16 Aug 2026

Khalwat: Undang-undang, Persepsi, Realiti Sosial



Perkataan “khalwat” sering mengundang reaksi spontan. Ada yang segera membayangkan serbuan tengah malam di hotel bajet. Ada yang teringat rakaman video pintu rumah diketuk bertalu-talu oleh penguat kuasa agama islam.

Ada pula yang menganggap khalwat sekadar isu moral yang tidak wajar diperdebatkan. Hakikatnya, khalwat ialah suatu konsep undang-undang islam yang jauh lebih kompleks daripada gambaran sensasi yang sering menghiasi tajuk berita.

Saya juga berkongsi pelbagai berita berkaitan di media sosial menggunakan tanda pagar #khalwat dan #BeritaMIM untuk memudahkan rujukan—termasuk bagi penulisan ini. Sering kali individu Bukan Islam menghubungi untuk meminta penerangan. Maka, tulisan ini bertujuan membantu umat Bukan Islam faham topik ini; termasuk jika mereka ditangkap khalwat bersama individu islam.

Apabila laporan media dari seluruh negara sepanjang tempoh 2020-2026 diteliti secara menyeluruh, jelas bahawa pola kes yang muncul bukan sekadar berkaitan hubungan antara lelaki dan wanita, tetapi turut memperlihatkan persoalan penguatkuasaan, tafsiran undang-undang, budaya masyarakat, serta sempadan antara privasi dan kepentingan awam.

Sepanjang tempoh penelitian, media arus perdana seperti Sinar Harian, Harian Metro, Berita Harian, Astro Awani, New Straits Times, dan Bernama melaporkan ratusan operasi khalwat di hampir semua negeri yang mempunyai Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Misalnya, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) melaporkan penahanan 25 individu dalam beberapa operasi di hotel, rumah, apartmen dan juga di dalam kereta. Kebanyakan tangkapan dibuat hasil aduan orang awam, sementara individu yang diperiksa gagal memberikan penjelasan yang dianggap munasabah oleh penguat kuasa.

Corak sama berulang dalam pelbagai laporan sehingga tahun 2026. Sebuah kes di Johor melibatkan seorang lelaki yang sudah berkahwin ditahan bersama seorang ibu tunggal. Apabila disoal siasat, lelaki terbabit memberikan alasan bahawa dia hanya datang untuk “menumpang makan”, walaupun pemeriksaan mendapati hanya terdapat minuman dan kuih di rumah berkenaan.

Laporan-laporan lain memperlihatkan alasan yang hampir serupa tetapi dengan variasi tersendiri. Ada yang mendakwa datang untuk berbincang urusan perniagaan, ada yang mengatakan rumah keluarga terlalu sesak sehingga memilih bermalam di hotel, ada yang mendakwa sekadar menumpang tandas kerana sakit perut, manakala pasangan lain menyatakan mereka hanya mahu melepaskan rindu selepas lama tidak berjumpa.

Daripada keseluruhan corak laporan media, beberapa “corak” atau “pola” menarik perhatian saya. Pertama, lokasi yang paling kerap muncul ialah hotel bajet, rumah persendirian, rumah sewa, apartmen, kondominium, inap desa, dan sesekali di dalam kenderaan. Hal ini menunjukkan bahawa kes khalwat tidak tertumpu pada satu ruang tertentu, sebaliknya berlaku di mana-mana tempat yang dianggap memberikan privasi kepada pasangan.

Kedua, dari segi umur, kebanyakan individu yang dilaporkan berada dalam lingkungan awal 20-an hingga 40-an. Malah, ada juga warga emas. Walaupun terdapat kes melibatkan remaja, jumlah laporan membabitkan golongan dewasa jauh lebih ketara. Ini sekali gus mengubah tanggapan bahawa khalwat hanya melibatkan pasangan muda bercinta. Malah, terdapat banyak laporan mengenai duda, janda, ibu tunggal, serta individu yang masih ada pasangan sah.

