Setiap
kali statistik kemasukan murid ke Sekolah
Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
diumumkan, kebimbangan yang sama diulang. Pemimpin politik menyeru masyarakat
India (keturunan Tamil, Malayali, dan Telugu)
mempertahankan SJKT. Pertubuhan masyarakat pula tampil menggesa ibu bapa
keturunan Tamil menghantar anak-anak ke sekolah Tamil.
Pelbagai
kempen turut digerakkan secara besar-besaran atas nama bahasa, budaya, dan
identiti Tamil. Misalnya, kempen “SJKT Pilihan Kita” (Tamil School
Our Choice; தமிழ்ப்பள்ளியே நமது தேர்வு) sejak lebih sedekad lalu. Namun,
angka tidak pernah berbohong. Jumlah kemasukan murid ke SJKT terus menunjukkan
trend yang membimbangkan.
Menurut
data rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada
22 Jun 2026, sehingga 31 Mei 2026, terdapat 528 buah SJKT yang masih beroperasi
di seluruh negara dengan jumlah 78,501 orang murid.
Pada
masa sama, sejumlah 135 buah SJKT dilaporkan melaksanakan kelas bercantum
kerana bilangan murid yang terlalu kecil, manakala 36 buah SJKT telah
diluluskan untuk dipindahkan ke lokasi yang mempunyai potensi kemasukan murid
lebih tinggi.
Hakikat
ini menunjukkan bahawa masalah kekurangan murid di SJKT bukan lagi kes
terpencil yang boleh disapu dan disembunyikan di bawah karpet, sebaliknya
fenomena yang semakin meluas dan wajar dibahaskan secara terbuka, objektif, dan
konstruktif.
Sebenarnya,
tanda-tanda awal kepada masalah ini sudah lama kelihatan dan telah saya
ketengahkan menerusi tulisan bertajuk “Persoalan Kempen SJKT Pilihan Kita”
(The Malaysian Insider, 12 Januari 2016).
Pada
tahun 2017 pula, dilaporkan bahawa 22 buah SJKT mempunyai kurang daripada
sepuluh orang murid, manakala menjelang tahun 2022, sebanyak 367 buah SJKT
dikategorikan secara rasmi sebagai sekolah kurang murid (SKM). Statistik dan
data sahih seperti ini membuktikan bahawa masalah berkenaan telah berlarutan
hampir sedekad tanpa perhatian dan penyelesaian yang benar-benar berkesan.
Persoalan
sebenar bukan semata-mata mengapa semakin banyak SJKT kehilangan murid.
Persoalan yang lebih penting ialah mengapa semakin ramai ibu bapa kaum India
sendiri—khususnya keturunan Tamil—memilih untuk tidak lagi menghantar anak-anak
ke SJKT.
Kesimpulan terlalu simplistik
Ramai
pihak terlalu mudah menyimpulkan bahawa masyarakat India sudah tidak menghargai
bahasa Tamil. Kesimpulan seperti itu bukan sahaja terlalu simplistik, malah
mengabaikan realiti kehidupan masyarakat India di Malaysia yang sudah banyak
berubah sejak tahun 1970-an.
Hari
ini, majoriti keluarga kaum India tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar.
Ramai ibu bapa merupakan golongan profesional, penjawat awam, usahawan, pekerja
sektor swasta, dan pekerja mahir. Mereka hidup dalam dunia yang semakin
kompetitif dan mencabar. Mereka sedar bahawa masa depan anak-anak bergantung
kepada penguasaan pelbagai ilmu, kemahiran, dan bahasa; bukannya semata-mata
pada sentimental sejarah, budaya, warisan, dan bahasa Tamil.
Apabila
memilih sekolah, ibu bapa tidak lagi bertanya sekolah mana paling dekat dengan
identiti budaya nenek-moyang. Sebaliknya, mereka bertanya sekolah mana yang
mampu menyediakan peluang terbaik untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran,
memperoleh pekerjaan yang baik, dan bersaing dalam masyarakat global. Dalam
situasi ini, SJKT terbukti berhadapan cabaran yang amat besar.
