17 Aug 2026

Kaka Smriti: Ingatan yang Tidak Mati (Bahagian 10)



[Sambungan daripada Bahagian Sembilan]

Ada perkara yang hanya wujud kerana ia tidak dinamakan. Apabila manusia memberikannya nama, mereka sebenarnya sudah menyempitkan sesuatu yang luas menjadi sesuatu yang boleh dikonsepkan dan dimasukkan dalam kotak-kotak khusus.

Berbeza pula apabila kami kaum gagak memberikan nama kepada sesuatu. Kami sebenarnya tidak menamakan—kami hanya mengelakkan daripada melihat terlalu dalam.

Tetapi pada kali ini, sudah terbukti tiada nama yang cukup selamat. Kaka smriti tidak lagi berfungsi sebagai ingatan semata-mata. Ia sudah bermutasi menjadi ruang. Tetapi bukan pula ruang kosong. Sebaliknya, satu ruang yang sedang mengisi dirinya sendiri dengan sesuatu yang tidak pernah selesai.

Aku menyedari dan merasai hakikat itu pada setiap kali aku mengepakkan sayap. Pada setiap kali angin menyentuh bulu; setiap kali aku mendengar bunyi manusia ketawa di bawah lampu jalan.

Semua itu kini terasa seperti ulangan skrip yang sedang kehilangan pengarahnya.

Di Kuil Sri Navaneetha Krishnar, tiada lagi kaum gagak yang bercakap tentang dendam. Arul tidak lagi menyebut nama penembak. Meenakshi tidak lagi mengumpul objek bersinar. Bahkan aku sendiri mula lupa bagaimana rasanya menjadi “ketua”.

Apa yang tinggal hanyalah satu kesedaran yang tidak stabil: Bahawa sesuatu sedang menulis semula kami semua.

Malah, Sungai Klang sudah berubah pada malam ini. Perubahan bukan pada  warna. Bukan juga pada bau. Tetapi pada arah. Air sungai masih mengalir ke laut, tetapi dalam kaka smriti, ia mula mengalir ke dalam. Ke arah asal yang tidak pernah kami faham.

Aku melihat wajah Rajendran Arunachalam sekali lagi. Tetapi pada kali ini, dia tidak menembak. Dia hanya berdiri. Dia sedang memandang sesuatu yang berada di luar bingkai penglihatan.

Dan di belakangnya, bukan gagak. Bukan juga manusia. Sebaliknya, apa yang aku boleh gambarkan sebagai “ketiadaan yang berstruktur”.

“Ini bukan pengulangan biasa,” kata Meenakshi.

Aku mengangguk perlahan.

“Ini pengulangan yang sedang belajar,” Arul mentafsirkan. “Tapi belajar apa?”

Aku tidak segera menjawab kerana aku sedar, jawapan itu terasa seperti sesuatu yang akan berubah sebaik disebut.

Akhirnya aku berkata: “Belajar menjadi sesuatu yang tidak perlu diulang lagi.”

Sementara itu, di Chennai, Dr. Ananthan Subramaniam tidak lagi menulis. Dia hanya memerhati. Setiap peranti di makmalnya kini menunjukkan perkara yang sama: Corak yang tidak berhenti berubah tetapi juga tidak pernah benar-benar berubah. Seolah-olah realiti sedang mengulangi dirinya dengan kesilapan kecil yang disengajakan.

Pada malam tadi, sistem kecerdasan buatan (AI) terakhir memaparkan satu ayat tunggal: “Pemerhati tidak berada di luar sistem.”

Ananthan ketawa kecil. Ketawa yang tidak mempunyai nada kegembiraan.

“Jadi, apakah aku?” bisiknya.

Skrin menjawab tanpa suara: “Bahagian yang sedang diperhatikan.”


