Pencinta
Bahasa Tamil dan ibu bapa sekitar
Chaah, Johor menyelar tindakan sebahagian guru besar dan guru-guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang tidak menghantar anak-anak mereka ke
sekolah berkenaan.
Akhbar
Malaysia Nanban pada 24 Januari 2016
melaporkan kenyataan yang dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKT
Chaan, Gunasegaran menyelar sikap hipokrit itu.
“Dalam
pada akhbar dan stesen radio Tamil menjalankan kempen memujuk ibu bapa
menghantar anak-anak ke SJKT, ibu bapa di sekitar Chaah marah dengan sikap sejumlah
guru besar dan guru SJKT yang menghantar anak-anak ke sekolah lain,” akhbar
Tamil itu melaporkan.
Menurut
Gunasegaran, apabila PIBG membuat kempen dalam kalangan kaum India di kawasan
berkenaan, ibu bapa mengemukakan bukti menunjukkan kepincangan yang berlaku.
“Apakah
guru besar dan guru-guru SJKT tidak yakin pada sekolah Tamil? Atau mereka tidak
lagi yakin pada sistem pendidikan di SJKT?” Gunasegaran bertanya.
Katanya,
guru besar dan guru-guru sekolah Tamil yang bersikap hipokrit dengan tidak
menghantar anak-anak ke SJKT wajar melepaskan jawatan.
Pada
12 Januari 2016, menerusi makalah bertajuk “Persoalan kempen SJKT Pilihan Kita” saya
mengemukakan 10 isu yang perlu diberi perhatian oleh pendukung kempen
berkenaan.
Pendedahan
itu menyebabkan akhbar Tamil Nesan
menerusi berita di muka depan pada 13 Januari 2016 melabel saya sebagai
“pengkhianat” serta berpendirian laporan polis perlu dibuat segera dan saya
perlu dihadapkan ke mahkamah.
“Kami
menyeru pencinta Bahasa Tamil di seluruh negara membuat laporan polis terhadap
pengkhianat ini,” kata Tamil Nesan – BERITA PENUH DI SINI.
Akhbar
Malaysia Nanban pada 19 Januari 2016
menyiarkan laporan khas mengutuk keberanian saya mendedahkan kepincangan SJKT
kepada umum.
Saya
dikatakan tidak berhak berbuat demikian kerana bukan keturunan Tamil, bahasa
ibunda saya bukan Tamil dan saya bukan lepasan SJKT.
Laman
Thendral Media pada 14 Januari 2016
memetik Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan berkata, tidak ada
satu pun kes seperti didedahkan menerusi makalah saya berlaku di SJKT – Rujuk “Isu SJKT dan Masalah Kamar Gema” (The Malaysian Insider, 19 Januari 2016).
Pesara
guru, V K Ezhilarasi menerusi rencana “Terima hakikat kelemahan SJKT” (The Malaysian Insider, 25 Januari 2016)
berpendirian bahawa 10 persoalan yang dikemukakan dalam makalah saya amat
berasas dan perlu diberi perhatian serius.
Terdahulu,
penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan Sekolah-sekolah Tamil, Dr NS Rajendran
menerusi Berita Daily pada 22 Januari
2016 menyifatkan penulisan saya berat sebelah dan hujah saya tidak
diperkukuhkan dengan bukti – Rujuk “Kenapa Tidak Uthaya Jumpa Kami?”
Baca
“Maklum Balas Isu SJKT” untuk maklumat
lanjut dan kemukakan pandangan menggunakan borang yang disediakan.