19 Aug 2026

Satyaseelan



Entah mengapa pada malam itu, bunyi besi bergesel seperti rintihan banduan yang menderita. Lorong sempit di antara blok sel seakan bernafas; menghembus bau hapak yang tidak pernah benar-benar hilang walau dicuci berkali-kali.

Lampu kalimantang berkelip-kelip, seolah-olah enggan menyaksikan apa yang bakal berlaku. Di hujung koridor, seorang pemuda berdiri kaku, memegang kunci dengan tangan yang sedikit menggigil.

Dia baru dua minggu bertugas di sini. Satyaseelan Kasinathan, anak sulung dari sebuah keluarga miskin di Taiping. Sejak kecil, dia melihat ibunya menjahit pakaian hingga lewat malam dan ayahnya bekerja di kilang tanpa pernah mengeluh.

Dia datang ke penjara ini dengan harapan. Harapan untuk mengubah nasib keluarga, membayar yuran sekolah adik-adik, dan mungkin, suatu hari nanti, keluar daripada lingkaran kemiskinan yang sekian lama menjerut hidup mereka.

Namun pada malam itu, harapan dan impian tersebut terasa seperti sesuatu yang semakin asing dan semakin sukar dicapai.

“Tak perlu takut,” suara garau kedengaran dari belakang.

Satya menoleh. Warden senior berdiri dengan wajah tenang, berjanggut kemas, kopiah putih masih di kepala walaupun pada waktu bertugas. Dialah lelaki yang paling dihormati di penjara itu. Tuan Haji Rahman terkenal sebagai pegawai yang kuat beragama—tidak pernah tinggal solat, berpuasa penuh, dan sering dilihat membaca kitab di bilik rehat.

Malah, tidak merokok, tidak bercakap kasar, dan tidak pernah dilihat ketawa berlebihan. Ringkasnya: Seorang lelaki yang hampir sempurna dan sering dikatakan menjadikan Nabi Muhammad sebagai suri teladan.

“Ini semua biasa,” kata Haji Rahman sambil melangkah perlahan ke arah Satya. “Lama-lama nanti kamu akan faham.”

Satya mengangguk walaupun dia tidak benar-benar faham apa yang dimaksudkan. Mustahil seorang individu terhormat seperti Haji Rahman mengusulkan dia membuat apa-apa perkara yang bertentangan dengan etika dan undang-undang.

Pintu sel dibuka. Seorang banduan duduk di penjuru, wajah cengkung, mata merah seperti tidak tidur berhari-hari. Dia memandang mereka dengan pandangan yang sukar ditafsir; antara harapan dan ketakutan.

Haji Rahman menghulurkan sesuatu yang dikeluarkan dari poket. Satu paket kecil. Satya sempat melihat dengan jelas. Plastik lutsinar dan di dalamnya serbuk putih.

Dadah! Jantung Satya berdegup kencang.

“Ambil,” kata Haji Rahman kepada banduan itu.

Banduan tersebut segera bangun. Tangan menggigil menerima paket. Dalam sekelip mata, wajahnya berubah seolah-olah mendapat semula nyawa yang hilang.

Satya terasa tekaknya kering.

“Tuan Haji ….” Suaranya hampir tidak keluar. “Ini … salah, ‘kan?”

Haji Rahman tersenyum nabi. Senyuman yang terlalu tenang untuk situasi pada ketika itu.

“Satya,” katanya perlahan. “Dalam dunia ini, betul dan salah bukan semudah yang kamu fikir. Kamu jangan jadi terlalu naif. Belajarlah untuk hidup.”

Sejak malam itu, dunia Satya berubah sedikit demi sedikit.

Pada minggu-minggu berikutnya, dia mula melihat perkara-perkara yang tidak pernah dia bayangkan. Rokok dijual pada harga yang tidak masuk akal. Sebungkus tembakau yang harganya di luar hanya beberapa ringgit, di dalam penjara boleh mencecah ratusan ringgit.

Telefon bimbit kecil diseludup masuk dengan pelbagai cara: Disembunyikan dalam makanan, di dalam kasut, malah di dalam tubuh manusia.

Satya pernah menyaksikan sendiri seorang banduan diperiksa. Lelaki itu diarah menanggalkan pakaian, lalu diperiksa hingga ke bahagian paling sulit pada tubuh. Namun begitu, anehnya, barang terlarang masih berjaya diseludup masuk dengan bantuan orang dalam.

Seolah-olah tembok tinggi dan kawalan ketat hanyalah ilusi. Hanyalah wayang untuk ditayangkan kepada orang awam.

“Ini semua ada sistem,” kata Haji Rahman pada suatu petang, ketika mereka duduk di bilik rehat. “Bukan kerja seorang dua. Ini satu rangkaian besar. Dari bawah hingga kuasa paling atas.”

Satya diam. Dia tidak mahu ambil tahu tetapi dia juga tidak mampu berpura-pura tidak nampak apa yang berlaku di depan mata. … (bersambung)

Cerpen seterusnya: Makhluk Asing di Wang Kelian

[Petikan cerpen ini merupakan draf awal manuskrip cerpen yang sedang diusahakan. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!