Cerpen
“Anak Emas” karya Kamalah Suppiah dalam antologi Caritra
(2026) mempunyai beberapa keistimewaan yang
menjadikannya menarik untuk dibaca sebagai sebuah karya Sastera Kebangsaan yang lahir daripada pengalaman dan pengamatan
seorang penulis kaum India.
Kekuatan
cerpen ini bukan sekadar terletak pada persoalan keluarga tetapi juga pada
keberanian pengarang mengangkat sisi kehidupan masyarakat India, khususnya
masyarakat Tamil, ke dalam ruang kesusasteraan yang dapat dibaca oleh semua
kaum.
Melalui
suara dan watak seorang wanita, pembaca dibawa melihat bagaimana adat, gender,
keluarga, dan kasih sayang boleh bertembung dalam ruang domestik yang kelihatan
biasa. Ada lima keistimewaan yang nyata pada cerpen ini.
Pertama, paparan budaya dan pengalaman
masyarakat India sebagai sebahagian daripada pengalaman Malaysia. Cerpen ini
tidak menggunakan unsur India sebagai hiasan eksotik. Istilah seperti Amma,
akka, anni, dan makanan seperti gulai ikan kering serta sambal paruppu
hadir secara semula jadi dalam kehidupan watak.
Begitu
juga latar sambutan Deepavali, hubungan kekeluargaan, dan struktur keluarga komuniti
Tamil. Unsur-unsur tersebut memperlihatkan bahawa kebudayaan India bukan
sesuatu yang terpisah daripada Sastera Kebangsaan, sebaliknya menjadi salah
satu warna yang membentuk wajah Bangsa Malaysia.
Kedua, keberanian Kamalah mengkritik amalan
patriarki dalam lingkungan budaya sendiri. Pengarang tidak memilih jalan mudah
dengan menyalahkan masyarakat secara umum. Sebaliknya, persoalan itu
dibentangkan melalui pengalaman seorang anak perempuan yang merasakan perbezaan
layanan antara dirinya dengan abang.
Dilukiskan
bagaimana anak lelaki dianggap lebih berhak, manakala anak perempuan dikaitkan
dengan kerja rumah dan kepatuhan. Dialog antara watak Kanaga dengan ibunya
menjadi penting kerana konflik itu tidak disampaikan melalui khutbah moral, sebaliknya
melalui pertentangan suara yang hidup.
Ketiga, penggunaan objek kecil sebagai
lambang persoalan yang besar. Dalam cerpen “Anak Emas”, telur bukan sekadar
makanan. Ia menjadi objek yang menyimpan memori tentang ketidakadilan, kasih
sayang, dan luka zaman kanak-kanak.
Peristiwa
dua belas biji telur yang ditemui Kanaga, kemudian mendapat makna emosional
kerana pembahagian makanan itu memperlihatkan perbezaan layanan dalam keluarga.
Begitu juga makanan kegemaran ibu yang muncul berulang kali.
Benda-benda
yang sederhana akhirnya menjadi simbol atau perlambangan yang membawa pembaca
daripada pengalaman peribadi kepada persoalan gender dan nilai keluarga.
Keempat, pembinaan watak melalui konflik
dalaman dan bukan semata-mata melalui peristiwa luaran. Kanaga bukan watak yang
hanya marah kepada ibunya. Dia mengingati, mempertikaikan, malah terluka,
tetapi pada masa yang sama, dia masih mempunyai rasa tanggungjawab sebagai seorang
anak. Perasaan itu menjadikan wataknya manusiawi.
Hubungannya
dengan Kavitha, suami, dan anak-anak pula memperlihatkan bahawa pengalaman
seseorang dalam keluarga boleh mempengaruhi cara dia membina keluarga sendiri.
Dalam hal ini, cerpen “Anak Emas” memperlihatkan bahawa luka yang diwarisi
tidak semestinya perlu diwariskan.
Kelima, penggunaan ironi yang halus tetapi
tajam. Cerpen ini mempertemukan dua generasi wanita dan satu pemikiran yang
berlawanan tentang anak perempuan. Kanaga mengalami sendiri kesan layanan berat
sebelah, namun dia tetap menjalankan tanggungjawab terhadap ibunya.
Pada
masa yang sama, pengalaman tersebut menyebabkan pembaca berupaya menilai semula
makna “anak emas”, kasih sayang, dan pengorbanan. Ironi inilah yang memberikan
kekuatan kepada cerpen ini kerana persoalan gender tidak selesai dengan satu
slogan. Ia terus kekal sebagai persoalan yang mengganggu fikiran pembaca.
Sebagai
karya Sastera Kebangsaan, cerpen “Anak Emas” yang dihasilkan oleh pengarang
cacat penglihatan (buta) ini penting kerana ia memperlihatkan bahawa pengalaman
masyarakat India adalah sebahagian daripada pengalaman bersama rakyat Malaysia.
Bahasa,
makanan, keluarga, dan adat menjadi pintu masuk kepada persoalan yang lebih
universal. Misalnya, persoalan apakah ukuran sebenar seorang anak? Di situlah terletak
kekuatan karya Kamalah. Ia bertolak daripada kisah di rumah sebuah keluarga
India, tetapi muatan isu dan persoalan mampu mengetuk pintu rumah pembaca pelbagai
latar budaya.
[Uthaya Sankar SB seorang
penulis, pengkaji, dan pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Beliau juga penyunting dan
penyelenggara antologi Caritra (2026).]

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!