21 Aug 2026

Raksasa Surasa Menelan Ladang Getah – Bahagian Dua



[Baca – Bahagian Satu] Aku tidak memberitahu sesiapa tentang apa yang kami lihat pada pagi tadi. Aku sendiri tidak pasti sama ada aku benar-benar telah melihat riak air atau sekadar membiarkan cerita Ramanathan mempengaruhi fikiran.

Seorang pengurus ladang tidak boleh membenarkan khayalan mengatasi pertimbangan. Segala-galanya di Merton Estate diukur menggunakan nombor—hasil susu getah, jumlah pekerja yang hadir, bilangan pokok bagi setiap ekar, berat kepingan getah yang dihantar ke Stesen Batu Tiga sebelum dinaikkan ke gerabak menuju Port Swettenham.

Tiada ruang untuk kepercayaan karut tentang tanah yang kononnya sedang tidur. Namun begitu, sepanjang perjalanan pulang ke banglo, aku beberapa kali menoleh ke belakang.

Kabus masih bergayut di atas kawasan paya. Matahari mula muncul sebagai bebola merah yang kelihatan lesu di ufuk timur. Cahaya yang biasanya menyegarkan, kelihatan muram pada pagi ini. Pokok-pokok getah tersusun kemas seolah-olah memanjang tanpa penghujung, namun aku tidak lagi melihatnya sebagai lambang kejayaan empayar.

Aku melihatnya seperti ribuan batang lilin yang ditanam di atas kubur yang terlalu besar untuk diketahui saiznya.

Selepas sarapan ringkas berupa telur rebus, roti bakar, dan secawan teh Ceylon, aku masuk ke pejabat kecil yang bersambung dengan banglo. Bangunan itu dipenuhi bau dakwat, kertas lembap, dan getah kering. Di sinilah sebahagian besar hidupku berlalu; lebih banyak berurusan dengan angka daripada manusia.

Kerani estet, seorang lelaki Malayali bernama Subramaniam, sudah menunggu di hadapan meja.

“Selamat pagi, Tuan.” Dia meletakkan beberapa helaian laporan di hadapanku. “Laporan hasil semalam.”

Aku membaca sepintas lalu. Pengeluaran menurun hampir tiga peratus berbanding minggu lalu.

“Kenapa?”

“Hujan pada petang hampir setiap hari, Tuan. Banyak cawan dipenuhi air.”

Aku mengangguk perlahan. Penjelasan itu munasabah. Namun, mataku tertumpu kepada satu lagi angka.

Lapan belas pokok getah mati.

“Boleh jadi kulat?”

Subramaniam menggeleng.

“Akar pokok reput,” dia menjelaskan.

“Reput?” Aku mendongak.

“Ya, Tuan.”

“Di petak mana?”

Dia membuka buku daftar.

“Petak sebelas ... dua belas ... dan tiga belas.”

Aku mengerutkan dahi. Ketiga-tiga petak itu terletak hampir dengan kawasan paya yang aku lawati tadi.

“Kita sudah periksa saliran?”

“Sudah, Tuan.”

“Mungkin parit tersumbat?”

“Tidak, Tuan.”

Aku memandang keluar tingkap. Pokok getah bukan tumbuhan yang mudah mati tanpa sebab. Jika akar mula reput, biasanya akibat air bertakung terlalu lama. Namun begitu, sistem parit di Merton Estate dibina dengan teliti sejak pembukaan Lot 82. Aku sendiri pernah mengawasi pekerja menggali sebahagian sistem parit di bawah matahari yang membakar.

Sesuatu tidak kena. Tetapi apa?

Menjelang tengah hari, panas menjadi semakin menyesakkan. Udara terasa berat, seolah-olah seseorang telah menggantung kain basah di sekeliling seluruh estet. Burung-burung yang biasanya riuh pada waktu ini, hampir tidak berbunyi. Malah, cengkerik juga seakan-akan memilih untuk berdiam diri.

Aku menunggang basikal menuju ke bangsal pemprosesan getah. Beberapa orang pekerja sedang menuangkan susu getah ke dalam palung besar sebelum dicampur asid bagi mempercepatkan proses pembekuan. Bau masam menusuk hidung. Lantai kayu melekit di sana sini akibat tumpahan susu getah.

Di sudut bangsal, seorang budak lelaki sedang membacakan sesuatu kepada beberapa kanak-kanak lain. Aku mengenalinya: Murugan. Dia mengeja huruf-huruf Tamil dengan penuh berhati-hati. Seorang lelaki tua duduk bersila di hadapan mereka, membetulkan sebutan dari semasa ke semasa.

Aku berdiri tanpa memperkenalkan diri. Mereka juga tidak menyedari kehadiranku.


[Sokong karya penulis sepenuh masa. Lihat senarai buku]


Maram,” Murugan menyebut perkataan itu perlahan.

Guru tua tersenyum. Kemudian, dia mengajar satu lagi perkataan yang ditulis pada papan.

Neer,” Murugan mengulangi dengan lebih yakin.

Aku tidak memahami bahasa dan tulisan mereka, tetapi dua perkataan itu diterjemahkan oleh Subramaniam yang berdiri di belakangku.