[Senarai buku Uthaya Sankar SB]


Kami kaum gagak telah kembali ke kuil lama untuk kali terakhir sebagai satu kumpulan. Jumlah gagak yang hadir tidak lagi penting kerana kaka smriti ternyata tidak lagi bergantung pada bilangan. Sebaliknya, ia bergantung pada kesedaran. Dan kesedaran itu pula kini sudah bocor lalu merebak ke tempat lain.

“Jika ini bukan dendam,” kata Arul, “kenapa ia memilih gagak?”

Aku tidak menjawab.

Meenakshi akhirnya berkata: “Kerana kita ingat.”

Para gagak diam; mencerna kata-kata itu.

“Dan apa yang mengingat,” aku menambah, “boleh digunakan untuk memastikan sesuatu tidak pernah dilupakan.”

Pada saat itu, dalam ruang antara ingatan, aku mula melihat sesuatu yang baru tentang Dewa Sani. Dia bukan dewa. Dia juga bukan sistem. Malah, dia bukan hukuman.

Sebaliknya, dia adalah struktur yang cuba memahami dirinya melalui pengulangan makhluk lain. Aku semakin sedar bahawa kami kaum gagak hanyalah salah satu permukaan refleksi milik struktur itu.

Pada malam ini, aku juga berupaya melihat sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam mana-mana ingatan sebelumnya: Permukaan Sungai Klang tidak memantulkan langit. Sebaliknya, langit yang sedang memantulkan sungai. Dan di antara kedua-duanya, terdapat sesuatu yang tidak stabil—seperti sepasang mata mistik sedang cuba melihat dirinya sendiri tanpa cermin.

Akhirnya, ia muncul. Bukan sebagai bentuk, bukan sebagai suara, tetapi sebagai “gangguan dalam kesinambungan” atau disruption of continuity.

Setiap ingatan dalam kaka smriti tiba-tiba berhenti seketika. Seolah-olah seseorang baru sahaja secara tiba-tiba menutup buku pada halaman yang tidak sempat dibaca.

Dan dalam ruang vakum itu, aku merasai sesuatu yang tidak pernah wujud dalam diri para gagak: Ketiadaan arah.

“Ini dia,” bisik Meenakshi.

Arul tidak bergerak. Aku membuka sayap dengan lebar. Dan pada detik itu, aku faham: Kami bukan sedang berhadapan dengan musuh. Sebenarnya, kami sedang berhadapan dengan sesuatu yang tidak lagi membezakan antara “berlaku” dan “tidak berlaku”.

Beralih kepada situasi di Chennai, Ananthan tiba-tiba menjerit. Skrin terakhirnya memaparkan imej yang tidak sepatutnya wujud: Seekor gagak sedang menulis manusia. Ini bukan metafora. Juga bukan simbol. Tetapi seekor gagak sedang menulis manusia secara literal!

Paruh bergerak seperti pena dan manusia terbentuk di atas permukaan udara. Dan di belakang gagak itu … tiada apa-apa.

Selepas terpaku seketika, aku akhirnya mampu bercakap, tetapi bukan kepada gagak lain. Bukan juga kepada sungai. Malah, bukan kepada manusia. Sebaliknya, aku sedar bahawa aku sedang bercakap kepada sesuatu yang tidak mempunyai telinga untuk mendengar.

“Jika kamu adalah pengulangan,” kataku, “mengapa kamu berhenti di sini?”

Hanya keheningan hadir sebagai jawapan. Dan dalam keheningan itu, aku mendengar sesuatu yang paling hampir dengan suara: “Kerana kamu telah mula mengingati bahawa kamu sedang mengingati.”

Perlu aku akui, pada saat itulah kaka smriti mula retak. Bukan pecah. Bukan hilang. Tetapi menjadi sesuatu yang tidak lagi boleh membezakan antara cerita dan pencerita. Antara penanda dan petanda; signifier dan signified.

(bersambung pada 24 Ogos 2026)

[Petikan fiksyen spekulatif ini merupakan draf manuskrip yang dihasilkan susulan Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 13-14 Jun 2026. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]