27 Jul 2026

Kaka Smriti: Ingatan yang Tidak Mati (Bahagian 7)



[Sambungan daripada Bahagian Enam]

Sungai tidak pernah lupa. Manusia hanya menyangka ia melupakan semuanya kerana air sungai sentiasa bergerak.

Sesungguhnya, pergerakan bukan penghapusan. Ia hanyalah cara licik untuk sesuatu yang purba menyembunyikan diri daripada pandangan umum.

Sungai Klang sedang mengalir seperti biasa pada malam ini. Keruh, berat, membawa bau minyak, plastik, tanah yang terhakis, dan sejarah yang tidak pernah ditulis dalam buku teks sekolah. Namun, bagi kami, sungai ini bukan air. Ia adalah sebuah arkib sejarah. Arkib kenangan.

Aku bertenggek di dahan rendah pokok bakau yang condong ke arah air. Di belakangku, gagak-gagak yang menganggotai Majlis Gagak tidak bersuara. Tiada sebarang arahan. Tiada apa-apa perintah. Kerana sesuatu dalam diri kami sudah berubah.

Sejak insiden pada malam kelmarin di Kuil Sri Navaneetha Krishnar, kaka smriti tidak lagi sekadar memanggil. Ia sudah mula menjawab.

Pada permukaan air sungai yang keruh, aku melihat sesuatu yang tidak sepatutnya ada. Bukan bayang. Bukan pantulan. Sebaliknya, wajah Rajendran Arunachalam.

Kemudian, wajah-wajah lain. Seorang penembak muda yang pernah muntah selepas operasi menembak gagak pada Mei 2026. Seorang lelaki yang tidak pernah pulang ke rumah sejak hari itu. Seorang lagi yang namanya tidak pernah muncul dalam laporan rasmi.

Semua wajah itu terapung-apung seperti daun reput yang enggan tenggelam.

“Ini bukan sungai,” Meenakshi bersuara rendah dari belakang. “Ini lapisan.”

Aku mengangguk perlahan. Ya. Lapisan memori. Lapisan ingatan yang manusia tidak pernah belajar untuk baca dan fahami.

Dalam kajian sains manusia, terdapat konsep yang mereka panggil collective memory iaitu memori sosial yang dikongsi melalui budaya, cerita, dan simbol.

Namun, kaka smriti bukan setakat itu. Ia bukan budaya. Ia bukan sejarah. Ia bukan cerita. Sebaliknya, ia lebih hampir kepada sesuatu yang pernah disentuh oleh beberapa ahli neurosains dalam kajian epigenetik: Bagaimana trauma boleh meninggalkan kesan biologi yang diwarisi.

Walau bagaimanapun, secara perbandingan, semua hasil penemuan sains manusia masih terlalu kecil. Kaka smriti lebih daripada semua itu kerana ia tidak hanya diwarisi. Ia berulang.

Aku menutup mata. Dan sungai mula bercakap. Bukan dengan suara tetapi dengan perasaan. Rasa sebagaimana dalam tradisi India. Satu sensasi yang tidak dapat diterjemahkan dalam bahasa manusia.

Aku mampu melihat semula peristiwa pada Mei 2026. Aku tidak melihat gagak. Aku melihat proses. Satu sistem yang sedang mencari keseimbangan semula jadi. Manakala manusia berada di bahagian tengah.

Dalam sistem keseimbangan itu, Rajendran bukan individu. Dia adalah nod, titik persilangan, titik pertemuan sepertimana semua penembak lain yang terlibat dalam operasi menembak gagak di Bandaraya Diraja Klang, empat tahun lalu.

Aku dapat melihat—merasa—bahawa setiap nod mempunyai fungsi tersendiri. Fungsinya bukan untuk membunuh tetapi untuk mencetuskan sesuatu.

Aku membuka mata. Air sungai kini lebih gelap jika dibandingkan dengan kegelapan malam. Seolah-olah ia sedang menyerap kesemua cahaya bulan.

“Ini bukan pembalasan,” kata Arul dari sisi kanan. “Bukan juga keadilan.”

Aku tidak menoleh ke arahnya. Aku menghela nafas.

“Tidak,” aku menjelaskan. “Ini sebuah pengulangan.”

Sementara itu, Dr. Ananthan Subramaniam tidak dapat tidur dengan tenang. Makmalnya di Chennai kini menjadi tempat yang dia sendiri takutkan. Dia tidak faham mengapa segala data yang dia kumpul selama ini tidak lagi patuh kepada hipotesis.

Ia sudah mula berani menjawab balik. Umpama ada pemikiran sendiri. Setiap graf ujian elektroensefalogram (EEG) gagak mati menunjukkan corak yang sama. Seolah-olah ada suatu kuasa ghaib sedang menulis semula dirinya melalui eksperimen yang dikendalikan di makmal.

Pada malam tadi, skrin komputer menunjukkan bukti kehadiran unsur anomali. Bukan gangguan, bukan ralat, tetapi satu bentuk struktur. Corak yang menyerupai suara. Dan suara itu, walaupun tidak berbunyi, membawa satu perkataan yang jelas: Kaka.

Ananthan terduduk di kerusi.

“Ini tidak mungkin,” bisiknya.

Tetapi dalam sains, frasa “tidak mungkin” hanyalah bersifat sementara kerana sekadar membawa makna “belum difahami”.

(bersambung pada 3 Ogos 2026)

[Petikan fiksyen spekulatif ini merupakan draf manuskrip yang dihasilkan susulan Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 13-14 Jun 2026. © Uthaya Sankar SB. Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.]