Saya tidak menyangka makalah “Persoalan
Kempen SJKT Pilihan Kita” (The Malaysian Insider, 12 Januari 2016) bakal menjadi viral
sehingga pelbagai pihak melabel saya sebagai “pengkhianat” dan mendesak
permohonan maaf secara terbuka.
Bagaimanapun, kecaman terhadap tulisan saya
membuatkan orang ramai tertanya-tanya mungkinkah isu-isu yang dipaparkan bukan
“kes terpencil” tetapi kes-kes besar dan meluas yang cuba disembunyikan pihak
tertentu.
Hampir 15 jam selepas makalah saya
disiarkan, ia hanya disukai (like)
dan dikongsi (share) sekitar 30
orang. Maklumlah, ia hanya pendedahan kecil beberapa isu yang wajar diberikan
perhatian jika mahu memastikan kejayaan kempen “SJKT Pilihan Kita”.
Bermula 11:30 malam hari berkenaan, saya
mula menerima panggilan telefon dari nombor-nombor tidak dikenali. Pemanggil
mengaku menerima mesej menerusi WhatsApp
yang tersebar daripada orang tertentu di sebuah akhbar Tamil.
Memandangkan saya bukan lepasan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT)
dan tidak mengambil subjek Bahasa Tamil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM), saya dikatakan tidak berhak mendedahkan kepincangan di SJKT
kepada umum.
Pada 13 Januari 2016, akhbar Tamil Nesan menyiarkan berita utama di muka depan
di mana kandungan makalah saya dimanipulasi dengan niat menimbulkan kemarahan
dan kebencian orang Tamil terhadap saya.
Thiagaseelan Ganesan dari Pemuda MIC menelefon dan berkata, makalah saya bertaraf sampah serta menjejaskan kempen memujuk ibu bapa menghantar anak-anak ke SJKT.
Rata-rata orang yang hanya membaca laporan
berbaur fitnah di Tamil Nesan
menyelar saya, kononnya saya menuduh kesemua murid SJKT diajar menipu dan
meniru untuk mendapat 7A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
[Kisah Akhbar Tamil - Baca di sini]
Hal yang berlaku menepati konsep “echo chambers” (kamar gema)
seperti diterangkan Walter
Quattrociocchi, di mana Tamil Nesan
memetik dan memanipulasi hanya satu isi dalam makalah saya untuk disebarkan
kepada pembaca.
Akhbar yang dipercayai milik MIC itu juga menghasut ibu bapa, guru
dan penyokong SJKT seluruh negara membuat laporan polis terhadap saya. [Nota - Akhbar Tamil Nesan tidak lagi terbit mulai 1 Februari 2019.]
Mohanan Perumal @ Mohan Perumal dari akhbar Makkal Osai pula menyeru ibu bapa lepasan SJKT memfailkan saman
malu terhadap saya di mahkamah.
Vettri
Victor, wartawan majalah Thendral mengaku amat marah dengan pendedahan saya, tetapi bersikap
profesional dengan mewawancara dan memberikan peluang kepada saya memberi
penjelasan.
Sesiapa yang berada di luar “kamar gema”
dan sudah membaca makalah asal saya akan memahami betapa sembilan isu terpencil
yang didedahkan perlu disiasat dan diambil tindakan demi membaiki mutu
pendidikan SJKT.
Manipulasi Tamil Nesan “berjaya” mengelirukan pembaca sehingga mereka mendapat
maklumat tidak benar; lalu menyerang saya dengan komen penuh emosional menerusi
telefon dan media sosial.
Komen-komen mereka menggambarkan
seolah-olah mereka bukan lepasan SJKT – kerana hasil pengalaman saya, murid
SJKT sangat bersopan-santun dan menjaga tutur bicara.
Akhbar Tamil
Nesan menggesa orang ramai membuat laporan polis terhadap saya. Sehingga
makalah ini ditulis, tiada sebarang laporan polis dibuat.
“Tindakan cara lain yang sesuai diambil ke
atas orang ini,” ugut Thiagaseelan
dan disokong rakan-rakannya.
Maka, ada saranan di media sosial supaya
orang ramai membuat demonstrasi besar-besaran di depan rumah saya.