Salah
satu kebimbangan yang masih dibangkitkan guru dan ibu bapa ialah penguasaan Bahasa Malaysia. Walaupun kurikulum
kebangsaan digunakan di semua sekolah kerajaan, sebahagian ibu bapa masih
mempunyai persepsi bahawa murid SJKT memerlukan tempoh penyesuaian apabila
memasuki sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang menggunakan Bahasa Malaysia
sebagai bahasa utama pengajaran.
Sama
ada persepsi itu tepat atau tidak bagi semua sekolah bukanlah isu utama. Dalam
membuat keputusan, persepsi sering mempengaruhi tindakan lebih kuat daripada
statistik. Malah, kita boleh cuba bertanya sendiri kepada kelompok pelajar SMK
yang datang dari SJKT dan terpaksa pula mengikuti Kelas Peralihan selama
setahun.
Pada
masa sama, perlu diakui bahawa ibu bapa kaum India semakin memberi perhatian
kepada penguasaan bahasa Inggeris. Dalam era ekonomi digital dan pasaran
pekerjaan global, bahasa Inggeris dianggap sebagai satu kelebihan yang sangat
penting.
Ramai
ibu bapa kaum India memilih sekolah rendah yang mereka percaya mampu melahirkan
murid yang benar-benar fasih Bahasa Malaysia, Tamil, dan Inggeris. Sekiranya
SJKT gagal membina reputasi sebagai sekolah yang mampu melahirkan murid
trilingual dan berkualiti, ibu bapa keturunan Tamil sendiri mungkin akan
mencari alternatif lain.
Mutu pendidikan
Faktor
kedua ialah mutu pendidikan. Kerap kali apabila isu SJKT dibincangkan,
perhatian diberikan kepada pembinaan bangunan baharu, status tanah sekolah,
atau peruntukan kewangan. Semua perkara itu penting tetapi ibu bapa sebenarnya
lebih mengambil berat tentang apa yang berlaku di bilik darjah.
Tokoh
pendidikan seperti John Hattie melalui buku Visible Learning (2008) dan Visible Learning: The Sequel (2023) membuktikan bahawa faktor yang paling
besar mempengaruhi pencapaian murid ialah keberkesanan guru menyampaikan ilmu,
bukannya jenis sekolah atau saiz sekolah.
Kajian
yang menghimpunkan puluhan ribu penyelidikan berasaskan pendidikan itu
menunjukkan bahawa guru yang berkualiti, maklum balas yang berkesan, serta
budaya pembelajaran yang positif mampu memberi kesan yang jauh lebih besar
terhadap pencapaian murid.
Begitu
juga pandangan Pengarah Pendidikan di Organisation for Economic Co-operation
and Development (OECD), Andreas Schleicher dalam buku World Class: How to Build a 21st-Century School System
(2018). Beliau menegaskan bahawa sistem pendidikan yang berjaya sebenarnya
sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan profesional guru, kepimpinan
sekolah, dan keupayaan murid berfikir secara kritis.
Sekolah
tidak boleh bergantung pada sejarah atau tradisi semata-mata untuk kekal
relevan. Hujah ini tentulah amat sesuai dengan sentimen pemimpin politik dan
masyarakat Tamil yang sentiasa mengaitkan SJKT dengan bahasa, warisan, dan
budaya Tamil.
Dalam
laporan rasmi Programme
for International Student Assessment (PISA) 2022,
OECD sekali lagi menekankan bahawa faktor seperti iklim sekolah yang kondusif,
guru yang kompeten, penglibatan ibu bapa, serta budaya membaca memberi impak
besar terhadap pencapaian murid. Dengan kata lain, ibu bapa hari ini tidak
memilih sekolah berdasarkan nama tetapi berdasarkan keyakinan terhadap kualiti
pendidikan.
