Cerpen
“Susu Pokok Getah” karya M. Mahendran dalam antologi Caritra
(2026) memperlihatkan
satu sisi penting Sastera Kebangsaan iaitu pengalaman sejarah masyarakat India di
Malaysia boleh menjadi bahan sastera yang hidup apabila sejarah itu dipertemukan
dengan hubungan antara generasi.
Cerpen
ini tidak sekadar menyebut tentang warisan dan sejarah kaum India, malah cuba
memperlihatkan persoalan yang lebih besar tentang ingatan, identiti, dan usaha
memindahkan pengetahuan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya. Berikut
lima keistimewaan yang wajar diperkatakan apabila selesai membaca cerpen ini.
Pertama, keistimewaan cerpen ini ialah
penggunaan pokok getah sebagai lambang sejarah masyarakat India di Malaysia.
Pokok getah bukan sekadar tumbuhan yang mengeluarkan susu getah. Dalam ingatan
watak taatha, barisan pokok getah di Ladang Batu Lapan menjadi pintu
untuk mengingati tempat kelahiran dan kehidupan generasi terdahulu. Gambaran
pokok yang ditoreh, titisan susu getah, dan mangkuk kecil yang terikat pada
batang pokok memberikan unsur visual yang kuat.
Kedua, cerpen ini menarik kerana sejarah
disampaikan melalui hubungan watak datuk dengan cucu. Sejarah tidak hadir
sebagai kuliah dalam buku teks, sebaliknya melalui perbualan di taman permainan.
Watak Gayathri (cucu) bertanya tentang “susu” pokok getah, lalu persoalan kecil
seorang kanak-kanak membuka ruang kepada taatha (datuk) untuk
menceritakan asal usul dan pengalaman masyarakat India.
Teknik
ini menjadikan sejarah berubah menjadi kisah yang bersifat peribadi. Namun pada
masa sama, wujud juga jurang antara generasi apabila minat taatha
terhadap sejarah tidak semestinya dikongsi oleh cucunya.
Ketiga, cerpen “Susu Pokok Getah”
mempunyai nilai dari segi penggambaran identiti kaum India yang tidak
dipisahkan daripada identiti kebangsaan (Bangsa Malaysia). Dialog tentang asal usul
kaum India memperlihatkan bahawa watak taatha mengakui dirinya sebagai
orang Malaysia walaupun mempunyai nenek moyang dari India.
Penjelasan
tentang perdagangan, penyebaran agama, pengaruh bahasa Sanskrit dan Tamil,
serta kedatangan orang India pada zaman penjajahan British memperlihatkan usaha
watak taatha memahami identitinya sebagai sebahagian daripada keturunan
yang mempunyai sejarah panjang.
Keempat, cerpen ini mempunyai nilai
dokumentasi sejarah yang kuat kerana menyentuh perihal sumbangan masyarakat
India dalam pembentukan ekonomi dan kehidupan Malaya (Tanah, Melayu, Malaysia).
Pekerja Tamil dan Telugu disebut dalam konteks pekerjaan di ladang getah,
pembinaan jalan kereta api, jalan raya dan pelabuhan.
Pada
masa sama, Mahendran sekalu pengarang tidak mengehadkan masyarakat India kepada
kelompok buruh semata-mata kerana turut menyebut tentang kerani, guru, peniaga,
penjaja, polis, askar, dan pengawal serta pendeta Hindu. Kepelbagaian ini
penting kerana sejarah sebuah masyarakat tidak wajar dibina daripada satu
gambaran sempit semata-mata.
Kelima, kekuatan cerpen ini terletak juga pada
persoalan pewarisan memori dan kebimbangan terhadap terputusnya hubungan
generasi dengan sejarah. Taatha begitu bersungguh-sungguh mahu cucunya (Gayathri)
mengetahui asal usul, sedangkan Gayathri lebih tertarik kepada gelongsor,
permainan, dan dunia YouTube.
Konflik
kecil ini sebenarnya menyimpan persoalan besar iaitu apakah yang akan berlaku
apabila generasi baharu tidak lagi mengenali sejarah keluarganya? Pengalaman
watak taatha sendiri belajar bahasa Melayu melalui surat khabar dan
pergaulan dengan rakan-rakan kaum Melayu turut memperlihatkan proses integrasi
yang berlaku dalam pengalaman hidup masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Sebagai
karya Sastera Kebangsaan yang dihasilkan oleh penulis kaum India berpengalaman,
cerpen “Susu Pokok Getah” mempunyai keunikan kerana berjaya membawa sejarah,
budaya, dan pengalaman masyarakat India ke dalam ruang pengalaman Malaysia yang
lebih luas.
Apa yang
lebih menarik, Mahendran memilih suatu topik yang sederhana sebagai pintu masuk
ke dalam topik besar, iaitu bermula dengan kisah pokok getah dan susu yang
menitis dari batangnya. Daripada titisan itulah muncul sejarah manusia,
penghijrahan, pekerjaan, bahasa, identiti, dan ingatan.
Dan
mungkin di situlah letaknya persoalan paling penting yang dibawa olehcerpen
ini: Sejarah yang tidak diceritakan akan menjadi seperti susu getah yang kering
pada mangkuk, lalu hilang tanpa sempat diketahui oleh generasi selepasnya.
[Uthaya Sankar SB seorang
penulis, pengkaji, dan pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Beliau juga penyunting dan
penyelenggara antologi Caritra (2026).]

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!