Ketiga, status perkahwinan juga memperlihatkan kepelbagaian. Ada pasangan yang kedua-duanya masih bujang. Ada yang melibatkan suami orang bersama wanita bujang atau janda. Ada juga kes membabitkan duda dengan janda. Dalam beberapa laporan, wanita yang masih berada dalam tempoh idah turut ditahan bersama lelaki yang bukan mahram.

Baca juga: Bagaimana Jika Umat Bukan Islam Kantoi Berkhalwat dengan Orang Islam?

Satu lagi pola yang ketara ialah cubaan mengelakkan pemeriksaan. Laporan media berkali-kali menyebut individu enggan membuka pintu, memadamkan lampu rumah, bersembunyi di dalam bilik, tandas atau dapur, malah ada yang cuba melarikan diri melalui pintu belakang atau tingkap apabila menyedari kehadiran penguat kuasa.

Walaupun tidak semua operasi berakhir dengan cubaan meloloskan diri, unsur sedemikian cukup kerap dilaporkan sehingga menjadi sebahagian daripada naratif berita berkaitan khalwat. Sekiranya anda mengikuti perkongsian saya mengenai kes-kes khalwat di media sosial, tentu anda menyedari hal ini.

Ada juga individu Bukan Islam menghubungi saya untuk bertanya makna khalwat, zina, dan “tangkap basah”. Pertanyaan ini adalah wajar kerana kita perlu ambil tahu; khususnya untuk lebih memahami berita yang dibaca dan budaya masyarakat yang terlibat dalam kes berkenaan.

Perlu ditegaskan bahawa khalwat bukanlah zina. Dalam hukum islam, zina merujuk kepada persetubuhan haram antara lelaki dan wanita yang bukan suami isteri. Pembuktian zina mempunyai syarat yang sangat ketat dalam hukum syariah. Saya sudah ingat secara khusus sejak “tinggalkan islam” pada April 2022.

Baca juga: Proses Keluar Islam di Malaysia

Khalwat pula merujuk kepada keadaan seorang lelaki dan seorang wanita yang bukan mahram berada dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak munasabah bahawa perlakuan tidak bermoral mungkin berlaku. Oleh itu, seseorang boleh disabitkan dengan kesalahan khalwat tanpa sebarang bukti bahawa zina telah berlaku.

Istilah “tangkap basah” pula sebenarnya bukan istilah undang-undang. Ia ungkapan popular dalam masyarakat dan media untuk merujuk kepada keadaan seseorang ditangkap ketika disyaki melakukan perlakuan tertentu, termasuk khalwat, zina, atau hubungan sulit. Dalam erti kata lain, “tangkap basah” menggambarkan situasi penangkapan (“basah”), bukannya kategori kesalahan.

Aspek yang sering kurang difahami umat Bukan Islam ialah kuasa undang-undang syariah di Malaysia tidak seragam antara negeri. Setiap negeri ada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah sendiri. Definisi khalwat, unsur-unsur kesalahan, jumlah denda, tempoh penjara, dan prosedur penguatkuasaan boleh berbeza.

Sebagai contoh, ada negeri menggunakan istilah “bersekediaman”, ada yang memberi penekanan kepada keadaan “menimbulkan syak”, sementara negeri lain menghuraikan unsur kesalahan dengan bahasa yang sedikit berbeza. Perbezaan ini membuka ruang kepada tafsiran yang tidak semestinya sama di seluruh negara.

Dalam konteks ini, terdapat juga dakwaan bahawa sesetengah individu memilih untuk tinggal atau menyewa penginapan di negeri tertentu kerana menganggap penguatkuasaan lebih longgar berbanding negeri lain. Hal ini turut diakui beberapa rakan islam yang saya hubungi untuk menyemak fakta.

