10 Aug 2026

Kaka Smriti: Ingatan yang Tidak Mati (Bahagian 9)



[Sambungan daripada Bahagian Lapan]

Ada kebenaran yang sengaja tidak mahu menjadi jelas. Bukan kerana ia disembunyikan tetapi kerana jika ia menjadi jelas, maka dunia akan kehilangan cara untuk mentafsir dirinya sendiri. Kaka smriti adalah kebenaran seperti itu.

Aku berhenti menganggap diriku sebagai “ketua” selepas peristiwa di tebing sungai pada malam itu. Gelaran “ketua” kini terasa seperti jenaka lama yang masih dipakai kerana tiada sesiapa yang berani menghapuskannya.

Majlis Gagak tidak lagi bersidang. Kami tidak lagi membuat keputusan. Kami hanya mendengar. Dan apa yang kami dengar bukan lagi suara gagak lain. Sebaliknya, sesuatu yang lebih dalam. Sesuatu yang purba dan penuh misteri.

Pada malam yang tidak berangin, aku kembali ke Kuil Sri Navaneetha Krishnar. Tempat itu kini sudah banyak berubah. Akar-akar beringin tidak lagi sekadar memeluk batu. Ia seperti urat yang sedang berdenyut perlahan sementara bangunan kuil pula umpama jantung yang tersembunyi di dalam. Terasa seolah-olah kuil ini bukan sekadar sebuah bangunan batu tetapi organisma yang hidup dan bernyawa.

Di tengah ruang kuil, Meenakshi sudah menunggu. Arul berdiri jauh sedikit; memilih untuk tidak memandang sesiapa.

“Ini bukan lagi tentang Rajendran Arunachalam, bukan?” Meenakshi bertanya.

Aku mengangguk.

“Jadi, apa yang kita sedang lakukan?”

Aku tidak menjawab segera kerana soalan itu tidak mempunyai jawapan yang stabil. Jawapan yang betul dan tepat sentiasa berubah pada setiap kali ia difikirkan.

Di Chennai, Dr. Ananthan Subramaniam sudah berhenti menggelarkan dirinya seorang saintis. Dia kini hanya memanggil dirinya “pemerhati data yang tidak lagi patuh kepada logik.” Makmalnya tidak lagi berfungsi seperti sebuah makmal sains konvensional. Kini, ia lebih seperti suatu ruang pertemuan antara dua jenis realiti.

Semalam, dia memasukkan semua data kajian mengenai kaum gagak ke dalam sistem kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan sendiri. Model itu sepatutnya mencari corak. Tetapi ia sudah mampu melakukan sesuatu yang lain. Ia menghasilkan ayat. Bukan graf, bukan statistik, tetapi tulisan berbentuk ayat.

“Gagak tidak mengingati manusia. Manusia sedang digunakan untuk mengingati sesuatu yang lebih purba.”

Ananthan memadam hasil dapatan itu. Sistem AI segera menjana semula ayat yang sama. Dia cuba memutuskan kuasa. Skrin masih hidup. Dia mencabut kabel. Skrin masih hidup.

Dan pada saat itu, Ananthan memahami sesuatu yang tidak diajar dalam mana-mana jurnal saintifik: Data tidak lagi berada di dalam mesin. Sebaliknya, mesin berada di dalam data.

Situasi di Kuil Sri Navaneetha Krishnar turut membuktikan sesuatu sudah mula berubah dalam kaka smriti. Bukan secara perlahan,  sebaliknya secara serentak.

Kami mula melihat perkara yang sama pada masa yang sama. Bukan mimpi, bukan bayangan, bukan juga ilusi, tetapi penyelarasan atau sinkronisasi. Seolah-olah  semua ingatan, kenangan, dan memori sedang disusun semula oleh tangan yang tidak kelihatan.

Aku melihat Rajendran. Arul melihat para penembak lain. Meenakshi melihat sungai. Namun begitu, apa-apa pun yang kami lihat, semuanya mengarah kepada satu titik.

Satu ruang kosong. Satu ketidakhadiran yang terlalu besar untuk diabaikan.


[Senarai buku Uthaya Sankar SB]


“Ada sesuatu yang kita tidak sebut,” kata Arul sejurus kemudian.

Aku menoleh ke arahnya kerana dia jarang bercakap dengan nada keliru seperti itu.

“Semua ini … gagak, manusia, sungai … semua ini seperti lapisan.”

Aku mengangguk.