“Pelajaran hari ini tentang pokok dan air, Tuan,” katanya.

Aku tidak pasti mengapa penjelasan itu membuatkan bulu tengkuk meremang. Pokok. Air. Dua perkara yang memenuhi seluruh hidupku sejak tiba di Malaya.

Pada lewat petang, seorang wanita tua datang ke pejabat. Namanya Valliammai. Aku pernah melihatnya beberapa kali di kawasan kuil Mariamman yang kecil di hujung coolie lines. Tubuhnya bongkok, rambut memutih sepenuhnya, tetapi mata masih tajam.

Dia tidak bercakap bahasa Inggeris. Maka, Ramanathan menjadi penterjemah.

“Dia mahu berjumpa Tuan.”

“Apa halnya?” Aku mahu mengekalkan ketegasan seorang pengurus ladang.

Wanita itu bercakap panjang dalam bahasa Tamil. Suaranya perlahan tetapi tegas. Ramanathan kelihatan serba salah sebelum menterjemah kata-katanya.

“Dia kata, jangan tebang lagi pokok di sebelah utara.”

“Kita memang tidak menebang apa-apa di sana.”

Wanita itu menggeleng kuat. Dia menyambung lagi. Ramanathan diam beberapa saat.

“Apa pula katanya?” Aku bertanya.

“Dia kata, bukan pokok getah.”

“Habis tu?”

“Pokok-pokok lama.”

Aku mengerutkan dahi. Semasa membuka estet ini dahulu, hampir semua hutan asal sudah dibersihkan.

“Tidak ada lagi pokok lama, bukan?” Aku bertanya kepada Ramanathan sambil memandang Valliammai.

Wanita tua itu mengangkat tangan kiri lalu melakar sesuatu di udara. Bulatan. Kemudian, satu garisan berliku.

Ramanathan menarik nafas panjang sewaktu aku memandangnya dengan penuh tanda tanya.

“Dia kata, akar pokok lama masih hidup di bawah tanah.”

“Ramanathan.” Aku menghela nafas.

“Ya, Tuan.”

“Beritahu dia, saya menghargai kebimbangannya.”

Valliammai memandang tepat ke wajahku seolah-olah memahami setiap patah perkataan yang aku ucapkan. Kemudian, dia tersenyum. Senyuman yang tidak sedikit pun menenangkan jiwa.

Sebelum beredar, dia mengeluarkan sesuatu dari uncang kain di pinggang. Segenggam lumpur hitam. Dia meletakkannya perlahan di atas anak tangga pejabat. Kemudian, dia pergi tanpa menoleh.

Malam menjelma bersama hujan. Bukan hujan lebat; sekadar renyai yang tidak putus-putus. Aku duduk di beranda sambil menulis catatan ini. Lampu minyak di sisi bergoyang perlahan ditiup angin. Bau tanah basah memenuhi udara.

Dari kejauhan, kedengaran bunyi urumi. Barangkali ada upacara kecil di kuil. Rentaknya perlahan. Mendayu. Sesekali diselang bunyi loceng kecil dan nyanyian yang tidak aku fahami liriknya.

Aku tidak pernah mengganggu amalan para pekerja ladang. Pemilik ladang ini, Mister G. Maitland Kirwan sudah memberitahu aku sejak awal: Membiarkan kewujudan kuil-kuil kecil lebih murah berbanding kos berdepan pemberontakan pekerja.

Aku ketawa ketika mendengarnya beberapa tahun dahulu. Kini, aku tidak pasti siapa sebenarnya yang lebih memerlukan kuil itu. Kuli atau kami?

Aku menutup jurnal buat seketika apabila terdengar bunyi cip … cip … cip … dari bawah banglo. Bunyi seperti titisan air jatuh ke dalam lopak.

Aku mencapai lampu minyak, lalu turun melalui tangga belakang. Hujan masih renyai. Cahaya lampu menyuluh ruang kosong di bawah rumah.

Tiada sesiapa. Hanya cerucuk-cerucuk kayu yang tertanam dalam tanah lembap. Aku melangkah beberapa tapak ke hadapan. Bunyi itu berhenti. Aku mengangkat lampu lebih tinggi. Di pangkal salah satu cerucuk, terdapat kesan lumpur hitam yang masih basah.

Bukan itu sebenarnya yang membuatkan darahku terasa sejuk. Pada permukaan lumpur itu, jelas kelihatan beberapa bekas tapak kaki kecil. Seolah-olah seorang kanak-kanak berkaki ayam baru sahaja berdiri di situ.

Masalahnya, kesan tapak kaki itu tidak datang dari mana-mana arah. Semuanya bermula tepat dari dalam tanah. … Bersambung pada 28 Ogos 2026

(Fiksyen spekulatif ini ditulis oleh Uthaya Sankar SB pada 18-24 Julai 2026 sebagai sesi latihan intensif menulis cerpan—cerpen panjang—untuk disiarkan secara bersiri di blog. © Uthaya Sankar SB. Sumber imaginasi berdasarkan pembacaan bahan arkib berkaitan Ladang Merton, Klang yang pada tahun 1982 dibangunkan menjadi Taman Sri Muda, Shah Alam.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!