Selain
itu, semakin banyak SJKT berstatus sekolah kurang murid (SKM). Memang benar,
secara teori, bilangan murid yang sedikit membolehkan guru memberi perhatian
secara individu. Namun, keadaan ini juga boleh menyebabkan beberapa kekangan.
Misalnya,
aktiviti kokurikulum menjadi lebih terhad. Persaingan akademik kurang mencabar.
Bilangan rakan sebaya yang sedikit mengehadkan peluang interaksi sosial,
pengalaman kepimpinan, dan pembelajaran kolaboratif. Semua faktor ini tentulah
turut dipertimbangkan oleh ibu bapa apabila memilih sekolah yang sesuai bagi
anak-anak.
Keadaan serba kekurangan
Dalam
era digital pula, kemudahan yang terdapat di sekolah menjadi semakin penting.
Makmal komputer, capaian internet, perpustakaan moden, bilik STEM, makmal
sains, dan ruang pembelajaran fleksibel bukan lagi kemewahan, tetapi keperluan
asas di sekolah.
Walaupun
memang ada SJKT yang mempunyai segala kemudahan cemerlang, masih banyak sekolah
beroperasi dalam keadaan serba kekurangan. Jurang inilah yang perlu ditangani
secara serius bagi menjayakan kempen “SJKT Pilihan Kita”; bukan bergantung
kepada sentimen bahasa dan budaya Tamil semata-mata.
Kita
perlu menerima hakikat bahawa realiti hidup kaum India sendiri juga sedang
berubah. Tidak semua keluarga keturunan Tamil menggunakan bahasa Tamil sebagai
bahasa utama di rumah. Sebahagian keluarga lebih banyak menggunakan bahasa
Inggeris.
Bagi
mereka, pembelajaran bahasa Tamil masih penting sebagai warisan budaya, tetapi
mereka beranggapan bahasa ibunda itu masih boleh dipelajari melalui kelas
hujung minggu, persatuan kebudayaan, atau program komuniti. Oleh itu, ibu bapa
lebih cenderung memilih sekolah yang dianggap lebih sesuai dengan keperluan
pendidikan secara lebih menyeluruh demi masa depan anak- anak.
Justeru,
penyelesaian kepada masalah kemerosotan murid di SJKT tidak boleh bergantung
kepada kempen berunsur sentimen dan emosi semata-mata. Tambahan pula, kempen
“SJKT Pilihan Kita” yang digerakkan sejak lebih sedekad lalu ternyata masih
gagal mencapai sasaran yang diimpikan.
Langkah
pertama bagi mengatasi masalah sebenar ialah meningkatkan mutu pengajaran
secara menyeluruh. Latihan profesional guru perlu diperkasakan secara
berterusan, khususnya dalam pedagogi abad ke-21, penggunaan teknologi
pendidikan, pembelajaran berasaskan inkuiri, dan pembangunan kemahiran berfikir
aras tinggi (KBAT).
Perkara
ini tentulah sudah ada tetapi mungkin kurang dipromosikan dalam kempen “SJKT
Pilihan Kita” yang lebih banyak cuba bermain dengan emosi dan sentimen bahasa,
warisan, serta budaya Tamil semata-mata.
Murid ‘trilingual’
Langkah
kedua ialah memastikan setiap murid SJKT benar-benar menguasai Bahasa Malaysia,
Tamil, dan Inggeris pada tahap yang memuaskan. Jika SJKT berjaya dikenali
sebagai sekolah yang melahirkan murid trilingual dan cemerlang, tentu sahaja
persepsi masyarakat terhadap SJKT akan berubah dengan sendiri; tanpa memerlukan
laungan “SJKT Pilihan Kita”.
Langkah
ketiga ialah memperkukuh hubungan dengan komuniti profesional kaum India.
