15 Mar 2016

Persoalan Kempen SJKT Pilihan Kita

Umum mengetahui mengenai kempen besar-besaran yang dilakukan Barisan Nasional (menerusi MIC) dan P. Kamalanathan, serta stesen radio MinnalFM dan THR Raaga untuk memujuk ibu bapa kaum India menghantar anak-anak  ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Anehnya, kempen itu ternyata kurang berjaya. Sebaliknya timbul beberapa persoalan hasil pemerhatian sejak beberapa minggu lalu.

Saya sempat berkongsi pandangan dengan rakan-rakan dan kenalan yang turut prihatin terhadap pendidikan komuniti India di Malaysia.

Berikut beberapa persoalan dan pertanyaan yang sepatutnya cuba dijawab Barisan Nasional (BN) dan pendukung kempen “Wajib Hantar Anak Ke SJKT”.

Saya bertemu sekumpulan lepasan SJKT yang mendapat 7A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Apabila melangkah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), prestasi mereka merudum amat teruk.

Kebanyakan daripada pelajar berkenaan mengaku terlibat dalam kes menipu semasa ujian dan peperiksaan di SMK. Maka, mereka dihantar untuk kaunseling.

[Pendedahan oleh PIBG - Baca di sini]

Hasil perbualan, mereka mendedahkan, sejak Tahun 1, mereka sudah dididik melakukan apa sahaja – termasuk menipu dan meniru – untuk lulus ujian dan peperiksaan.

Akhirnya, apabila berada di SMK, kumpulan pelajar kaum India ini hilang “tempat bergantung” kerana guru-guru menghalang mereka meniru; berbeza dengan budaya sewaktu di SJKT.

Akibatnya, walaupun mereka mendapat 7A dalam UPSR dan masuk ke kelas terbaik di Tingkatan 1, kemudian mereka terpaksa dihantar ke kelas belakang.

Baru-baru ini, sepasang ibu bapa menghubungi saya dan menceritakan, anak mereka mendapat 7A dalam UPSR serta menang pingat emas peringkat kebangsaan dalam acara sukan.

Akan tetapi, permohonan masuk ke SMK yang “bagus” ditolak, lalu mereka bertanya sama ada saya boleh membantu dalam hal ini.

Akan Berjaya Walau Tidak Ke Sekolah Tamil

Tanpa berfikir panjang, saya meminta mereka menghubungi MinnalFM, THR Raaga, Kamalanathan, MIC dan unit khas bagi SJKT di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana mereka yang meneraju kempen “Wajib Hantar Anak Ke SJKT”.

Biarlah mereka membantu menyelesaikan isu ini. Jangan pula mereka hanya pandai mempromosikan SJKT tetapi lepas tangan tentang masa depan kaum India selepas UPSR.

Hasil penelitian saya sejak 1993, rata-rata SJKT terlalu banyak menumpukan pada aspek penguasaan Bahasa Tamil, sehingga ramai lepasan SJKT kurang menguasai Bahasa Malaysia apabila melangkah ke SMK.

Akibatnya, banyak masalah terpaksa ditanggung pelajar kaum India yang secara teknikal dan on paper mendapat 7A dalam UPSR.

SJKT sepatutnya membantu murid-murid menguasai, menghayati dan mencintai Bahasa Malaysia; bukan sekadar “membantu” murid mendapat A dalam pemahaman dan penulisan UPSR.

Saya juga selalu bertemu pelajar cemerlang di SMK dan kolej yang datang dari SJKT. Mereka mengaku, bukanlah SJKT menjadi punca mereka cemerlang dalam pelajaran.

Sebaliknya, seperti diakui sekumpulan pelajar terbabit, kelas tuisyen dan sokongan ibu bapa yang berpendidikan menjadi punca kejayaan.

Maknanya, mereka bukannya berjaya kerana belajar di SJKT, tetapi mereka tetap berjaya walaupun belajar di SJKT!

Nampaknya sebahagian besar guru besar dan guru-guru SJKT menyedari hakikat ini. Seperti dipaparkan sebuah akhbar Tamil baru-baru ini, ibu bapa tertanya-tanya mengapa golongan itu tidak menghantar anak-anak ke SJKT.

Pada hemat saya, pendukung kempen “SJKT Pilihan Kita” seperti MIC (BN), Kamalanathan, MinnalFM dan THR Ragaa perlu membuat kempen dari rumah ke rumah para guru besar dan guru terbabit untuk memastikan mereka menghantar anak-anak ke SJKT.

