2 Oct 2026

The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy



The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy (2002) ialah sebuah buku yang menarik bukan kerana kita dapat memegangnya sebagai objek fizikal, tetapi kerana kedudukannya yang ganjil dalam dunia fiksyen ciptaan Uthaya Sankar SB.

Buku ini muncul sebagai rujukan utama para pengikut Maharishi Prashamsaneeji, tokoh spiritual yang dikatakan hidup dari 1870 hingga 1932. Dalam cerpen “Guruji dari Jaisalmer”, buku itu disebut sebagai biografi paling komprehensif tentang Prashamsaneeji dan dikatakan disusun berdasarkan pelbagai sumber lisan di Malaysia.

Namun, sejak awal lagi, pembaca berdepan satu persoalan yang lebih penting daripada persoalan sama ada Prashamsaneeji pernah benar-benar wujud. Apakah fungsi sebuah biografi apabila tokoh yang diceritakan di dalamnya sudah berubah daripada manusia menjadi simbol?

Dan apakah yang berlaku apabila sejarah seorang guru spiritual ditulis bukan oleh dirinya sendiri, malah ditulis beberapa dekad selepas kematiannya, berdasarkan ingatan para pengikut?

Di sinilah The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy menjadi lebih daripada sebuah “biografi”. Ia boleh dibaca sebagai kitab pembentukan memori. Buku itu bukan sahaja menceritakan siapa Prashamsaneeji; ia membantu menentukan siapa Prashamsaneeji yang harus diingati.

Prashamsaneeji dikatakan lahir di Jaisalmer, Rajasthan, India pada tahun 1870, membesar dalam lingkungan penganut Hindu dan Jain, kemudian mendirikan ajaran baharu sekitar usia 40 tahun. Dia tiba di Malaya pada tahun 1930 dan meninggal dunia pada 1932.

Tetapi biografi tersebut tidak berdiri di atas sejarah yang kukuh dalam pengertian historiografi moden. Sebaliknya, sejarahnya bertumpu kepada tradisi lisan, ingatan pengikut kultus, dan teks yang muncul kemudian. Maka, sejak awal, kita tidak membaca sejarah yang bersih daripada mitos. Kita membaca sejarah yang sudah melalui proses pemilihan, penyusunan, dan pemujaan.

Apabila Manusia Menjadi Legenda

Dalam The Cult of the Saints in Late Antiquity and the Early Middle Ages (2000), Peter Brown menunjukkan bahawa teks hagiografi bukan sekadar menceritakan kehidupan tokoh suci. Teks sebegitu turut membantu membentuk dan menyebarkan kultus, di samping memenuhi kepentingan sosial dan duniawi tertentu.

Kerangka akademik ini amat berguna untuk membaca The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy. Walaupun Prashamsaneeji ialah tokoh fiksyen, mekanisme pembentukan kultusnya terasa meyakinkan.

Dia mempunyai tempat kelahiran yang khusus, tarikh kelahiran dan kematian, sejarah perjalanan, ajaran, pengikut, serta kisah kematian. Semakin banyak butiran diberikan, semakin kukuh ilusi bahawa kita sedang berhadapan dengan tokoh sejarah sebenar.

Nama “Prashamsaneeji” sendiri sudah mengandungi unsur pemujaan. “Prashamsa” dikaitkan dengan makna pujian, yang terpuji, atau yang dikagumi. Dalam “Guruji dari Jaisalmer”, nama itu turut diberikan latar linguistik dan kebudayaan yang merentasi beberapa bahasa serta tradisi India. Dengan demikian, nama itu bukan lagi sekadar nama peribadi. Ia menjadi gelaran yang mengangkat manusia ke wilayah simbolik.

Perkara ini penting kerana kultus tidak bermula apabila pengikut melakukan sesuatu yang ekstrem. Kultus boleh bermula jauh lebih awal, iaitu apabila seseorang manusia secara perlahan-lahan dipisahkan daripada sifat kemanusiaan. Kesilapan ditafsir sebagai kebijaksanaan. Percanggahan menjadi misteri. Diam menjadi tanda kesucian. Dan setiap kisah yang tidak dapat dibuktikan akhirnya menjadi sebahagian daripada aura tokoh.

