29 Dec 2009

Cerpen-cerpen Terpilih

Selepas saya berusaha sejak 13 Februari 2007, akhirnya pada 21 Disember 2009, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lagi mempunyai alasan untuk menghalang saya daripada mengambil semula hak penerbitan terhadap tiga kumpulan cerpen yang diterbitkan oleh DBP sejak tahun 1994.
.

Kumpulan cerpen yang dimaksudkan adalah Orang Dimensi, Siru Kambam dan Surat Dari Madras; selain novel Hanuman: Potret Diri dan cerita rakyat Nari! Nari!

.

[Sila KLIK DI SINI untuk sedikit latar belakang.]

.

Bagi tahun 2010, saya bercadang menerbitkan semacam “Cerpen-cerpen Terpilih Uthaya Sankar SB”.

.

Saya sempat berbincang bersama-sama Amir Muhammad melalui mesej di Facebook pada pagi 29 Disember 2009 ambil saya bersarapan di Kafe Angkasapuri.

.

Beliau memberikan beberapa pandangan yang amat bernas dan berguna berhubung rancangan penerbitan buku itu.

.

Atas “permintaan” dan “cadangan profesional” Amir Muhammad, dua cerpen yang pasti dimuatkan dalam buku berkenaan adalah “Yang Aneh-aneh” dan “Cerita Paurnami”.

.

Mungkin akan dimuatkan juga catatan saya mengenai “proses penciptaan” serta “ulasan pembaca”.

.

Saya tidak mahu memuatkan terlalu banyak cerpen – “cerpen-cerpen terpilih” sahaja.

.

Tidak mustahil, antara 5-10 sahaja. Tidak mustahil, akan saya terjemahkan sendiri ke Bahasa Inggeris untuk diterbitkan sebagai buku dwibahasa.

.

Bagi tujuan kumpulan cerpen ini, saya mengundang para pembaca mencadangkan cerpen-cerpen yang paling sesuai daripada buku-buku Orang Dimensi, Siru Kambam, Surat Dari Madras, Yang Aneh-aneh, Nayagi, Sasterawan Pulau Cinta dan Rudra Avatara.

.

Caranya amat mudah: Nyatakan judul cerpen karya saya yang paling saudara suka dan saudara rasakan “perlu” dimuatkan dalam buku “Cerpen-cerpen Terpilih Uthaya Sankar SB” (judul akan ditetapkan kemudian).

.

Cerpen-cerpen yang mendapat undian tertinggi akan dipilih. Undian boleh dilakukan di Facebook (ruangan “komen” atau mengirim mesej) atau mengirim e-mel ke uthayasb@yahoo.com.my.

.

Tarikh akhir mengundi: 15 Januari 2010.

.

Bolehlah saya menggunakan cuti 16-31 Januari 2010 untuk menguruskan buku berkenaan.

.

Tentu sahaja sejumlah “pengundi bertuah” akan menerima hadiah berupa bahan bacaan!