14 Aug 2026

Raksasa Surasa Menelan Ladang Getah – Bahagian Satu



Aku terjaga sebelum bunyi muster untuk berkumpul memecahkan kesunyian. Jam poket yang diletakkan di atas meja kecil di sisi katil menunjukkan pukul empat suku pagi.

Entah mengapa, aku sudah terjaga beberapa minit lebih awal. Barangkali kerana bunyi air. Sudah tiga malam berturut-turut aku terdengar sesuatu yang menyerupai percikan air di bawah banglo kayu, sedangkan musim hujan sepatutnya sudah mulai reda.

Bunyi itu tidak kuat. Hanya cukup untuk membuatkan seseorang yang tidur sendirian mula mempersoalkan sama ada bunyi itu benar-benar datang dari luar, atau lahir daripada fikiran sendiri.

Banglo pengurus dibina tinggi di atas cerucuk kayu cengal. Dari beranda hadapan, pada waktu siang, aku dapat melihat barisan pokok Hevea brasiliensis tersusun hampir sempurna sehingga ke ufuk. Seratus lima puluh satu batang bagi setiap ekar.

Aku tahu angka itu lebih baik daripada mengetahui nama kebanyakan pekerja di ladang ini. Angka tidak pernah membantah. Angka tidak pernah merungut. Angka juga tidak pernah menangis apabila seseorang mati akibat malaria.

Aku membuka tingkap. Udara lembap menyelinap masuk bersama bau lumpur, daun reput, dan getah segar yang sukar digambarkan kepada orang yang tidak pernah menghirupnya.

Bau itu kini menjadi sebahagian daripada hidupku. Anehnya, pada awal ketibaanku dari England, beberapa tahun lalu, aku hampir muntah setiap pagi. Kini, jika bau itu tiada, aku pula yang menjadi resah.

Langit masih hitam. Di kejauhan, kelihatan beberapa lampu minyak bergoyang perlahan. Para penoreh sudah mula bergerak dari coolie lines menuju ke petak masing-masing. Mereka sentiasa bergerak sebelum matahari muncul. Susu getah mengalir lebih baik ketika kulit pokok masih sejuk.

Itulah antara ilmu yang kupelajari di tanah ini, walaupun buku-buku pertanian di London tidak pernah benar-benar menjelaskan mengapa alam tropika sentiasa mempunyai kehendaknya sendiri.

Aku membasuh muka menggunakan air yang disimpan di dalam tempayan besar. Air itu terasa sedikit hangat walaupun belum subuh. Di England, musim sejuk menggigit tulang. Di Mukim Klang, udara seolah-olah sentiasa berpeluh.

Beberapa minit kemudian, bunyi panjang bergema. Bunyi muster itu mengalir merentasi keseluruhan Merton Estate seperti arahan yang tidak boleh dipersoalkan. Tidak lama kemudian, kedengaran pula suara Kangani Ramanathan menjerit dalam bahasa Tamil. Aku tidak memahami kesemua perkataan tetapi nadanya sudah cukup menjelaskan maksud laungan.

Seekiram! Seekiram! Cepat! Cepat!”

Aku mengenakan pakaian khaki putih yang sudah mula bertukar warna kekuningan akibat kelembapan. Sola topee tergantung pada penyidai berhampiran pintu. Tongkat rotan yang kubawa setiap kali membuat pemeriksaan masih bersih. Aku sebenarnya jarang menggunakannya. Kehadirannya sahaja memadai untuk mengingatkan para penyelia bahawa disiplin bukan sesuatu yang boleh dirunding.

Basikal Raleigh kesayanganku bersandar di bawah tangga. Kabus nipis menyelimuti laluan tanah merah ketika aku mula mengayuh. Roda basikal menghasilkan bunyi lembut apabila melalui lopak-lopak kecil.

Minggu lalu, hujan turun hampir setiap petang. Parit-parit yang dibina sejak pembukaan ladang ini dahulu masih mampu menyalurkan air keluar tetapi aku mula menyedari bahawa beberapa bahagian tanah tidak lagi mengering secepat dahulu.

Aku berhenti di petak ketiga. Kelihatan puluhan penoreh sedang menghiris kulit pokok dengan gerakan yang hampir seragam. Pisau kecil mereka bergerak begitu cekap sehingga bunyi hirisan halus kedengaran seperti bisikan panjang.

Susu getah putih mula mengalir perlahan ke dalam cawan kecil yang dipasang pada batang pokok.

“Selamat pagi, Tuan.”

Aku menoleh. Ramanathan berdiri sambil menundukkan kepala sedikit. Tubuh kurus tetapi tegap. Misai yang tebal semakin dipenuhi uban sejak aku mula-mula mengenalinya.

Dialah Kangani paling dipercayai di estet ini. Dia merekrut sebahagian besar pekerja dari Madras Presidency dan membawa mereka merentas Teluk Benggala ke tanah yang menjanjikan upah; walaupun hakikatnya lebih banyak menjanjikan keletihan.


[Sokong karya swaterbit. Lihat senarai buku Uthaya]


“Semua hadir?”

“Hampir semua, Tuan.”

“Hampir?”

“Ada dua keluarga demam. Anak kecil seorang lagi meninggal dunia malam tadi,” Ramanathan menjelaskan.

