3 Aug 2026

Kaka Smriti: Ingatan yang Tidak Mati (Bahagian 8)



[Sambungan daripada Bahagian Tujuh]

Telefon pintar berbunyi. Tiada nombor. Tiada identiti. Hanya satu mesej teks ringkas: “Sungai mengingati kamu lebih lama daripada kamu mengingati sungai.”

Dr. Ananthan Subramaniam segera sedar bahawa suatu fenomena yang lebih menakutkan berbanding kematian sedang berlaku. Dia tiba-tiba sedar pada hakikat bahawa dia tidak lagi sedang mengkaji gagak. Sebaliknya, dia yang sedang dikaji melalui gagak.

Pada masa sama, kami para gagak sedang berkumpul sekali lagi. Pada kali ini bukan di Kuil Sri Navaneetha Krishnar. Bukan juga di sarang atau di dahan tinggi. Kami berkumpul di tebing Sungai Klang kerana sungai sudah ternyata menjadi pusat segala aktiviti.

Arul tidak lagi kelihatan marah-marah. Meenakshi masih tidak berminat untk kembali mengumpul objek berkilauan. Malah, apabila kami akhirnya memulakan perbincangan, suara kami semua terasa asing.

Kaka smriti sudah berubah,” kata Arul.

Aku sekadar mengangguk.

“Kenapa?” Arul bertanya apabila aku tidak menjelaskan apa-apa.

Aku memandang air di sungai kerana pada permukaannya, aku dapat melihat sesuatu yang tidak mahu aku lihat.

“Kerana kita tidak lagi satu-satunya pihak yang mengingati,” aku berkata tanpa menghuraikan.

“Kalau bukan kita … siapa?” Meenakshi pula bertanya.

Aku tidak menjawab dengan segera kerana jawapan bagi pertanyaan itu sifatnya terlalu asing dan purba untuk lidah para burung.

Pada saat itulah Sungai Klang menjawab bagi pihakku. Melalui pantulan, melalui riak, dan melalui wajah yang tidak bergerak.

Dalam mitologi Hindu, Dewa Sani tidak pernah tergesa-gesa melaksanakan tugas hakiki. Dia berjalan perlahan-lahan. Malah, dia tidak menghukum, sebaliknya hanya memperlihatkan kesan dan akibat bagi setiap perbuatan manusia di muka Bumi.


[Senarai buku Uthaya Sankar SB]


Dalam konsep kaka smriti pula, wujud sesuatu yang berbeza. Dewa Sani bukan lagi dewa yang berada di luar lingkungan hidup manusia. Dia berubah menjadi struktur dalaman. Dia menjadi suatu kuasa yang wujud dalam cara ingatan berulang—dalam cara kesalahan mencari bentuk baharu. Dalam cara sejarah enggan berhenti berputar, lalu berulang lagi dan lagi dan lagi.

Aku semakin memahami rasional di sebalik ketakutan ibu. Bukan kaum gagak yang membawa ingatan atau memori, sebaliknya ingatan itulah yang menggunakan—memanfaatkan, memanipulasi—kaum gagak untuk melaksanakan misi.

Pada malam ini, sungai menjadi lebih tenang. Malah, terlalu tenang. Seolah-olah sesuatu di dalamnya sudah berhenti bergerak. Dan untuk pertama kali, aku mampu melihat apa yang berada di bawah permukaan air dengan jelas.

Bukan mayat. Bukan wajah. Tetapi pola. Seperti jalinan saraf yang terlalu besar untuk ditampung satu otak. Seperti jaringan yang merentasi manusia, gagak, sungai, tanah, dan udara. Merentasi Pancha Mahabhuta. Merentasi tujuh lapisan svarga dan tujuh lapisan naraka.

Dan di tengah-tengah pola itu, aku kini melihat peristiwa Mei 2026 berulang tanpa henti. Ulang. Ulang. Ulang.

“Ia tidak akan berhenti,” kata Arul yang turut melihat tayangan kejadian itu.

“Tidak.”

“Jadi, apakah kita?” Meenakshi bertanya.

Aku menutup mata. Sesungguhnya, buat pertama kali, aku tidak tahu jawapan kepada pertanyaan itu.

Mengapa? Kerana aku bukan lagi pemburu. Aku bukan lagi penghapus. Aku bukan lagi pewaris dendam. Aku hanyalah satu titik kecil dalam sesuatu yang sedang mengulang dirinya sendiri.

Sungai Klang masih mengalir lesu. Tetapi aku mula sedar bahawa ia sebenarnya tidak pergi ke mana-mana. Ia hanya mengingati. Dan dalam ingatannya, nama manusia tidak pernah benar-benar hilang.

Kembali kepada Dr. Ananthan di Chennai, dia sedang menulis dalam jurnal: “Jika semua ini ingatan kolektif, maka ia tidak berasal daripada spesies. Ia berasal daripada sesuatu yang menggunakan spesies untuk mengingati dirinya sendiri.”

Dia berhenti menulis. Tangannya menggigil. Kemudian, dia menambah satu baris kecil: “Dan kehadiran kita semua hanyalah cara ia (sesuatu itu) bermimpi.”

(bersambung pada 10 Ogos 2026)

[Petikan fiksyen spekulatif ini merupakan draf manuskrip yang dihasilkan susulan Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 13-14 Jun 2026. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]