Sejarah yang Tidak Stabil

Salah satu kekuatan konseptual buku The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy ialah sejarahnya tidak benar-benar stabil. Prashamsaneeji dikatakan meninggal dunia pada tahun 1932, tetapi terdapat lebih daripada satu versi mengenai sebab kematiannya.

Ada versi yang mengaitkan kematian tokoh itu dengan racun, manakala versi lain menyebut demam panas dan sakit kepala. Percanggahan sebegini tidak semestinya kelemahan cerita. Sebaliknya, ia memperlihatkan bagaimana mitos berkembang.

Lebih menarik, tradisi tekstual Prashamsaneeji sendiri mempunyai jurang masa yang ketara. Ajarannya dikatakan dikumpulkan oleh pengikut di Malaysia pada tahun 1982 dan kemudian didokumentasikan semula oleh pengikut di India pada tahun 1992.

Bahan-bahan itu kemudian digabungkan dan disebarkan. Maka, biografi yang terbit pada tahun 2002 hadir selepas beberapa lapisan pemindahan: daripada guru kepada pengikut, daripada ucapan kepada ingatan, daripada ingatan kepada teks, dan daripada teks kepada biografi.

Persoalannya bukan lagi “Apakah Prashamsaneeji benar-benar berkata demikian?” tetapi “Siapakah yang mempunyai kuasa menentukan bahawa Prashamsaneeji pernah berkata demikian?”

Di sinilah buku tersebut menjadi sangat menarik sebagai kritik terhadap autoriti teks. Biografi yang sepatutnya menjelaskan sejarah, akhirnya menjadi sebahagian daripada mesin yang menghasilkan sejarah.

Buku sebagai Alat Kuasa

Michel Foucault dalam eseinya “What Is an Author?” (1969) mengingatkan kita bahawa “pengarang” bukan sekadar individu yang menulis sesuatu teks. Konsep pengarang turut berfungsi mengatur cara sesuatu wacana diklasifikasikan, diterima, dan diberikan autoriti.

Perspektif ini boleh diterapkan dalam penelitian terhadap Prashamsaneeji. Dalam dunia fiksyen ciptaan Uthaya, nama Prashamsaneeji berfungsi sebagai pusat autoriti. Apabila sesuatu ajaran dikatakan berasal daripada tokoh itu, persoalan terhadap ajaran itu seolah-olah menjadi persoalan terhadap guru. Dengan itu, nama tokoh berubah menjadi mekanisme pengesahan.

Ironinya, semakin kabur asal usul teks, semakin besar keperluan untuk menggunakan nama Prashamsaneeji sebagai jaminan kebenaran.

Dengan demikian, buku The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy yang terbit pada tahun 2002 mempunyai fungsi yang hampir paradoks. Ia seolah-olah mendokumentasikan sejarah tetapi pada masa sama mencipta keadaan yang membolehkan sejarah itu dipercayai.

Tarikh penerbitan, gelaran, biografi, dan rujukan kepada sumber lisan semuanya memberikan kesan dokumentari. Pembaca seakan-akan sedang membuka sebuah buku sejarah yang hilang daripada perpustakaan, sedangkan buku itu sendiri ialah sebahagian daripada pembinaan dunia fiksyen.

Buku dalam Buku

Pembacaan terhadap buku ini menjadi lebih kaya melalui teori intertekstualiti Julia Kristeva. Dalam Desire in Language (1969), Kristeva melihat teks sebagai sesuatu yang terbentuk melalui hubungan dengan teks-teks lain, bukan sebagai objek yang berdiri sendirian.

Dalam kes Prashamsaneeji, hubungan itu sangat jelas. Buku The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy mempunyai hubungan dengan tradisi lisan di Malaysia, teks yang dikumpulkan pada tahun 1982, bahan dari India pada tahun 1992, serta karya-karya Uthaya yang muncul kemudian.

Cerpen “Sebelas Amanat Prashamsaneeji”, misalnya, secara langsung menjadikan buku tersebut sebagai sumber bagi sebelas amanat ekstrem yang dikaitkan dengan kultus itu.