Ada juga individu yang berpindah ke kawasan sempadan negeri dengan harapan tidak menjadi sasaran operasi berkala. Walau bagaimanapun, dakwaan sedemikian lebih bersifat persepsi masyarakat berbanding fakta yang dibuktikan melalui kajian empirikal. Apa yang lebih jelas (berdasarkan laporan media 2020-2026) ialah tahap operasi penguatkuasaan memang berbeza mengikut keutamaan, sumber manusia, aduan orang awam, dan dasar setiap jabatan agama negeri.

Dari sudut undang-undang pula, sebahagian besar kes bermula bukan melalui rondaan rawak tetapi hasil maklumat orang ramai. Hal ini menunjukkan bahawa komuniti setempat “terlibat sama” dalam mencetuskan siasatan. Dalam banyak laporan berita kes tangkappan khalwat, penguat kuasa hanya hadir selepas menerima aduan mengenai kehadiran individu yang mencurigakan di sesuatu premis; khususnya di rumah sewa dan rumah kampung.

Persoalan yang lebih penting ialah apakah punca berlakunya kes khalwat? Ada juga individu Bukan Islam yang mengikuti #BeritaMIM dan #khalwat di Facebook mengemukakan pertanyaan.

Saya boleh sahaja menjawab “Nie mój cyrk, nie moje małpy” tetapi tidak sopan dan tidak adil pula kepada individu Bukan Islam yang bertanya kerana ingin tahu. Lagi pun, saya bukan menulis tentang islam. Sebaliknya menulis untuk umat Bukan Islam berkaitan topik-topik yang mereka perlu tahu sebelum “tersesat” atau “terperangkap”.

Jawapan mudah kepada punca kes khalwat berlaku ialah kelemahan moral individu. Namun, jawapan yang terlalu mudah lazimnya gagal menjelaskan realiti sosial yang jauh lebih rumit dalam kalangan orang melayu-islam. Saya dapat melihat “pola” atau “corak” kerana melihat dengan mata pengkaji, pengkritik, dan penganalisis.

Laporan media memperlihatkan faktor-faktor seperti hubungan percintaan yang tidak direstui keluarga, pasangan tinggal berjauhan, tekanan ekonomi sehingga berkongsi rumah sewa, perkahwinan yang bermasalah, kesunyian selepas perceraian, serta budaya temu janji moden yang berkembang lebih pantas daripada pendidikan mengenai batas undang-undang syariah.

Dalam beberapa kes, individu islam yang ditangkap khalwat memberi alasan mereka tidak mengetahui bahawa keadaan tertentu sudah memadai untuk menimbulkan syak khalwat di sisi undang-undang islam.

Tulisan ini tidak bertujuan menentukan siapa benar atau siapa salah. Tambahan pula, nie mój cyrk, nie moje małpy. Laporan media hanya merakam detik tertentu dalam kehidupan seseorang, sedangkan mahkamah merupakan tempat menentukan kesalahan berdasarkan undang-undang dan keterangan. Oleh sebab itu, setiap individu yang ditahan dalam serbuan khalwat hendaklah dianggap belum bersalah sehingga proses perundangan selesai.

Apa-apa pun, apabila ratusan laporan media dari tahun 2020 hingga 2026 dibaca secara berurutan, jelas bahawa khalwat bukan sekadar isu individu orang islam ditangkap di bilik hotel atau rumah sewa. Ia menjadi cerminan hubungan antara agama islam, undang-undang syariah, budaya melayu, institusi keluarga melayu-islam, hak privasi, dan tanggungjawab masyarakat.

Perbahasan mengenainya dalam tulisan saya dipandu oleh fakta, bukan sensasi; oleh analisis, bukan cemuhan. Apabila umat Bukan Islam membaca berita tentang kes khalwat di media dan media sosial, mereka akan lebih memehami isu itu—serta akan berusaha memastikan mereka tidak turut terjebak dalam perbuatan tidka bermoral seperti itu.

[Tulisan ini bertujuan mendidik umat Bukan Islam. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!