Doktor, jurutera, saintis, peguam, pensyarah, usahawan, dan alumni SJKT yang
berjaya perlu lebih kerap diundang terlibat sebagai mentor kepada murid.
Pastikan
mereka bukan datang untuk melaungkan kehebatan bahasa dan budaya Tamil,
sebaliknya berkongsi kisah kejayaan mereka dalam kerjaya dan komuniti. Barulah
kehadiran mereka dalam ekosistem sekolah Tamil mampu meningkatkan aspirasi
murid serta keyakinan ibu bapa terhadap kedudukan SJKT sebagai institusi
pendidikan yang menjanjikan masa depan.
Langkah
keempat pula melaksanakan penyusunan semula SJKT secara berani dan berasaskan
data. Sekolah yang terlalu kecil mungkin perlu digabungkan atau dipindahkan ke
kawasan yang mempunyai populasi kaum India lebih tinggi. Langkah seperti ini
mungkin sukar diterima pada peringkat awal, tetapi lebih baik daripada
membiarkan sekolah terus kehilangan murid sehingga tidak lagi mampu berfungsi
secara optimum; dan akhirnya terpaksa ditutup.
Akhir
sekali, KPM boleh sahaja mengambil inisiatif menerbitkan indikator prestasi
setiap SJKT secara lebih telus. Data mengenai pencapaian literasi dan numerasi,
penguasaan Bahasa Malaysia serta Inggeris, kehadiran murid, penyertaan
kokurikulum, kadar peralihan ke sekolah menengah, dan laporan penglibatan ibu
bapa boleh membantu masyarakat membuat penilaian berdasarkan bukti, bukannya
persepsi, sentimen, dan emosi.
Pada
pandangan saya, isu SJKT bukan sekadar soal bahasa atau identiti komuniti
Tamil. Isu sebenar yang sering diabaikan atau menjadi elephant in the room ialah
soal kepercayaan dan keyakinan. Ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah yang
mereka yakini mampu menyediakan masa depan yang lebih baik.
Selagi
perbahasan dan kempen masih lebih tertumpu kepada soal mempertahankan kewujudan
SJKT sebagai identiti, bahasa, budaya, dan warisan Tamil semata-mata tanpa
memikirkan soal mempertingkatkan kualiti pendidikan, trend kemerosotan
kemasukan murid ke SJKT sukar dibendung.
Jika
SJKT benar-benar mahu kembali menjadi pilihan utama masyarakat India, sekolah
ini perlu menawarkan sesuatu yang sukar ditolak: Pendidikan bertaraf tinggi,
guru cemerlang, kemudahan moden, penguasaan tiga bahasa yang mantap, serta
budaya pembelajaran yang mampu melahirkan murid berfikiran kritis, kreatif, dan
berdaya saing. Aspek budaya dan warisan Tamil boleh diselitkan secara organik.
Apabila
mutu pendidikan menjadi keutamaan, ibu bapa tidak lagi perlu dipujuk rayu
menerusi kempen “SJKT Pilihan Kita” atau sentimen bahasa, budaya, dan warisan
Tamil. Sebaliknya, mereka sendiri akan datang mengetuk pintu pagar sekolah
untuk mendaftar anak-anak di SJKT.
[Ulasan
ini ditulis pada Permukiman Penulisan Kavyan di Bentong, Pahang pada 1-2 Ogos
2026 dan tersiar di Malaysiakini
pada 7 Ogos 2026. Uthaya Sankar SB ialah seorang
penulis dan pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan). Baca pelbagai tulisan
berkaitan SJKT di
sini.]

No comments:
Post a Comment
Sila gunakan Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris yang betul dari segi ejaan, tatabahasa, tanda baca, struktur ayat dan kesantunan berbahasa. Komen tanpa nama tidak akan dilayan. Komen yang tiada kaitan dengan topik tidak akan disiarkan. Pencemaran bahasa diharamkan!