Lebih menarik lagi, cerpen “Sebelas Amanat Prashamsaneeji” menjadi salah satu daripada 16 cerpen dalam buku Sebelas Amanat Swamiji (2025). Hal ini bermakna, biografi yang terbit pada tahun 2002 tidak berakhir pada halaman terakhirnya. Sebaliknya, ia terus hidup melalui teks-teks lain.

Di sinilah konsep intertekstualiti menjadi penting. Biografi The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy bukan sekadar sebuah buku dalam sebuah cerita. Ia juga menjadi sumber kepada cerita-cerita lain. Ia mempunyai sejarah sebelum kemunculannya dan kesan selepas kewujudannya.

Dalam erti kata lain, buku yang tidak wujud secara fizikal itu berjaya memperoleh kehidupan sastera yang lebih panjang daripada banyak buku sebenar. Malah, buku itu sedang diulas di sini!

Daripada Bhakti kepada Pemujaan Individu

Aspek yang paling mengganggu dalam dunia Prashamsaneeji ialah perubahan daripada pengabdian spiritual kepada ketaatan mutlak. Uthaya sendiri, dalam penulisan beberapa fiksyen berkaitan, membezakan antara agama dan kecenderungan manusia memanipulasi agama sebagai alat kuasa. Uthaya mengaitkan masalah tersebut dengan penyalahgunaan konsep bhakti apabila pengabdian kepada guru bertukar menjadi pemujaan secara membabi buta terhadap manusia.

Perubahan itu menjadi penting kerana The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy nampaknya berfungsi sebagai salah satu asas legitimasi kultus. Dalam dunia fiksyen yang dibina oleh Uthaya, para pengikut tidak lagi sekadar mempelajari ajaran. Mereka menerima tokoh pengasas kultus sebagai sumber kebenaran mutlak.

Kesebelas amanat yang kemudian didedahkan memperlihatkan tahap ekstrem perubahan tersebut: intimidasi terhadap orang luar, penghapusan pengkritik, penolakan ajaran lain, keganasan terhadap mereka yang tidak patuh, dan pembentukan mentaliti “kami lawan mereka”. Pada titik ini, bahasa spiritual telah berubah menjadi bahasa kuasa. 



[Baca juga: “Membongkar Amanat Prashamsaneeji” dan “Amanat Kultus yang Mengancam Negara” serta “Prashamsaneeji dalam Lensa Sejarah dan Teologi” dan “Sīrat Rasūl Allāh dan The Life of Prashamsaneeji” serta “Antara Penipu, Mitos, dan Kuasa Kultus”]

Biografi sebagai Persembahan

Satu lagi kerangka yang boleh digunakan dalam membuat analisis ialah pandangan Erving Goffman melalui The Presentation of Self in Everyday Life (1956). Goffman menggunakan metafora persembahan teater untuk menerangkan bagaimana manusia cuba membina dan mengawal kesan yang diberikan kepada khalayak.

Prashamsaneeji boleh dibaca melalui mekanisme tersebut. Jaisalmer, Gurun Thar, kedatangan ke Malaya, pengikut, ajaran baharu, dan kisah kematian semuanya menjadi props dalam pembinaan persona spiritual. Biografi menyusun unsur-unsur tersebut sehingga terbentuk sebuah “pentas” tempat Prashamsaneeji tampil sebagai manusia luar biasa.

Nmaun begitu, Goffman juga mengingatkan kita bahawa persembahan memerlukan khalayak. Tanpa pengikut, tiada guru. Tanpa pembaca, tiada biografi. Tanpa masyarakat yang mengulang cerita, tiada legenda. Maka, berdasarkan kerangka ini, Prashamsaneeji tidak dibina oleh dirinya sendiri. Dia dibina oleh pengikut yang mengagung-agungkannya.

Kekuatan dan Batasan Buku

Sebagai sebuah artefak sastera, kekuatan terbesar biografi The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy terletak pada kesannya yang melampaui bentuk. Ia terasa seperti buku yang pernah wujud. Ia mempunyai tarikh, tokoh, sejarah teks, sumber lisan, dan komuniti pembaca. Malah, lebih penting, ia mempunyai akibat terhadap watak dan masyarakat dalam dunia fiksyen.