“Tapi apa yang ada di bawah lapisan terakhir?” Arul ingin tahu.

Tiada siapa berani menjawab kerana jawapannya sudah mula terasa seperti sesuatu yang tidak boleh diucapkan tanpa bertindak pula mengubah kesahihan jawapan itu.

Dalam tradisi Hindu, Dewa Sani ialah pemegang unsur akibat. Dia bukan pencipta. Dia hanya menunjukkan apa yang sudah berlaku (akibat) dalam bentuk paling jujur.

Tetapi dalam kaka smriti, sesuatu yang pelik ternyata sudah berlaku. Sani tidak lagi berdiri sebagai satu entiti. Sebaliknya, dia menjadi sistem; satu mekanisme yang menghubungkan tindakan dan pengulangan. Dan dalam mekanisme itu, kaum gagak hanya satu antara banyak “terminal” yang dimanfaatkan untuk mencapai misi.

Aku mula memahami sesuatu yang menakutkan: Jika Dewa Sani ialah struktur, maka karma bukan lagi sekadar hukum moral seperti diperkatakan dalam kalangan umat Hindu. Sebaliknya, karma ialah algoritma semula jadi di luar kawalan kami.

Pada waktu kami masih termangu-mangu, hujan turun tanpa bunyi. Hujan seperti itu tidak normal. Ia jatuh tanpa suara, seolah-olah dunia sedang menyembunyikan rahsia tersendiri.

Di tengah hujan itu, aku melihat sesuatu di sungai. Bukan wajah. Bukan mayat. Tetapi “ketiadaan bentuk” yang terlalu konsisten untuk dianggap kosong. Dan pada saat itu, aku tidak lagi pasti adakah aku masih wujud sebagai satu entiti tunggal.

Dalam kaka smriti, aku melihat sesuatu yang baharu. Bukan masa lalu. Bukan masa sekarang. Bukan masa depan. Tetapi asal. Aku melihat apa yang berlaku sebelum Mei 2026. Sebelum manusia menembak. Sebelum 2,880 gagak gugur dari langit.

Dan di dalam asal itu, aku melihat satu perkara yang membuatkan bulu di seluruh tubuhku berdiri. Sesuatu sedang memerhati. Bukan dari langit. Bukan dari bumi. Sebaliknya, sesuatu dari dalam struktur ingatan itu sendiri.

Dan aku sedar bahawa ia tidak mempunyai nama kerana nama hanya diperlukan apabila sesuatu boleh dibezakan.

Meenakshi mula bercakap, tetapi bukan melalui suara. Dia berkomunikasi melalui kuasa kaka smriti.

“Jika ini bukan dendam … kenapa kita masih ada?” Meenakshi bertanya.

“Jika ini bukan keadilan … kenapa manusia masih mati?” Arul turut bertanya.

Aku mendengar kedua-duanya menerusi kaka smriti. Tetapi aku tidak menjawab. Bukan kerana aku tidak tahu, tetapi kerana aku sudah faham bahawa kedua-dua soalan itu salah. Mengapa? Kerana kami masih cuba menggunakan bahasa moral untuk memahami sesuatu yang tidak bermula dengan moral.

“Kita bukan jawapan.” Aku memandang kaum gagak yang berkumpul. “Kita hanya bahagian yang belum selesai.”

Pada saat itu, Sungai Klang berhenti bergerak dalam kaka smriti. Bukan secara fizikal tetapi secara konsep. Seolah-olah semua memori yang pernah mengalir di sungai ini tiba-tiba menemui dinding yang menghalang aliran.

Dan pada dinding itu tertulis satu perkara: “Pengulangan sedang menunggu penyempurnaan.”

Sementara itu, di Chennai, Dr. Ananthan Subramaniam menatap skrin komputer riba untuk kali terakhir. Kecerdasan buatan (AI) tidak lagi menjana ayat baharu. Sebagai ganti, ia hanya menunjukkan satu imej: Seekor gagak. Dan pada mata gagak itu, jelas kelihatan imej manusia yang sedang memerhati.

Aku menutup mata. Buat pertama kali dalam seluruh kewujudan kaka smriti, aku tidak melihat masa lalu. Sebaliknya, pada kali ini, aku melihat sesuatu yang tidak pernah berlaku.

(bersambung pada 17 Ogos 2026)

[Petikan fiksyen spekulatif ini merupakan draf manuskrip yang dihasilkan susulan Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 13-14 Jun 2026. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]