17 Jan 2023

Akhbar Tamil Akan Pupus?

Tiga akhbar bahasa Tamil yang masih bertahan di Malaysia sehingga kini ialah Tamil Malar, Makkal Osai, dan Malaysia Nanban. Akhbar Tamil Nesan yang terbit sejak September 1924 pula menghentikan operasi pada 1 Februari 2019.

Memandangkan hampir 85 peratus penduduk kaum India di negara ini berketurunan Tamil, maka akhbar-akhbar Tamil umumnya mempromosi bahasa, seni, sastera, dan budaya orang Tamil beragama Hindu.

Akan tetapi, sekiranya sejarah awal perkembangan surat khabar Tamil di Malaya ditelusuri, kita akan mendapat pelbagai maklumat yang menarik dan mungkin di luar jangkaan.

Sebelum Perang Dunia Pertama (1914-1918), akhbar Tamil di Singapura dan Pulau Pinang diusahakan oleh orang India-Muslim yang dikenali sebagai Jawi Peranakan.

Hal ini amat berbeza dengan keadaan di Tamil Nadu, India di mana akhbar Tamil diusahakan oleh orang Hindu dan Kristian.

Pada peringkat awal, akhbar Tamil di Malaya mengutamakan berita berkaitan topik Islamik. Namun begitu, liputan berita berkaitan komuniti dan perayaan agama Hindu tetap diberi ruang. Kebanyakan berita pula diambil dan diterjemah dari akhbar Melayu dan Inggeris.

Golongan Jawi Peranakan mengusahakan akhbar Tamil dan Melayu. Misalnya, SPSK Kader Sahib yang mengusahakan akhbar Vijaya Kedanan (1887) turut menerbitkan akhbar Tanjung Penegeri (1894).

Munshi Mohd Said bin Dada Mohyddin mengasaskan Jawi Peranakan (1876) iaitu akhbar Melayu pertama di Malaya, selain menerbitkan akhbar Tankai Nesan (1876).

Akhbar Tamil pertama di Pulau Pinang ialah Vidya Vicharini (1883) dan diterbitkan oleh V. Ghulam Kadir Navalar, seorang penyair yang pulang ke India pada 1890. Di Singapura pula, Singai Varthamani (1875) disunting dan diterbitkan oleh CK Makhdoom Sahib.

Akhbar Singai Nesan (1887) yang diterbitkan oleh Mahadun Saibu di Singapura menyebut bahawa akhbar Tankai Nesan dan Singai Varthamani sudah ditamatkan penerbitan.

Sementara itu di Pulau Pinang pula muncul Tamil Olaga Nesan (1887), Cnana Charian Daily News (1912), Janopakari Daily News (1914), dan Penang Desa Nesan (1930).

Akhbar Tamil Kody (1938) dan Tamil Pannai (1942) terbit di Melaka secara khusus untuk mengangkat bahasa, sastera, dan budaya Tamil. Bekas editor Tamil Nesan, Subramaniam Iyer menerbitkan Jeyamani (1940) untuk mengangkat isu reformasi golongan buruh. Akhbar Jananayagan (1945) pula disokong Parti Komunis Malaya (PKM).

Mengikut rekod, sebelum Perang Dunia Pertama, sejumlah 34 akhbar Tamil diterbitkan di Negeri-negeri Selat, dan sembilan daripadanya terbit di Pulau Pinang.

Kebanyakan naskhah akhbar berkenaan tersimpan di Perpustakaan British, London dan Perpustakaan Nasional Singapura, serta menjadi sumber rujukan berguna untuk mengetahui sejarah dan kandungan akhbar Tamil di Malaya.

Pensyarah bahasa dan budaya Tamil di Universiti Gottingen, Jerman, Dr. Torsten Tschacher menyampaikan syarahan tentang sejarah akhbar Tamil dan vernakular di George Town, Pulau Pinang pada Oktober 2013. Kuliah itu juga membantu orang ramai memahami perkembangan persuratkhabaran di negara ini dari tahun 1880 hingga 1914.

Penerbitan akhbar dikawal Ordinan Pendaftaran Buku (1887) yang diperkenalkan oleh penjajah British. Tidak dapat dinafikan, perkembangan di negara India mempengaruhi kandungan akhbar Tamil di Malaya. Gerakan nasionalis dan reformasi di India pada tahun 1920-an jelas ada tempias pada akhbar di Malaya.


Kedatangan lebih ramai individu berpendidikan dari India dan Ceylon (Sri Lanka) ke Malaya turut mempengaruhi perubahan pada corak laporan dan kandungan akhbar Tamil di negara kita pada masa lalu.

Akhbar Tamilaham (1921) yang dikendalikan oleh Narasimha Iyengar terus terang mengangkat isu penghijrahan buruh India ke Malaya. Malah, akhbar itu secara terbuka menasihati penduduk India tidak datang ke Malaya sebagai buruh ladang.

Pada September 1924, Narasimha berpindah menjadi editor akhbar Tamil Nesan yang diasaskan oleh NM Nagappan dan diuruskan oleh Soundararajam di Kuala Lumpur. Apabila Narasimha meninggal dunia pada Februari 1938, tugas editorial Tamil Nesan diambil alih oleh RH Nathan dan Subramaniam Iyer.

Suatu perkembangan penting dalam Tamil Nesan adalah langkah menterjemah dan menyiarkan berita luar negara. Pada 5 April 1933, akhbar itu sendiri mengaku bahawa penyiaran berita luar negara penting demi menjadikan orang Tamil lebih berilmu, tahu hal dunia, dan boleh menjadi moden.

Untuk rekod, pada tahun 1931, terdapat sekitar 624,000 orang India di Malaya dan hampir 514,950 orang adalah keturunan Tamil.

Dalam jurnal Southeast Asia Studies (Disember 1974), John A Lent membuat pemerhatian bahawa jumlah pembaca akhbar Tamil di Malaysia semakin menurun pada tahun 1970-an kerana jumlah murid di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) semakin berkurangan.

Pandangan ini agak menghairankan kerana menurut data di Tamil Nesan (28 September 2007), pada tahun 1957, ada 50,766 murid di SJKT. Jumlah itu meningkat kepada 78,841 murid (1977), 83,228 murid (1987), 98,072 murid (1997), dan 105,618 murid (2007).

Menurut Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (2017), lebih daripada 55 peratus anak-anak kaum India belajar di SJKT.

Maka, sepatutnya akhbar Tamil di Malaysia tidak perlu takut kehilangan pembaca sasaran. Sebaliknya, apa yang perlu difikirkan dan diberi perhatian ialah kandungan yang mampu disajikan kepada pembaca generasi baharu.

Perlu diingat bahawa individu lepasan SJKT juga menguasai Bahasa Malaysia dan Inggeris, serta ada akses kepada berita dan kandungan dalam ketiga-tiga bahasa.

[Baca juga: Akhbar Tamil Kecam Pendedahan Uthaya]

[© Uthaya Sankar SB 2023. Rencana ini ditulis pada 7 Januari 2023 dan tersiar di Harapan Daily pada 11 Januari 2023. Uthaya Sankar SB seorang penulis, pengkaji sepenuh masa, dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang gemar berkongsi ilmu dengan pembaca.]