Aku tidak segera memberi reaksi. Kematian bukan lagi berita luar biasa di Merton Estate. Kolera. Cirit-birit. Malaria. Demam yang tidak pernah diketahui namanya. Semuanya datang dan pergi mengikut musim.

Namun, setiap kali mendengar berita kematian seorang kanak-kanak, ada sesuatu yang tetap terasa ganjil dalam dadaku.

“Sudah beritahu kerani?”

“Sudah, Tuan.”

“Pastikan keluarga itu menerima bekalan beras minggu ini.”

Ramanathan memandangku seketika, seolah-olah terkejut dengan arahan itu.

“Terima kasih, Tuan,” katanya selepas seketika.

Aku tidak membalas. Sebenarnya, aku sendiri tidak pasti sama ada arahan itu lahir daripada belas kasihan atau sekadar keinginan memastikan keluarga terbabit tidak meninggalkan ladang sebelum musim menoreh berikutnya.

Beberapa ratus ela dari situ, aku terdengar suara kanak-kanak ketawa. Aku mengayuh ke arah bunyi itu.

Empat orang budak sedang bermain gilli-danda di kawasan lapang berhampiran berek. Kayu kecil melayang tinggi sebelum dipukul menggunakan kayu yang lebih panjang. Ketawa mereka pecah seketika sebelum berhenti apabila melihat aku menghampiri.

Mereka segera menundukkan kepala. Seorang budak lelaki, mungkin berusia sembilan tahun, menggenggam kayu permainan dengan tangan menggigil.

“Apa nama kamu?”

Dia memandang Ramanathan terlebih dahulu sebelum menjawab soalan.

“Murugan.”

“Tak pergi sekolah?”

“Kelas petang nanti, Tuan,” Ramanathan menjawab bagi pihaknya.

Aku mengangguk. Sekolah. Jika tempat itu layak dipanggil sekolah. Sekadar beranda usang di sebelah bangsal memproses getah. Guru mereka hanyalah kerani estet yang tahu membaca dan menulis Tamil. Tiada meja sebenar. Tiada papan hitam yang sempurna. Tiada buku yang cukup.

Kadangkala aku tertanya-tanya sama ada pendidikan benar-benar sesuatu yang diinginkan oleh syarikat. Alasan pihak syarikat amat mudah: Kanak-kanak yang pandai membaca sering mula bertanya terlalu banyak soalan.

Aku meneruskan kayuhan sehingga tiba di hujung ladang. Di situlah tanah mula berubah. Pokok-pokok getah berakhir secara tiba-tiba. Di hadapannya terbentang kawasan berpaya yang belum diteroka sepenuhnya. Pokok nipah tumbuh rapat. Air hitam tidak bergerak. Seekor bangau putih terbang rendah sebelum hilang di sebalik kabus.

Aku turun dari basikal. Kasutku tenggelam sedikit ke dalam tanah yang lembut. Anehnya, tanah itu jauh lebih basah berbanding pemeriksaanku dua minggu lalu.

Aku mencucuk-cucuk permukaan lumpur menggunakan hujung tongkat. Air segera memenuhi lubang kecil yang terhasil.

“Tuan,” suara Ramanathan kedengaran sedikit perlahan kali ini. “Orang lama di sini kata, kawasan itu jangan diganggu.”

“Kenapa?” Aku tersenyum hambar.

“Mereka kata, tanah itu sedang tidur.”

“Tanah tidak tidur, wahai Ramanathan.”

Aku hampir ketawa. Dia pula tidak membalas. Sebaliknya, dia memandang jauh ke arah paya.

“Nenek moyang mereka kata, kalau tanah itu bangun semula, semua pokok akan hilang,” katanya perlahan.

Aku menggeleng. Cerita rakyat. Setiap ladang memang ada cerita seperti ini. Di India, di Burma, di Ceylon, malah di England sekali pun, manusia sentiasa mencipta cerita apabila tidak mampu memahami hakikat alam.

Namun begitu, ketika aku berpaling untuk kembali kepada basikal Raleigh, aku terdengar sesuatu. Bukan suara. Bukan angin. Seolah-olah bunyi kayu patah yang datang jauh dari tengah paya.

Aku dan Ramanathan serentak memandang ke arah yang sama. Permukaan air yang tadinya pegun mula beralun perlahan, sedangkan tiada angin bertiup. Kemudian, semuanya kembali sunyi.

“Tuan,” Ramanathan hampir berbisik.

Aku tidak menjawab. Entah mengapa, buat kali pertama sejak tiba di Merton Estate, aku merasakan seolah-olah ladang seluas lima ratus lapan puluh empat ekar ini bukan berdiri di atas tanah. Sebaliknya, kami semua hanya menumpang di atas sesuatu yang sedang menunggu masa untuk bangun. … Bersambung pada 21 Ogos 2026

(Fiksyen spekulatif ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 18-24 Julai 2026 sebagai sesi latihan intensif menulis cerpan—cerpen panjang—untuk disiarkan secara bersiri di blog. © Uthaya Sankar SB. Sumber imaginasi berdasarkan pembacaan bahan arkib berkaitan Ladang Merton, Klang yang pada tahun 1982 dibangunkan menjadi Taman Sri Muda, Shah Alam.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!