Mungkin itu lebih “bermanfaat” daripada
membuat laporan polis dan meminta siasatan penuh dilakukan. Atau mengkaji dan
menyelesaikan isu dalam makalah.
(Utusan Malaysia, 21 Januari 2023)
Menurut Vettri Victor, Timbalan Menteri
Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan
mengesahkan “tidak ada satu pun kes seumpama itu berlaku di SJKT”.
Sepatutnya penafian beliau disiarkan
sebagai berita utama, tetapi diabaikan terus Tamil Nesan.
Akhbar Malaysia
Nanban pada 14 Januari 2016 memetik Penyelaras Pelan Tindakan Masa Depan
Sekolah-sekolah Tamil, Dr N. Rajendran
bertanya, “Apakah Uthaya tidak tahu tentang kejayaan murid-murid SJKT?”
Ternyata beliau hanya membaca berita
manipulasi di Tamil Nesan tanpa
merujuk pelbagai isu penting dalam makalah asal.
Apabila saya menulis makalah itu, saya mengharapkan penyelesaian bagi masalah-masalah terpencil itu supaya kempen “SJKT Pilihan Kita” lebih berjaya.
Manipulasi akhbar Tamil serta kecaman
susulan berbentuk “kamar gema” di media sosial membuktikan beberapa hal menarik
untuk direnungkan.
Pertama, hanya satu pendedahan dalam makalah asal saya dikatakan tidak
benar. Maka, pendedahan lain diakui memang berlaku.
Kedua, satu-satunya pendedahan yang dikecam itu hanya berdasarkan berita
yang dimanipulasi Tamil Nesan.
Ketiga, pendedahan saya rupa-rupanya bukan isu terpencil tetapi umpama
bangkai gajah yang cuba ditutup dengan daun pisang.
Orang ramai mula memikirkan kemungkinan itu
apabila serangan demi serangan penuh emosional dilakukan menerusi media sosial
oleh kelompok yang “tertipu” membaca berita manipulasi di Tamil Nesan.
Akhbar itu sendiri nampaknya menyedari
kesilapan dan memutuskan tidak menyiarkan sebarang berita susulan, walaupun
Thiagaseelan (Pemuda MIC), Satees Muniandy (DAP), Vijayalatchumy
MJ (Vallinam), Kamalanathan (KPM),
Manivannan Munian (Persatuan Alumni India Universiti Malaya) dan sebagainya
mengeluarkan kenyataan.
Sebaliknya, Tamil Nesan pada 17 Januari 2016 menyiarkan rencana khas K. Padmanabhan yang turut menyentuh
beberapa masalah dihadapi SJKT.
Seorang guru SJKT Taman Melawati, Yogesvaran Monogaram (M. Navin)
memulakan kempen menerusi laman Vallinam
dan Yaal menggesa SJKT seluruh negara
memboikot “Program
Memartabatkan Bahasa Malaysia” yang sedang dijalankan
dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Satees
Muniandy yang menjadi sumber kepada kelahiran
peribahasa moden “macai macam satees” kini muncul dengan
teori bangang kononnya motif saya menghapuskan semua SJKT dan membina SJK
Malayalam kerana saya keturunan Malayali.
Walaupun Tamil Nesan kini membisu, pembaca yang terpengaruh dengan berita
palsu siarannya terus terperangkap dalam “kamar gema” lalu tidak mampu mencerna sembilan isu yang saya kemukakan.
Selepas berita palsu diviralkan menerusi
media sosial dan WhatsApp, masyarakat pelbagai kaum mula
tertanya-tanya: Mungkinkah beberapa kes terpencil yang dipaparkan menerusi
makalah itu “baru bunganya sahaja” (only
the tip of the iceberg)?
[Makalah ini ditulis pada 17 Januari 2016 dan
disiarkan di The
Malaysian Insider pada 19 Januari 2016. Portal berita The
Malaysian Insider menamatkan
operasi pada 14 Mac 2016. © Uthaya Sankar SB 2016. Harap maklum bahawa anda membaca makalah ini
serta segala kandungan mana-mana blog kendalian Uthaya Sankar SB atas pilihan sendiri. LEBIH
BANYAK MAKLUMAT BERKAITAN ISU INI]