Sekadar Agenda Bermotifkan Politik

Secara logik, MIC wajar memastikan semua pemimpin parti itu menghantar anak-anak ke SJKT.

Jangan hanya pandai berkempen kepada masyarakat tetapi anak-cucu sendiri tidak dihantar ke SJKT! [Baca juga: Lingkaran Syaitan di MIC dan SJKT]

Akhbar The Star (1 Januari 2016) melaporkan sepuluh SJKT tidak menerima pendaftaran murid Tahun 1.

Realiti ini membuktikan kempen “Wajib Hantar Anak Ke SJKT” yang berunsur rasis dan penerus agenda “pecah dan perintah” penjajah British tidak berjaya mempengaruhi orang ramai.

Masih ramai ibu bapa kaum India yang waras, rasional dan menyedari agenda kepentingan politik di sebalik kempen “Wajib Hantar Anak Ke SJKT”.

Orang ramai sedar ada perbezaan antara “mencintai dan memartabatkan bahasa ibunda dan budaya India” dan propaganda “Bahasa Tamil dan budaya Tamil akan lupus tanpa SJKT”.

Rahsia yang sudah diketahui umum, seperti dijelaskan dalam buku Tamils and The Haunting of Justice (2014) oleh Andrew C. Willford, MIC lebih banyak menumpukan pada kempen memelihara sistem pendidikan Tamil di SJKT, serta mempromosi perayaan keagamaan Hindu dan kuil.

Mungkin pada masa dahulu, orang menyangka segala kempen itu dilakukan demi kaum India, tetapi masyarakat mula melihat semua itu sebagai kempen bermotif politik bagi memastikan MIC masih diterima UMNO dan BN.

Baru-baru ini, saya berpeluang menonton suatu video di mana seorang remaja (jantina tidak dapat dipastikan) berhujah mengapa ibu bapa kaum India wajib menghantar anak-anak ke SJKT.

Katanya, semasa dia kanak-kanak, dia malas ke sekolah dan selalu tidur di rumah. Guru SJKT akan datang ke rumah untuk membantunya bersiap serta membawanya ke sekolah.

Masa Depan Generasi Muda Terjejas

Pada pandangan remaja berkenaan, kalau dia belajar di sekolah kebangsaan (SK), tentu guru-guru Melayu tidak akan bersikap prihatin seperti itu.

Gambaran menerusi video propaganda itu: Tugas guru SJKT termasuk pergi ke rumah murid, memandikan mereka, memakaikan baju sekolah, menyuapkan sarapan, basuh punggung selepas berak, dan membawa mereka ke sekolah!

(Utusan Malaysia, 21 Januari 2023)

Ada pula kes di mana pendukung kempen “Wajib Hantar Anak Ke SJKT” memujuk ibu bapa dengan menjanjikan tanggungan bayaran yuran van.

Beberapa ibu bapa yang datang meminta bantuan kewangan mendedahkan kepada saya, selepas hampir enam bulan, bantuan itu dihentikan.

Dalam pada itu, tahukah anda, dalam kes murid corot di Tahun 3-5, khabarnya ada SJKT menasihatkan ibu bapa memindahkan anak-anak ke SK.

Ibu bapa menceritakan kepada saya, guru besar mahu memastikan kecemerlangan SJKT dalam UPSR tidak terjejas oleh murid corot yang kurang menyerlah.

[Reaksi Tamil Nesan - Baca di sini]

Pendukung kempen “SJKT Pilihan Kita” pula endah tak endah kerana rekod peningkatan kemasukan murid Tahun 1 serta keputusan cemerlang murid Tahun 6 (UPSR) tidak terjejas sebaik murid-murid corot dipindahkan ke SK.

Demikian antara realiti yang diceritakan kepada saya oleh pelajar lepasan SJKT dan ibu bapa kaum India yang pernah menjadi mangsa.

Mereka mengharapkan penjelasan daripada BN dan para pendukung kempen “SJKT Pilihan Kita” kerana manipulasi yang dilakukan sebenarnya menjejaskan hak pendidikan dan masa depan generasi muda kaum India.

[Makalah ini ditulis pada 10 Januari 2016 dan disiarkan di The Malaysian Insider pada 12 Januari 2016. Portal berita The Malaysian Insider menamatkan operasi pada 14 Mac 2016. © Uthaya Sankar SB 2016. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. LEBIH BANYAK MAKLUMAT BERKAITAN ISU INI]