman. Sebaliknya, ia adalah cara sesuatu memastikan dirinya tidak lenyap.

Arul akhirnya berkata: “Kalau kita hentikan ini … kita akan hilang.”

Aku memandangnya. Dan buat pertama kali, aku melihat ketakutan dalam diri Arul. Bukan ketakutan terhadap kematian tetapi terhadap “ketiadaan kesinambungan”.

Meenakshi menambah: “Dan kalau kita teruskan … dunia tidak akan menjadi satu.”

Aku tidak menjawab kerana kedua-dua kenyataan mereka adalah betul. Anehnya, kedua-dua kenyataan itu tidak boleh berlaku serentak dalam dunia yang stabil. Lebih aneh lagi, dunia ini sudah lama berhenti menjadi stabil.

Satu bunyi muncul tiba-tiba. Bukan dari langit. Bukan dari sungai. Bukan dari tanah. Bukan daripada kaum gagak. Bunyi itu muncul dari dalam struktur itu sendiri. Seperti halaman terakhir sebuah kitab purba yang dibaca terlalu banyak kali sehingga dakwat pada halaman mula berubah menjadi cahaya.

Dan di dalam cahaya itu, aku melihat satu perkara terakhir. Bukan Rajendran, bukan manusia, bukan gagak, tetapi sesuatu yang sedang cuba berhenti menjadi cerita.

Aku membuka paruh dan berkata kepada sesuatu yang tidak mempunyai nama: “Jika kamu adalah pengulangan … kenapa kamu takut kepada akhir?”

Keheningan menjawab. Pada kali ini, bukan sebagai suara tetapi sebagai rasa.

“Kerana akhir tidak boleh diingati.”

Dan pada saat itulah, kaka smriti berhenti menjadi memori.

(bersambung pada 31 Ogos 2026)

[Petikan fiksyen spekulatif ini merupakan draf manuskrip yang dihasilkan susulan Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 13-14 Jun 2026. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]