Namun, jika dibaca sebagai biografi dalam pengertian historiografi, di situlah kelemahannya menjadi ketara. Asas sumbernya terlalu bergantung kepada tradisi yang telah melalui banyak tangan.

Percanggahan sejarah tidak diselesaikan. Autoriti teks pula dibina daripada nama tokoh yang menjadi subjek teks itu sendiri. Dengan kata lain, biografi The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy tidak dapat membuktikan kewujudan dan ketokohan Prashamsaneeji melalui sumber bebas; sebaliknya ia hanya membuktikan kewujudan dan ketokohan Prashamsaneeji melalui tradisi yang sudah mempercayainya.

Tetapi mungkin itulah tujuan sasteranya. Malah, mungkin itulah juga yang berlaku dalam realiti hidup manusia di luar dunia fiksyen ciptaan Uthaya. Tambahan pula, Uthaya sering menghasilkan karya berbentuk faksyen, iaitu gabungan fakta dan fiksyen.

Sebuah Buku yang Lebih Besar daripada Isinya

Biografi The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy lebih tepat dibaca sebagai novel kecil yang menyamar sebagai biografi, atau lebih tepat lagi, sebagai sebuah dokumen fiksyen yang sengaja diberikan berat atau nilai sebuah kitab sejarah.

Nilai buku ini bukan terletak pada persoalan sama ada Prashamsaneeji benar atau palsu. Persoalan yang lebih utama ialah bagaimana manusia mencipta kebenaran melalui pengulangan: Satu cerita menjadi tradisi, tradisi menjadi teks, teks menjadi kitab, kitab menjadi autoriti, autoriti melahirkan ketaatan, dan akhirnya ketaatan boleh melahirkan kuasa.

Di sinilah eksperimen Uthaya menjadi menarik. Prashamsaneeji sendiri ialah watak rekaan (fiksyen) tetapi mekanisme yang mengelilinginya terasa terlalu manusiawi. Pengarang menggunakan seorang tokoh yang tidak pernah wujud untuk memperlihatkan bagaimana tokoh yang dianggap suci boleh diwujudkan dalam imaginasi masyarakat. Bukankah ini juga berlaku dalam realiti?

Dengan demikian, The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy bukan sekadar buku tentang seorang guru. Ia sebenarnya buku tentang bagaimana sebuah masyarakat menghasilkan guru, menghasilkan kitab, menghasilkan pengikut kultus, dan akhirnya menghasilkan kebenaran mereka sendiri yang tidak boleh dipertikai atau dipersoal oleh “orang luar”.

Mungkin ironi paling tajam terletak pada persoalan bagaimana sebuah buku yang tidak dapat kita temui di rak perpustakaan, akhirnya memaksa kita memikirkan bagaimana banyak buku yang benar-benar berada di rak perpustakaan memperoleh kewibawaan yang kita terima tanpa banyak bertanya.

Dalam dunia fiksyen Prashamsaneeji, persoalan paling berbahaya bukanlah “Adakah guru itu benar?” Persoalan yang lebih berbahaya ialah “Siapakah yang menulis bahawa guru itu benar, dan mengapa kita mempercayai kewujudan serta ajarannya?”

Pertanyaan intelek ini bolehlah juga dijadikan kerangka apabila kita meneliti tokoh agama atau ajaran tertentu, serta buku atau biografi yang dihasilkan lama selepas kematiannya untuk mengangkat serta mengagung-agungkan tokoh berkenaan tanpa asas sejarah yang sahih dan kukuh.

Malah, tidak mustahil dunia fiksyen Prashamsaneeji serta biografi The Life of Prashamsaneeji or the Praiseworthy mampu membuka mata orang ramai tentang tokoh tertentu dan biografi tentang tokoh berkenaan yang diterima bulat-bulat sebagai sahih walaupun memiliki pelbagai kepincangan dan keraguan munasabah.

(Harap maklum bahawa anda meneliti sebarang paparan di mana-mana blog dan media sosial kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri.)

No comments:

Post a Comment

Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!