[Sambungan daripada Bahagian Lima]
Majlis Gagak tidak lagi wujud dalam bentuk yang kukuh sejak malam itu. Kami
masih berkumpul di tempat yang sama. Di kuil lama ini, udara sentiasa lebih
sejuk berbanding dunia luar.
Tiga puluh enam gagak hadir pada malam ini. Arul tidak bercakap. Meenakshi
tidak sibuk mengumpul objek berkilat. Semua hadirin diam kerana masing-masing sudah
melihat perkara yang sama menerusi memori kolektif kaka smriti.
“Isu sekarang bukan lagi tentang manusia,” kataku perlahan selepas
berdiri di tengah perhimpunan kaum gagak. “Ini tentang sesuatu yang
menggunakan manusia sebagai lapis permukaan.”
“Namanya?” Arul segera bersuara.
Aku terdiam kerana tindakan memberi nama kepada sesuatu yang terlalu purba
selalu berupaya membuat ia datang lebih dekat kepada kita.
“Kita tidak tahu,” aku separuh berbohong.
Meenakshi menundukkan kepala.
“Tapi kita sudah tahu tentang tanda dan bukti yang ditinggalkan,” dia
mengingatkan.
Aku mengangguk.
“Nellikai.”
Sebut sahaja nama itu, udara di dalam Kuil Sri Navaneetha Krishnar menjadi
lebih berat. Ternyata buah kecil itu bukan lagi sekadar simbol. Ia sudah berubah
menjadi kod penuh rahsia.
Dalam tradisi Hindu, nellikai sering dikaitkan dengan kehidupan, penyucian,
dan penyembuhan. Namun begitu, dalam tradisi kaka smriti, ia mempunyai
makna lain. Nellikai adalah penanda kepada petanda. Seperti cap pada
halaman kitab lama. Sebagai tanda bahawa sesuatu telah dibuka dan tidak boleh
ditutup semula.
Aku mula melihat semuanya secara lebih jelas sekarang. Bukan lagi
melihatnya sebagai makhluk tetapi sebagai satu pola.
Ternyata sesuatu itu muncul dalam setiap kematian. Tetapi ia
tidak membunuh secara langsung. Sebaliknya, sesuatu itu bertindak mengaktifkan
neuron tertentu dalam ingatan.
Sekiranya diteliti, setiap penembak yang mati tidak sekadar mati. Mereka
mengulangi sesuatu. Umpama skrip yang telah lama ditulis. Seperti peranan yang
hanya menunggu masa untuk dimainkan semula. Untuk diulang tayang.
Ternyata Rajendran Arunachalam bukan mangsa pertama. Dia hanyalah mangsa
pertama yang kami sedari. Sebelum ini, tahun-tahun selepas operasi menembak
gagak pada Mei 2026, beberapa individu lain yang tidak tersenarai dalam laporan
rasmi juga ditemui mati dengan cara hampir sama.
Kesemua mereka mempunyai satu persamaan kecil yang kaum manusia tidak akan
tahu. Setiap mangsa pernah melihat gagak yang sama, pada saat yang sama, dan di
tempat-tempat yang mustahil.
Dan pada malam itu, aku melihatnya sekali lagi. Di atas bangunan Kuil
Sri Navaneetha Krishnar. Di antara akar pohon beringin yang tergantung seperti
urat bumi. Gagak-gagak lain juga melihatnya.
Sesuatu sedang duduk. Ia tidak berbentuk gagak. Ia tidak berbentuk
manusia. Tetapi ia memahami kedua-duanya. Dan untuk pertama kali, ia bercakap menerusi
kaka smriti tanpa menggunakan suara.
“Bukan dendam. Bukan hukuman. Hanya pengulangan,” katanya tanpa perlu
berkata-kata.
Aku berundur setapak. Arul mendesis perlahan. Aku tidak menjawab kerana
aku sedang tekun mendengar kata-kata sesuatu yang lebih tua daripada bahasa.
Sesuatu yang tidak pernah berhenti bertindak sejak Mei 2026. Sesuatu yang
mungkin tidak pernah bermula.
Dalam kepala, muncul satu ingatan yang bukan milik aku: Seorang lelaki
menembak. Seorang lelaki lain mencatat. Seorang lelaki lain ketawa. Dan di
belakang mereka … bukan gagak. Bukan manusia. Sesuatu sedang menulis semula
semua yang berlaku!
Aku akhirnya memahami ketakutan ibu. Ibu bukan takut kepada manusia. Dia
takut kepada sesuatu yang mampu mengingat terlalu banyak. Ibu sudah
faham bahawa ingatan—apabila ia menjadi bebas—tidak lagi mampu membezakan
antara keadilan dan pengulangan.
Angin malam masih membawa bau hanyir dari Sungai Klang. Aku menutup pelupuk
mata. Dan aku membuat keputusan yang mampu mengubah segala-galanya.
“Mulai malam ini,” kataku dengan suara perlahan tetapi tegas. “Kita
bukan lagi pemburu.”
Semua gagak memandang aku.
“Kita akan menjadi penghapus ingatan.”
Dan pada saat itu, aku dapat merasakan seolah-olah kaka smriti yang
selama ini tidur dalam diri kami, akhirnya membuka kedua-dua kelopak mata.
(bersambung pada 27 Julai 2026)
